
Masa zaman 90-an dulu, ‘budak nakal’ di sekolah je yang terlibat dengan aktiviti merokok. Tapi sekarang, bila munculnya vape yang kononnya dikatakan lebih selamat berbanding rokok tradisional, hampir semua mulut berasap, tak kira jantina dan peringkat umur.
Vape jadi pilihan
Berbeza dengan rokok tembakau atau tradisional yang dihadkan penjualannya hanya kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, penggunaan vape ini tiada had umur. Oleh sebab itu, ia lebih menjadi pilihan. Bukan sahaja dewasa dan remaja, bahkan kanak-kanak yang masih bersekolah rendah juga turut menyukai vape.
Ditambah pula dengan kewujudan vape pod atau lebih dikenali sebagai ‘vape mini’, yang hadir dengan saiz lebih kecil dan cara penjagaan yang jauh lebih mudah. Maka makin ramai individu yang memilih vape; mudah disimpan dan dibawa ke mana sahaja.
Apa yang membuatkan vape atau rokok moden ini lebih diminati adalah kerana ia hadir dalam pelbagai perisa. Sebut sahaja flavor apa yang diinginkan; buah-buahan seperti honeydew atau strawberry, perisa minuman seperti mocha, chocolate, kopi…semuanya ada. Bau pun tidak sekuat rokok tembakau.
Artis jual vape
Lebih parah lagi, dikatakan terdapat golongan selebriti turut menjadikan vape sebagai punca rezeki. Selebriti itu pula boleh dikatakan popular dan terkenal dalam kalangan peminat kanak-kanak.
Walaupun mereka mungkin mengatakan produk yang dijual itu bukanlah untuk golongan kanak-kanak di bawah umur, tetapi adakah itu boleh dianggap sebagai jaminan bahawa produk mereka tidak akan dijual kepada kanak-kanak?
Sudah tentunya, anda sedia maklum, golongan selebriti mempunyai impak yang tersendiri dalam mempengaruhi kehidupan seseorang individu, khususnya remaja dan kanak-kanak yang masih bersekolah. Apatah lagi kalau selebriti tersebut merupakan artis yang diminati.
Sebagai public figure yang berpengaruh terutama kepada remaja dan kanak-kanak, mereka sepatutnya lebih memikirkan tentang baik buruk perkara yang dilakukan. Dalam erti kata lain, golongan artis kalau jual apa sahaja produk, pasti akan ada pembelinya. Situasi itu juga tidak mustahil dalam hal penjualan vape ini, bukan?
Sama bahaya
Pada awal kemunculan rokok elektronik atau vape, ia dikatakan lebih selamat dan baik berbanding rokok tembakau. Namun, hakikatnya ia tidak jauh berbeza dengan rokok tembakau. Ini kerana ia tetap mengandungi kandungan nikotin dan bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan dan boleh membuatkan anda ketagihan.
Malahan terdapat kajian daripada National Academies Press (NAP) yang dijalankan pada 2018, mencadangkan cecair isian vape boleh membuatkan degupan jantung penggunanya lebih laju. Vape juga sebenarnya berisiko untuk meningkatkan tekanan darah. Hakikatnya, rokok mahupun vape, tetap tiada kebaikan kepada kesihatan. Jadi fikir-fikirkanlah.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Fenomena Vape Pod: Pilihan Berbahaya Generasi Muda Masa Kini!
- Anda Fikir Vape Lebih Selamat Berbanding Rokok? Tanggapan Anda Ternyata Salah
- Kanser Paru-paru dan Perokok Pasif
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.