10 Perkara Yang Setiap Ibu Inginkan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 10/12/2018 . 3 minit bacaan
Share now

Memiliki anak pastinya merupakan impian setiap wanita yang berkahwin. Namun mempunyai anak, terutama bayi yang masih kecil, pasti akan mendatangkan cabaran dalam menjalankan tugasan sebagai seorang ibu dan juga isteri.

Berikut antara 10 perkara yang diinginkan setiap ibu:

Berat badan impian dan jurulatih peribadi

Setiap wanita pasti menginginkan untuk memiliki bentuk badan yang menarik dan cantik. Namun kebanyakan wanita yang baru melahirkan anak dan dalam proses menyusukan anak, pasti akan berdepan dengan isu kenaikan berat badan. Dan disebabkan kekangan masa, kebanyakan wanita bergelar ibu tidak dapat meluangkan masa di gim atau sekurangnya memiliki sedikit masa untuk bersenam. Jadi memiliki seorang jurulatih peribadi pasti dapat membantu anda untuk menjaga dan menurunkan berat badan. Pasti semua ibu akan merasa bahagianya jika dapat memiliki berat badan impian atau paling tidak, memiliki berat badan ketika zaman bujang!

Maklumat, peta untuk semua kemudahan mesra keluarga

Mempunyai anak kecil, pastinya memerlukan anda untuk sentiasa bersedia berdepan dengan apa juga keadaan. Pastinya sebagai ibu, anda pernah berdepan dengan situasi huru-hara mencari bilik air yang lengkap dengan kemudahan untuk menukar lampin bayi anda, atau mencari bilik untuk menyusukan anak, bukan? Jadi menjadi seorang ibu yang serba tahu, pasti mengagumkan.

Rumah yang bersih dan pembantu rumah

Memastikan keadaan rumah agar sentiasa kemas dan bersih adalah sesuatu yang terlalu mustahil. Lebih-lebih lagi apabila memiliki anak kecil yang baru belajar berjalan, atau mempunyai anak yang kreatif dan aktif. Alangkah seronoknya jika kita memiliki pembantu rumah yang dapat membantu memastikan keadaan rumah sentiasa bersih dan mungkin dapat menjaga anak sekali.

Masa tambahan

Melakukan kerja rumah seperti mengemas rumah, membasuh baju, melipat baju, memandikan anak, memasak atau mungkin menghantar anak ke sekolah pastinya memenatkan. Jadi memiliki masa tambahan, pasti membantu setiap ibu untuk dapat menyelesaikan semua tugasan serta kerja rumah dalam masa sehari dan masih memiliki masa untuk berehat.

Tukang masak

Bagi ibu yang bekerja, memiliki tukang masak pastinya sangat membantu, lebih-lebih lagi selepas penat bekerja. Sekurang-kurangnya, apabila memiliki tukang masak, anda boleh memberi tumpuan dalam hal menguruskan anak dan mungkin juga suami!

Robot pembersihan

Makanan jatuh, air tertumpah dan mainan bersepah, merupakan antara sebab mengapa menyapu dan membersihkan lantai rumah, adalah antara tugasan perlu dilakukan berulang kali dalam sehari. Memiliki robot pembersihan automatik, pastinya satu nikmat yang membahagiakan semua ibu.

Waktu rehat

Menjaga anak, menguruskan hal keluarga dan menyelesaikan semua tugasan rumah bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan banyak tenaga dan tumpuan untuk melakukan segalanya. Jadi memiliki waktu rehat dan waktu tidur yang secukupnya, pasti dapat mengembalikan senyuman dan keceriaan di wajah anda. Dan ia adalah satu bonus jika anda diberikan peluang untuk berehat dan mendapatkan rawatan urutan di spa.

Kereta bersih

Makanan, mainan, tisu, lampin pakai buang yang bersepah dan mungkin semut serta lipas (berpunca dari makanan yang bersepah) dalam kereta adalah perkara biasa yang boleh dilihat dalam kereta untuk mereka yang memiliki anak kecil. Tidak kira berapa kali anda membersihkannya, ia pastikan akan berlaku lagi selagi anak anda masih kecil. Jadi untuk mempunyai kereta yang bersih dan wangi pasti menceriakan hari anda setiap kali masuk ke dalam kereta, walaupun penat dengan tugasan rumah dan rutin menghantar anak ke sekolah.

Pendandan peribadi

Adalah sesuatu yang biasa berlaku, apabila seseorang mula memegang status sebagai ibu, soal penjagaan diri, seperti baju yang dipakai, gaya rambut, kasut, tudung malahan solekan di muka juga adalah perkara yang sering di ambil mudah. Sedangkan ketika masih bujang dan baru berkahwin, penjagaan diri adalah perkara yang penting. Jadi memiliki seorang pendandan peribadi yang dapat membantu diri ketika bersiap, sudah tentu akan membantu setiap ibu untuk sentiasa kelihatan cantik dan menarik.

Sehari tanpa rutin

Sehari tanpa rutin (mungkin lebih dari sehari) atau dalam erti kata lain, me time, tanpa perlu memikirkan segala tugasan dan rutin harian yang perlu dilakukan, pastinya menyeronokkan. Sesekali dapat meluangkan masa bersama kawan-kawan, menonton wayang, berkaraoke dan makan tengahari bersama, semestinya dapat menghilangkan tekanan buat anda.

Bukan semua yang kita inginkan akan kita perolehi. Tetapi memori dan pengalaman menjadi seorang ibu; mengandung, melahir, menjaga dan membesarkan anak-anak pastinya satu pengalaman yang tiada tandingan dan akan dirindui apabila anak-anak meningkat dewasa. Jadi sentiasalah hargai setiap detik waktu membesarkan anak.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga: