backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Ibu Ayah, Ini Cara Menilai Perkembangan & Tumbesaran Anak 1-3 Tahun

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/04/2021

Ibu Ayah, Ini Cara Menilai Perkembangan & Tumbesaran Anak 1-3 Tahun

Menyaksikan tumbesaran anak setiap hari pastinya sesuatu yang mengujakan mana-mana ibu bapa. Tetapi tahukah anda, sebenarnya terdapat beberapa aspek penting dalam perkembangan kanak-kanak yang perlu diperhatikan.

Sebelum persoalan itu terjawab, setiap ibu bapa perlu memahami kepentingan untuk menilai pertumbuhan anak yang berusia 12 hingga 36 bulan bagi memastikan tiada masalah dalam perkembangan mereka. 

Semasa peringkat ini, disarankan agar anak dibawa berjumpa dengan pakar pediatrik sekurang-kurangnya setahun sekali bagi melakukan pemeriksaan berkala dan mengikuti tahap imunisasi mereka

Dalam peringkat perkembangan kanak-kanak, pertumbuhan fizikal cenderung perlahan tetapi kemahiran kognitif, bahasa dan motorik akan meningkat dengan pesat. 

Persekitaran yang memberangsangkan sangat membantu dalam menggalakkan proses tumbesaran anak. 

Interaksi positif daripada individu di sekelilingnya juga dapat membantu proses tersebut.

5 aspek penting dalam perkembangan kanak-kanak

Secara umumnya, terdapat beberapa titik tumbesaran si manja yang penting untuk anda perhatikan pada tahun-tahun pertama kehidupan mereka.

Berikut adalah senarai pendek beberapa perkara penting melibatkan kemahiran fizikal, emosi dan sosial, bahasa, kognitif serta deria dan motor yang sepatutnya boleh dilakukan anak seiring pertambahan usianya. 

tumbesaran anak

Pun begitu, sebagai ibu bapa anda harus fahami bahawa setiap anak adalah berbeza. Jadi sekiranya mereka tidak dapat melakukannya, ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. 

Namun, sekiranya pada tahun akhir usia kanak-kanak dan mereka masih belum mencapai kemahiran berikut, lakukan rundingan dengan pakar pediatrik.

Ini kerana ia mungkin melibatkan masalah lewat perkembangan. 

1. Perkembangan kemahiran fizikal

Tumbesaran anak dari aspek fizikal adalah perlahan pada peringkat ini.

Fokus perkembangan fizikal lebih tertumpu kepada peningkatan kekuatan dan koordinasi. 

2. Pembangunan kemahiran emosi dan sosial

Dalam aspek perkembangan kanak-kanak ini, anak anda mempunyai kemampuan untuk mengekspresikan emosinya.

Ini terutamanya apabila mereka berasa gembira, kecewa, marah dan bahagia. 

Anak juga akan belajar untuk mengawal dirinya, berkongsi serta menunggu giliran pada ketika ini.

3. Perkembangan kemahiran bahasa

Pada usia kanak-kanak, anak anda biasanya sudah boleh memahami penggunaan bahasa sepenuhnya. 

Ini adalah ketikanya mereka belajar mengucapkan terima kasih dan tolong serta membezakan cara yang betul untuk menyatakan sesuatu.

4. Perkembangan kemahiran kognitif

Aspek ini melibatkan kemampuan anak untuk menyelesaikan masalah.

Ia juga merupakan tempoh untuk mula mengenali individu, objek dan tempat yang biasa buat diri mereka.

Tumbesaran anak pada ketika ini turut berkaitan kemahirannya berimaginasi dan berfikir.

Mereka juga sudah boleh mengenal dan memahami huruf, simbol, warna dan angka.

5. Kemahiran deria dan motorik

Ia merujuk kepada kemampuan anak untuk mengambil dan memegang barang, menyelak halaman buku dan menulis serta melukis. 

Umumnya, perkembangan kanak-kanak ini adalah mengenai penggunaan otot kecil pada tangan dan jarinya. 

Cara untuk membantu tumbesaran anak

Sebagai ibu bapa, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu mencapai titik perkembangan dan tumbesaran anak. 

Perkara utama adalah dengan memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Ia boleh dilakukan dengan memberikan mereka pemakanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sebaiknya kurangkan masa skrin dan dorong mereka untuk aktif bergerak dengan melakukan pelbagai aktiviti yang digemari. 

Jika si kecil ingin berlari, memanjat, melompat atau menendang, berikannya ruang selamat untuk melakukan semua itu.

Ia secara tidak langsung membantu pertumbuhan koordinasi dan kekuatan ototnya. 

tumbesaran bayi

Anda juga perlu memastikan anak mendapat tidur yang mencukupi pada waktu malam. 

Ini dapat membantu meningkatkan emosi dan tenaga untuk meneroka dunia keesokan harinya. 

Perkara lain yang turut boleh dilakukan untuk merangsang perkembangan kanak-kanak adalah:

  • Baca buku bersama anak setiap hari
  • Bermain permainan papan yang bersesuaian dengan usia anak. Aktiviti ini juga mampu mengeratkan jalinan antara ibu bapa dan anak
  • Tunjukkan lebih tindak balas jika anak berkelakuan baik, berbanding semasa anak melakukan perkara negatif
  • Galakkan anak untuk meneroka

Aspek keselamatan ketika merangsang tumbesaran anak

Oleh sebab anak kecil banyak meneroka persekitaran di sekeliling, anda perlu pastikan mereka mempunyai tempat dan persekitaran yang selamat.

Berikut beberapa tip keselamatan yang boleh dilakukan:

  • Letakkan penutup suis pada semua suis di rumah anda. Oleh sebab sifat ingin tahu anak yang tinggi, wujud risiko untuk mereka memasukkan jari ke dalam palam (plug) dan terkena renjatan elektrik
  • Berbaring di lantai seolah-olah sedang melakukan tekan tubi. Angkat kepala dan lihat sekeliling, tetapi pastikan bahu masih di lantai. Situasi ini akan membolehkan anda melihat sesuatu daripada perspektif anak dan menunjukkan kemungkinan bahaya yang tidak dapat dilihat dari sudut pandangan biasa individu dewasa
  • Simpan dan jauhkan segala produk pembersih rumah, bahan beracun dan ubat-ubatan dalam rak berkunci
  • Jangan sekali-kali meninggalkan anak anda sendirian walaupun seketika kerana berasakan bahawa dia akan selamat. Kemalangan boleh berlaku dalam tempoh beberapa saat sahaja
  • Cipta ruang selamat untuk perkembangan kanak-kanak dengan mengunci pintu yang boleh menuju ke tempat berbahaya seperti pintu rumah. Sekiranya rumah anda mempunyai tangga, letakkan penghadang tangga
  • Jangan pernah meninggalkan anak sendirian di kawasan berair seperti kolam. Lemas adalah penyebab kematian nombor 1 untuk kanak-kanak dalam lingkungan usia ini

tumbesaran kanak-kanak

Kesimpulan

Tempoh tumbesaran anak adalah berbeza. Namun jika terdapat kebimbangan berkaitan perkembangan mereka, berundinglah dengan pakar pediatrik.

Rangsang dan galakkan proses perkembangan kanak-kanak dengan membiarkan anak meneroka dunia di sekelilingnya. 

Tetapi dalam masa yang sama, sentiasa pantau keselamatan mereka agar terhindar daripada sebarang risiko bahaya. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/04/2021

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan