Tanda lahir bayi adalah tanda berwarna yang dapat dilihat pada kulit. Ia wujud semasa anak dilahirkan atau berkembang tidak lama selepas itu. Terdapat beberapa jenis tanda lahir dan sebahagiannya adalah biasa untuk dialami.
Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tanda pada kulit
Umumnya terdapat 2 jenis tanda lahir bayi utama iaitu:
- Tanda lahir vaskular – Selalunya berwarna merah, merah jambu, ungu atau biru yang disebabkan oleh saluran darah tidak normal di dalam atau di bawah kulit
- Tanda lahir berpigmen – Biasanya berwarna coklat atau keperangan yang berpunca oleh kelompok sel pigmen
Tanda vaskular pada kulit seringkali berlaku pada kawasan kepala atau leher, terutamanya bahagian wajah.
Pun begitu, kedua-dua tanda kelahiran ini boleh muncul pada mana-mana bahagian, termasuklah di dalam tubuh itu sendiri.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Jenis tanda lahir: Vaskular
Tanda kelahiran jenis ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, termasuklah:
#Salmon patch (stork mark)
Didefinisikan sebagai tompok rata merah atau merah jambu yang boleh muncul di kelopak mata, leher atau dahi bayi semasa lahir.
Ia merupakan tanda pada kulit jenis vaskular yang paling biasa dan berlaku kepada hampir kebanyakan bayi.
Tanda lahir bayi ini kebanyakannya akan hilang dalam tempoh masa beberapa bulan.
Walau bagaimanapun, ada juga tompokan merah pada dahi yang mungkin memakan masa sehingga 4 tahun atau lebih untuk hilang.
Jika tanda vaskular ini berada pada belakang leher, ia biasanya akan kekal dan lebih jelas kelihatan ketika bayi menangis.
#Infantile haemangioma, antara jenis tanda lahir
Merupakan tanda timbul pada kulit. Ia biasanya berwarna merah dan boleh muncul pada mana-mana bahagian tubuh.
Tanda kelahiran ini juga dikenali sebagai ‘tanda lahir strawberi’ (strawberry birthmarks).
Adakalanya tanda lahir bayi ini muncul pada bahagian kulit lebih dalam. Dalam keadaan ini, ia akan kelihatan seperti warna biru atau ungu.
Haemangioma merupakan antara tanda yang sering berlaku, terutamanya pada bayi perempuan. Ia terjadi pada setiap 2 hingga 4 daripada 100 bayi pada usia 6 minggu.
Saiznya dikatakan akan membesar dengan cepat dalam tempoh 6 bulan pertama. Namun pada akhirnya akan menyusut, bahkan hilang pada usia sekitar 4 atau 5 tahun.
Sekiranya perkembangan saiznya sangat besar dan pantas serta menghalang penglihatan, pernafasan atau menyukarkan bayi untuk makan, ia mungkin memerlukan rawatan.
#Port wine stain
Tanda lahir bayi pada kulit ini dikelaskan dengan tompokan rata merah atau ungu yang dialami 3 daripada 100 bayi yang baru dilahirkan.
Ukurannya bervariasi, bermula daripada beberapa milimeter (mm) sehingga ke beberapa sentimeter (cm).
Tanda kelahiran ini sering terjadi pada satu sisi badan dan biasanya muncul di wajah, dada dan punggung. Tetapi mana-mana bahagian tubuh juga boleh mempunyai tanda ini.
Port wine stain dikatakan cenderung menjadi sensitif terhadap perubahan hormon dan boleh menjadi lebih ketara semasa akil baligh, kehamilan dan ketika menopaus.
Kebanyakan tanda lahir jenis ini adalah kekal, malah warnanya juga mungkin bertambah gelap dari masa ke masa.
Jenis tanda lahir bayi: Berpigmen
Di bawah adalah beberapa jenis tanda kelahiran jenis berpigmen yang boleh terjadi, seperti:
#Tompok Mongolia
Tanda lahir bayi ini dicirikan dengan warna kelabu-kebiruan atau seperti lebam yang terdapat semasa kelahiran.
Tompokan ini dikatakan lebih sering dilihat pada individu berkulit gelap dan biasanya muncul pada bahagian belakang badan atau punggung.
Pun begitu, sama seperti tanda kelahiran lain, ia boleh muncul pada mana-mana bahagian anggota badan.
Ia selalunya akan bertahan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Namun, biasanya akan hilang apabila anak meningkat usia 4 tahun.
Tompokan ini walaupun tampak seperti lebam, tetapi sama sekali tidak berbahaya, bahkan tidak memerlukan sebarang rawatan.
Baca juga: