backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Nangis Makan Ubat Macam Kena Pukul, Mari Ajar Anak Makan Ubat Cara Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/08/2022

    Nangis Makan Ubat Macam Kena Pukul, Mari Ajar Anak Makan Ubat Cara Ini!

    Seisi rumah anda pastinya seakan sedang berperang semasa mahu beri anak makan ubat. Jika beri ubat cecair pun masih memerlukan pelbagai trik untuk anak anda minum, apatah lagi ubat berbentuk pil. 

    Anda pasti pernah lihat bagaimana trik air minuman kotak digunakan untuk ‘memperdaya’ anak kecil menghirup ubat cecair. Tetapi, bagaimana pula jika anda mahu ‘memperdaya’ anak anda untuk makan ubat pil?

    Sebenarnya, anda tidak memerlukan sebarang trik untuk menggalakkan anak makan ubat berbentuk pil ini. Jika anda tahu kaedah yang betul dan sesuai, ia bukanlah satu masalah yang besar untuk menyuruh anak anda makan ubat. 

    Malah anda boleh mengajar mereka tentang bagaimana untuk makan pil ini. Ingin tahu berkenaan rahsia mengajar anak anda makan pil? Lihat apa yang kami sediakan di bawah ini.

    Mengapa kanak-kanak perlu belajar untuk makan ubat pil?

    makan ubat

    Sebagai ibu bapa, anda pasti faham terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi si kecil untuk tidak menelan pil. Keresahan, ketakutan dan kedegilan boleh menjadi antara faktor utama keengganan mereka.

    Ada sesetengah ubat untuk kanak-kanak yang dirumus khas dalam bentuk yang boleh dikunyah atau dalam bentuk cecair. Tetapi, bagi sesetengah ubat-ubatan lain, ia bagus untuk diambil dalam bentuk pil atau tablet. Ini bertujuan untuk memastikan keberkesanan ubat tersebut jika ia tidak dipecahkan atau dikunyah. 

    Jika ubat pil ini dipecahkan dengan tujuan untuk memudahkan anak anda menelannya, ia sebenarnya berbahaya dan mungkin tidak berkesan seperti yang sepatutnya.

    Tambahan pula, bukan semua ubat boleh dihancurkan dan dicampur dengan air. Dengan kata lain, ubat-ubat seperti berikut tidak boleh dipecahkan; ubat yang bersalut gula/ filem (ibuprofen), pil bersalut enterik, ubat seperti Metformin XR, Hormonal cytoxic atau ubat-ubatan steroidal.

    Oleh itu, cara yang terbaik adalah dengan menelan keseluruhan pil tanpa mengubah bentuknya. 

    Mengajar anak anda untuk makan ubat juga memerlukan sedikit latihan. Anda perlu ajar mereka pada waktu dan cara yang terbaik agar ia menjadi satu pengalaman yang positif dan bermakna untuk mereka.

    Bilakah anak anda perlu belajar untuk makan ubat?

    Waktu yang paling sesuai untuk setiap kanak-kanak belajar makan ubat adalah tidak sama. Jangan sesekali membandingkan kemampuan anak anda dengan kanak-kanak lain walaupun dengan adik-beradiknya sendiri. 

    Untuk mula belajar menelan pil, anak anda perlulah sekurang-kurangnya berumur 4 tahun. Mereka juga perlu berada pada tahap atau fasa di mana mereka boleh bekerjasama dan bermotivasi untuk belajar kemahiran baharu

    Anda boleh mula mengajar anak anda sebelum mereka perlu mengambil sebarang ubat-ubatan. Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang tekanan kepada mereka. Cuba dengan sesuatu yang kecil terlebih dahulu seperti cebisan kek atau roti. 

    Kemudian, anda boleh menukarnya dengan sesuatu yang mempunyai saiz yang lebih besar seperti cip coklat. Seterusnya, barulah anda boleh menukarnya secara perlahan-lahan kepada pil seperti vitamin untuk kanak-kanak. 

    Perlu diingat, anak anda tidak boleh mempelajari kemahiran menelan pil ini dengan sekali latihan sahaja. Anda perlu melatih si kecil secara berulang kali sehinggalah mereka berasa yakin dan mampu untuk menelan pil.

    Apa yang boleh anda lakukan untuk melatih anak makan ubat pil?

    Sebelum sebarang latihan dilakukan, anda perlulah terlebih dahulu menjelaskan kepentingan makan ubat kepada anak anda. Ambil sedikit masa untuk menerangkan kepada mereka dengan cara yang kreatif mengenai hal ini agar anak anda berasa tenang dan boleh bekerjasama. 

    Apa langkah seterusnya? Anda adalah ibu atau bapa kepada mereka, dan anda adalah contoh terbaik untuk mereka ikuti. Tunjukkan kepada anak anda terlebih dahulu bagaimana anda menelan pil tersebut. 

    Apabila tiba giliran anak anda untuk mencuba, perhatikan dengan baik bagaimana mereka melakukannya. Ingat, cubaan pertama selalunya tidak akan menjadi seperti yang kita harapkan. Oleh itu, puji setiap usaha anak anda dalam cubaan menelan pil. 

    Untuk memudahkan anak anda menelan pil, ikuti tip ini:

    makan ubat

    #1. Duduk tegak dengan posisi kepala berada di tengah badan. Pastikan kepala anak anda berada dalam keadaan yang lurus dan senget.

    #2. Condongkan sedikit kepala mereka ke belakang. Jangan terlalu condong ke belakang kerana ia akan membuatkan anak anda sukar untuk menelan.

    #3. Berikan si kecil beberapa tegukan air sebagai satu latihan menelan terlebih dahulu.

    #4. Letakkan pil pada lidah anak anda dan minum air lagi. Galakkan mereka untuk terus meneguk air sehingga pil ditelan.

    #5. Jika anak agak sukar untuk minum air terus daripada gelas, gunakan penyedut minuman untuk memudahkan mereka menelan air dan pil.

    Jika pil yang perlu anak anda makan tidak boleh diambil semasa perut kosong, mereka boleh menelannya bersama-sama jenis minuman yang lebih pekat seperti susu, yogurt atau milkshake. Selain itu, ia juga boleh dimakan bersama-sama makanan lain seperti puding dan juga aiskrim.

    Sekiranya mereka berjaya makan ubat pil tersebut, jangan lupa untuk memberikan pujian sebagai tanda penghargaan. Sekiranya anak anda tidak berjaya menelannya, anda boleh menggalakkan mereka untuk mencuba lagi. 

    Berhenti dan cuba lagi pada waktu yang lain sekiranya anak anda enggan meneruskannya. Jangan sesekali menekan atau memarahi mereka jika ia tidak berjaya. Tekanan pada kanak-kanak hanya akan menyukarkan lagi keadaan pada masa hadapan.

    Apa perlu anda lakukan jika anak tidak mahu telan ubat?

    Kami turut akui, terdapat kanak-kanak yang mungkin mempunyai sedikit kesukaran untuk ambil ubat atau belajar menelan ubat. Ada kanak-kanak yang berasa gementar untuk ambil ubat, ada juga yang mungkin pernah mengalami pengalaman buruk sebelum ini ketika mereka mencuba menelan ubat. 

    Untuk kanak-kanak yang mempunyai kesukaran sebegini, eloklah jika anda menangguhkan latihan terlebih dahulu dan berbincang dengan doktor. Mungkin terdapat cara lain yang boleh digunakan agar anak anda mampu untuk menelan ubat-ubatan tersebut. Rujuk dengan doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat pil yang diberikan jika anda mempunyai sebarang masalah atau kesukaran. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan