Perkembangan seksual anak merupakan antara aspek tumbesaran yang sukar untuk dikendalikan ibu bapa. Lebih membimbangkan andai wujud tingkah laku anak tentang seksual yang tidak sepatutnya.
Jom selidik!
Perihal perkembangan seksual anak
Mengajar dan mendidik anak mengenai perbezaan antara betul dan salah adalah perkara mudah bagi mereka yang bergelar ibu bapa.
Tetapi apabila melibatkan perkembangan seksual anak, kebanyakan ibu bapa menganggap ia perkara yang agak sukar untuk dilaksana dan dijelaskan.
Pada usia mentah ini, anak sememangnya mempunyai keinginan untuk meneroka perkara baharu.
Ini termasuklah tingkah laku anak yang akan menyentuh, menarik dan menggosok anggota badan termasuklah alat kelamin mereka.
Tingkah laku anak normal atau tidak?
Perlu diakui semua individu, termasuklah kanak-kanak mempunyai perasaan seksual dan rasa ingin tahu mengenai seks dan seksualiti.
Rasa ingin tahu yang wujud dalam diri anak membuatkan mereka mempunyai keinginan untuk meneroka badan mereka atau rakan dengan melihat atau menyentuh.
Usah terkejut jika si kecil mungkin cuba mengintip ahli keluarga yang berada di dalam bilik mandi atau sedang menukar pakaian mahupun mencuri pandang dari luar bilik tidur.
Umumnya, sukar untuk membezakan antara tingkah laku anak berkaitan seksual yang normal atau ia menandakan mereka mungkin mengalami masalah.
Berikut adalah beberapa perkembangan seksual normal bagi kanak-kanak, seperti:
- Memainkan permainan ‘doktor’ di mana mereka akan meneroka dengan melihat atau menyentuh bahagian peribadi satu sama lain
- Menyentuh kemaluan mereka sendiri
- Bersikap ingin tahu tentang bogel
Manakala tingkah laku anak berkaitan seksual yang BERBAHAYA merangkumi salah satu elemen berikut:
- Melibatkan kanak-kanak dengan perbezaan usia sekurang-kurangnya lebih 2 tahun
- Perbuatan berterusan walaupun ditegah oleh ibu bapa
- Menyebabkan bahaya atau potensi bahaya – fizikal atau emosi
- Mensimulasi perbuatan seksual dewasa atau pornografi
Contoh perkembangan seksual berbahaya pada anak:
- Meniru perlakuan seks dengan mainan, haiwan kesayangan atau kanak-kanak lain
- Meletakkan objek pada bahagian seksual badan
- Berulang kali menunjukkan bahagian kelamin atau melancap di khalayak ramai
- Melakukan tingkah laku seksual dengan kanak-kanak berusia 4 tahun atau lebih
- Kelakuan seksual paksaan dalam apa jua bentuk
- Permainan seks berterusan secara rahsia apabila tidak dipantau individu dewasa
Tingkah laku anak mengikut usia
Rasa bimbang apabila memikirkan atau membayangkan tingkah laku anak sedemikian, kan?
Tetapi bagaimana untuk menentukan perbuatan yang dilakukan anak itu adalah normal berdasarkan usia mereka?
Untuk memudahkan anda, berikut senarai kelakuan anak mengikut peringkat usia boleh dijadikan panduan:
0 hingga 5 tahun
Normal:
- Mempunyai soalan dan menyatakan pengetahuan berkaitan:
- Perbezaan jantina, bahagian sulit pada badan
- Kebersihan diri dan bilik air
- Kehamilan dan kelahiran
- Akan meneroka alat kelamin dan mengalami pengalaman baru
- Melihat dan menunjukkan bahagian sulit
Tidak normal:
- Mempunyai pengetahuan mengenai tindakan seksual tertentu atau bahasa seksual eksplisit
- Melakukan hubungan seksual seperti individu dewasa dengan kanak-kanak lain
6 hingga 8 tahun
Normal:
- Inginkan pengetahuan dan mempunyai persoalan tentang:
- Perkembangan fizikal, hubungan dan tingkah laku seksual
- Haid dan kehamilan
- Nilai peribadi
- Bereksperiman dengan kanak-kanak sebaya dan sama jantina, selalunya semasa permainan role-playing
- Rangsangan diri secara peribadi dijangka berterusan
Tidak normal:
- Interaksi seksual seperti individu dewasa
- Mempunyai pengetahuan mengenai tindakan seksual tertentu
- Berkelakuan seksual di tempat awam atau melalui penggunaan teknologi telefon atau internet
9 hingga 12 tahun
Perubahan hormon dan pengaruh luaran, seperti rakan sebaya, media dan internet, akan meningkatkan kesedaran, perasaan dan minat seksual pada peringkat awal akil baligh.
Normal:
- Memerlukan pengetahuan dan mempunyai soalan tentang:
- Bahan dan maklumat seksual
- Hubungan dan tingkah laku seksual
- Guna perkataan seksual dan membincangkan tindakan seksual dan nilai peribadi – biasanya dengan rakan sebaya
- Peningkatan eksperimen dengan tingkah laku seksual dan hubungan romantis
- Rangsangan diri secara peribadi dijangka berterusan
Tidak normal:
- Tingkah laku seksual seperti individu dewasa yang kerap
- Berkelakuan seksual di tempat awam
13 hingga 16 tahun
Normal:
- Memerlukan pengetahuan dan mempunyai pertanyaan berkaitan:
- Membuat keputusan
- Hubungan sosial dan seksual
- Nilai peribadi dan kesan tingkah laku seksual
- Rangsangan diri secara peribadi dijangka berterusan
- Anak perempuan akan mengalami haid, manakala anak lelaki akan mula menghasilkan sperma
Tidak normal:
- Melancap di tempat awam
- Menunjukkan minat seksual kepada kanak-kanak lebih muda
Mainkan peranan anda
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau setiap tingkah laku anak dan memastikan perkembangan seksual yang sihat.
Pemantauan dan perbincangan secara terbuka dengan anak tentang batasan privasi penting ketika si kecil semakin meningkat usia.
[embed-health-tool-child-growth-chart]