Pening kepala melihat barang mainan bersepah? Adakah terdapat cara untuk mengajar anak mengemas rumah selepas bermain?
Situasi tersebut boleh dikatakan pemandangan biasa di rumah terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil.
Bagi anda yang sedang mencari tip untuk melatih anak mengemas barang permainan mereka, mungkin perkongsian ibu ini boleh dijadikan panduan. Ayuh, teruskan pembacaan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tidak terlalu mengikut kehendak anak
Memulakan cerita mengenai melatih si kecil mengemas rumah, Radin Nursyafawati Syafiqah Radin Sallehuddin, 32, menganggap dirinya sebagai seorang ibu yang tidak terlalu mengikut kehendak anak, terutamanya apabila melibatkan perkara seperti membeli permainan.
Lebih mesra dengan panggilan Syasya, dia memberitahu jika anaknya, Rayyan Mikhael, 3, menginginkan sesuatu mainan dan harganya tidak terlalu mahal, barulah dia tidak keberatan untuk membeli permainan tersebut.
Namun jika barang permainan tersebut sudah ada di rumah, dia akan memberikan anaknya pilihan mainan lain.
“Syasya akan cakap dengan Rayyan untuk memilih barang mainan yang tidak ada lagi di rumah. Semasa dia memilih, Syasya akan ceritakan yang mainan ini sama macam dalam cerita kartun yang ditontonnya.”
Berbeza pula situasi dengan suaminya, Rozaidie Md Rani, 32, atau lebih dikenali dengan panggilan Boy.
“Tetapi kalau Boy pula, dia akan mengikut kehendak anak. Katakanlah Rayyan mahukan sesuatu mainan walaupun sudah memilikinya di rumah, dia tidak berkira untuk membelikannya.
“Begitu juga kalau dalam soal harga mainan, Abahnya tidak kisah untuk membelanjakan duit bagi membelikan permainan, sebaliknya Syasya ‘berkira’ sedikit,” ujar suri rumah tangga ini yang turut menjalankan perniagaan makanan kecil-kecilan di rumah.
‘Kedekut’ dalam membeli barang mainan
Bagi Syasya, dia menjadi agak berkira dalam soal membeli mainan kerana Rayyan tidak begitu pandai dalam menjaganya.
“Kadang-kadang baru sahaja membelinya, sudah pecah, hilang kaki sebelah ataupun selepas membeli mainan dan singgah ke mana-mana, mainan tersebut akan hilang kerana Rayyan meletakkannya merata-rata.”
Tambah Syasya lagi “Pernah juga selepas membeli mainan, Syasya singgah ke kedai runcit untuk membeli barangan dapur. Rayyan ikut sekali sambil membawa mainannya. Apabila ternampak biskut yang diingini, dia meletakkan seketika mainan tersebut dan terus terlupa mengenainya.”
Dilatih mengemas rumah sejak awal
Apa tips kemas rumah?
Bagi mendidik anaknya sayangkan barang, Syasya mula melatih Rayyan untuk belajar mengemas permainannya sejak berumur setahun.
“Ada satu hari, semasa Syasya tengah mengemas, tiba-tiba Rayyan tolong sekali masukkan mainannya ke dalam kotak. Masa tu Syasya rasa dia sudah boleh belajar secara perlahan-lahan untuk mengemas selepas bermain.
“Masa awal-awal, memang Rayyan excited untuk tolong mengemas. Lama-kelamaan dia mula memberikan alasan penat kerana terlalu banyak barang mainan,” tambah Syasya.
“Kadang-kadang sampai Mama dia ini perlu mengamuk, barulah Rayyan akan mengemas permainannya. Itupun dilakukan dengan perlahan-lahan.”
5 tip mengajar anak mengemas rumah selepas bermain
Berikut antara cara yang dilakukan Syasya untuk mendidik anaknya mengemas barang permainan sendiri:
1. Sentiasa ingatkan anak untuk mengemas mainan
Syasya menjelaskan, sebelum Rayyan mula bermain atau sedang bermain, dia akan mengingatkan anaknya untuk mengemas mainan nanti.
“Syasya akan pesan dengan Rayyan untuk tidak terlalu menyepahkan mainan sebab nanti kalau Opah atau sesiapa terpijak, akan sakit kaki.”
Biasanya Rayyan akan memberi respons dengan menganggukkan kepalanya atau menjawab ‘Okay Mama, nanti Rayyan kemas.”
2. Memberikan pujian
Ada kalanya, apabila Rayyan terlupa untuk mengemas, Syasya akan mengajak anaknya untuk melakukannya bersama-sama.
“Sambil-sambil menunjukkan cara mengemas rumah, Syasya akan memberikan kata pujian kepada Rayyan, contohnya seperti ‘Rayyan kan good boy, kalau good boy kenalah kemas mainan selepas bermain.”
3. Tegas
Syasya tidak menafikan kadangkala dia akan bertegas dengan Rayyan jika anaknya itu tidak mahu mengemas rumah selepas bermain.
“Syasya akan pegang rotan dan tunggu Rayyan mengemas satu persatu barang mainannya tanpa membantu. Ada kalanya, Syasya akan meninggikan suara sedikit. Kedengaran agak kejam tetapi sekali-sekala, Syasya perlu bertegas dengan Rayyan,” jelas Syasya lagi.
4. Give and take
Semasa tengah bermain, jika Rayyan memberitahu dia mahukan susu, Syasya akan meminta dia mengemas terlebih dahulu barang mainan.
“Syasya melatih Rayyan dengan cara ini supaya dia faham situasi give and take. Apabila mahukan sesuatu, maka dia juga perlu melakukan sesuatu sebagai balasan,” ujar Syasya.
5. Bercerita sambil mengemas rumah
Untuk menggalakkan anaknya mengemas selepas bermain, Syasya akan bercerita sambil mengemas.
“Rayyan sukakan mainan transport macam bas, excavator dan sebagainya. Jadi Syasya akan cakap, Rayyan excavator sudah habis minyak, dia nak tidur. Kena hantar excavator ke workshop (bekas mainan). Sambil mengemas nanti, Rayyan akan bertanyalah kenapa excavator mahu tidur dan sebagainya,” jelas Syasya.
Jangan terlalu memaksa
Syasya tidak menafikan dalam melatih anak sesuatu perkara baharu, ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Dalam hal mengemas rumah selepas bermain ini, setiap ibu bapa perlu konsisten melakukannya bersama dengan anak-anak. Tunjukkan contoh yang betul cara mengemas mainan, barulah anak akan memahami definisi mengemas yang kita maksudkan.”
“Elakkan juga membuatkan anak stress untuk mengemas. Mungkin dengan bercerita seperti Rayyan, anak tidak akan merasakan mereka dipaksa untuk berkemas, sebaliknya dia menganggap sedang menghantar barang mainan ke workshop,” ujar Syasya mengakhiri temu bual.
[embed-health-tool-child-growth-chart]