Kelahiran bayi adalah perkara yang menggembirakan hati mana-mana ibu bapa. Tetapi adakah anak anda bersedia menerima kehadiran adik beradik baru?
Untuk lebih banyak info tentang tip keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kehadiran adik beradik baru
Pastinya wujud rasa gementar untuk berdepan reaksi anak-anak lebih tua terhadap bayi yang baru lahir, kan?
Maka bertimpa-timpalah persoalan muncul di benak fikiran apabila ada kelahiran anak baharu.
Bagaimana harus memberitahu pada anak yang lebih tua bahawa mereka akan mempunyai adik?
Adakah mereka akan cemburu dengan anak baru?
Apakah yang boleh anda lakukan agar mereka menerima kehadiran adik baharu?
Untuk mana-mana ibu bapa sekali pun, kehadiran anak baru adalah satu langkah besar.
Ini terutamanya jika si abang atau kakak masih kecil. Mereka mungkin akan berasa diri dipinggirkan dan diketepikan daripada menjadi tumpuan.
Kebanyakan kanak-kanak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehadiran adik baharu di dalam keluarganya.
Usah khuatir wahai ibu dan ayah, biasanya apabila bayi sudah berusia sekitar 14 bulan (setahun 2 bulan), hubungan positif antara adik-beradik akan mula berkembang.
Masa sesuai umumkan kelahiran bayi
Sekiranya kalian sedang melakukan persediaan untuk menerima kehadiran bayi, menentukan masa dan perkara yang perlu dikongsikan dengan anak-anak berkaitan si adik adalah bergantung pada ibu bapa.
Usia anak-anak juga memainkan peranan penting.
Sebaiknya, anda disarankan untuk memperkenalkan idea mengenai kehadiran adik pada awal kehamilan.
Jika tidak, sekurang-kurangnya 3 atau 4 bulan sebelum bayi dilahirkan.
Anda boleh cuba untuk berborak mengenai bayi secara umum. Kemudian bincangkan tentang kehadiran adik beradik baru.
Manakala anak yang lebih berusia mungkin akan bertanyakan kepada anda daripada mana bayi berasal, bagaimana mereka boleh berada di dalam perut dan cara bayi akan keluar.
Apabila berbual dengan anak-anak mengenai seks, lakukan penjelasan mudah dan bersesuaian dengan usia. Ia adalah pilihan terbaik.
Umumnya, terdapat banyak buku berkaitan kehamilan dan kelahiran bayi yang mungkin boleh membantu anda.
Persiapkan anak untuk kehadiran adik beradik baru
Persediaan untuk anak boleh dibahagikan kepada 3 bahagian utama, iaitu:
Sebelum kelahiran bayi
Anak anda perlu berasakan perubahan ini adalah seluruh keluarga. Anda boleh lakukan:
- Bercerita dengan anak mengenai bayi. Lihat gambar dan terangkan bagaimana keluarga berkembang
- Tunjukkan gambar mereka semasa kecil
- Biarkan mereka menyentuh perut anda untuk rasakan pergerakan bayi yang menendang daripada dalam. Jika membawa mereka semasa pemeriksaan pranatal, biarkan mereka untuk mendengar sama degupan bayi
- Libatkan mereka dalam persiapan adik baharu
- Tanyakan kepada mereka apakah perkara yang mereka paling nantikan selepas bayi dilahirkan
- Sekiranya ada kebimbangan dalam hati anak, bincangkan dengan mereka mengenainya. Berikan mereka pelukan dan kasih-sayang
- Fokuskan kepada kebaikan jika mempunyai adik beradik baru untuk disayangi
Anda mungkin boleh memberikan idea kepada anak bagaimana rasanya memiliki bayi baharu.
Bawalah anak berjumpa rakan atau ahli keluarga yang baru melahirkan bayi.
Ini membolehkan mereka sedar bayi gemar tidur dan memerlukan penjagaan – dan bukannya rakan sepermainan yang lasak!
Sekiranya anda ingin memulakan latihan tandas atau peralihan bilik tidur, lakukan sebelum bayi lahir.
Jika tidak, hentikan daripada melakukan sebarang perubahan sehingga bayi sedikit besar.
Semasa proses bersalin
Berikut adalah beberapa idea untuk membantu anak-anak berada dalam keadaan baik sekiranya ibu akan ke hospital untuk melahirkan bayi:
- Biarkan anak mengetahui siapa yang akan menjaga mereka di saat ketiadaan ibu. Sebaiknya pilihlah pengasuh atau penjaga yang mereka kenali dan selesa untuk bersama
- Letakkan gambar keluarga dalam bilik tidur anak agar mereka sentiasa berasakan anda ada bersama
- Aturkan rutin harian anak seperti biasa, jika boleh. Ini dapat membantu mereka berasa lebih selamat
- Sentiasa berhubung dengan anak yang lain semasa berada di hospital. Jika keadaan ibu dan bayi sihat, izinkan anak untuk melawat di hospital
- Jika anak yang lebih dewasa datang menziarah, buatkan mereka rasa disayangi dan istimewa. Ucapkan betapa anda rindukan mereka
Membawa adik beradik baru pulang
Idea berikut dapat membantu anda menguruskan perkara semasa membawa pulang bayi buat pertama kalinya:
- Yakinkan kepada anak-anak – terutamanya jika mereka masih kecil – dengan pelukan penuh kasih-sayang sebelum memperkenalkan bayi untuk pertama kalinya
- Sekiranya ada ahli keluarga yang membawa hadiah untuk bayi, cadangkan untuk mereka turut membawa sesuatu untuk anak-anak yang lain
- Anda juga boleh menyediakan hadiah kecil dan jadikan ia seperti pemberian si adik untuk abang atau kakaknya
- Memberikan patung kecil kepada anak juga mungkin idea yang boleh dicuba. Ia membuatkan mereka berasa seperti mempunyai bayi mereka sendiri
Kehadiran adik beradik baru pastinya akan mengubah keluarga anda.
Perhatian!
Semasa anak yang lebih tua sedang berusaha menyesuaikan diri, sentiasa berikan keyakinan bahawa kasih-sayang dan perhatian anda pada mereka tidak akan pernah berubah.
Dalam masa sama, jelaskan kepada anak mengenai peranan dan tanggungjawab penting mereka dalam keluarga sebagai abang mahupun kakak.
[embed-health-tool-child-growth-chart]