Seorang ahli psikologi kanak-kanak, Anthony E.Wolf, PhD, menyatakan bahawa perbuatan membanding-bandingkan anak-anak antara satu sama lain hanya akan mencetuskan perasaan benci terhadap sesama mereka.
Hidup di bawah bayang-bayang adik-beradik lain akan membuatkan anak anda berkecil hati justeru mengundang kecenderungan mereka mengalami kemurungan. Seorang lagi ahli psikologi kanak-kanak iaitu Peter Goldenthal, PhD, pula menyatakan bahawa emosi anak-anak mudah terganggu terutamanya ketika mereka berasa kecil hati.
Isu kepercayaan
Isu kepercayaan dalam kalangan adik-beradik juga merupakan isu yang kerap dialami oleh anak remaja anda. Anak remaja menganggap adik-beradik mereka yang masih kecil mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa. Ini akan menyebabkan perasaan tidak percaya dalam diri anak remaja sekaligus menjarakkan hubungan sesama mereka. Sebagai contoh, anak yang masih kecil akan mengadu kepada ibu bapa setiap apa yang dilakukan oleh abang atau kakak mereka yang sebenarnya mahu disembunyikan. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada terjadi dengan tidak melayan sekiranya anak kecil anda ingin mengadu untuk menunjukkan anda hormat akan privasi anak remaja anda kecuali perkara yang diadukan itu melibatkan kesihatan dan keselamatan anak remaja anda seperti penggunaan dadah dan sebagainya.
Anak remaja juga turut mempunyai perasaan cemburu terhadap adik-beradik yang lebih tua kerana mereka mempunyai lebih kebebasan dan privasi berbanding mereka yang lebih muda. Sudah tentu kematangan menjadi punca permasalahan ini. Oleh itu, ibu bapa perlulah lebih peka dan mendidik anak-anak agar tidak wujud sebarang perasaan iri hati di samping membina kematangan dalam diri anak-anak mereka.
Pergaduhan
Pertelingkahan dalam kalangan adik-beradik selalunya bermula ketika mereka berumur lapan hingga dua belas tahun. Fizikal anak anda akan mula berubah menjadi lebih besar dan kuat. Ini akan membuatkan mereka bersifat lebih agresif terhadap adik-beradik mereka untuk menunjukkan sifat mereka yang dominan.
Kebiasaannya, pergaduhan dalam kalangan adik-beradik akan terjadi sekiranya mereka berada dalam kumpulan jantina dan umur yang lebih kurang sama serta mempunyai minat yang sama. Ini adalah normal dan perlu dijadikan sebagai latihan untuk mereka belajar mengekspresi serta mempertahankan diri mereka. Dengan bantuan anda, anak-anak akan lebih matang dalam menyalurkan kemarahan serta menyelesaikan perbalahan antara mereka.