Memberikan anak makan makanan yang sihat merupakan tanggungjawab setiap ibu bapa. Namun, tidak semua makanan yang sihat itu disukai oleh anak-anak, terutama sekali apabila dijadikan sebagai snek. Namun begitu, snek yang sihat tetap menjadi fokus utama ibu bapa disebabkan kebaikan snek berkhasiat untuk tubuh anak. Kami kongsikan di sini pengalaman Puan Norhamimah menyediakan snek sihat untuk anaknya berserta contoh snek berkhasiat yang boleh anda cuba di rumah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Laiqa, kanak-kanak perempuan yang lasak
Nur Malaiqa merupakan puteri kedua bagi pasangan Puan Norhamimah Abu Samah dan Encik Norham Mohd Yusuf.
Nur Malaiqa, atau lebih mesra dipanggil Laiqa sahaja sudah pun memasuki usia 10 bulan.
Menurut ibunya, Laiqa boleh dikatakan sebagai seorang yang agak lasak.
Malah, sifat lasaknya itu sudah boleh dilihat sewaktu dirinya masih lagi bayi.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Pisang, antara contoh snek berkhasiat kegemaran Laiqa
Menurut Norhamimah, Laiqa mula diberi makan solid food sewaktu usianya memasuki 6 bulan.
Pada waktu itu, dia memperkenalkan nasi putih yang dikisar halus sahaja tanpa menambah sebarang gula atau garam.
Bermula pada usia tersebut juga, Laiqa secara perlahan-lahan diperkenalkan dengan makanan sampingan atau snek sehinggalah umurnya sekarang.
Antara contoh snek berkhasiat yang diberikan oleh ibunya ialah seperti buah-buahan dan juga biskut bayi.
Ada juga masanya Laiqa diberikan roti putih selepas dia sudah mula pandai mengunyah.
Kata Norhamimah lagi:
“Contoh snek berkhasiat yang menjadi kegemaran Laiqa ialah pisang yang biasanya kami berikan sementara menunggu waktu makan tengah hari dan makan malam”.
Ini 5 contoh snek berkhasiat yang disediakan Norhamimah!
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai produk makanan bayi atau snek bayi yang dijual di pasaran.
Hal ini pastinya memudahkan ibu bapa untuk mendapatkan snek pilihan untuk anak kecil di rumah.
Namun menurut ibu ini, bagi kanak-kanak yang berusia bawah 2 tahun, kebanyakan produk makanan di pasaran tidak sesuai untuk diberikan kepada anak.
Ini disebabkan kandungan gula dan garam yang tinggi.
Oleh sebab itu, dia menyediakan dan memilih sendiri snek untuk Laiqa di rumah.
Antara snek yang disediakan untuk anaknya ialah:
- Yogurt buah-buahan. Sebaiknya, hanya gunakan yogurt biasa yang dicampur dengan buah-buahan potong segar.
- Biskut beras. Biskut ini banyak dijual di pasar raya. Lihat kepada jenis biskut yang telah dicampur dengan sayur atau buah-buahan.
- Aiskrim homemade. Aiskrim homemade boleh dibuat sendiri tanpa mencampurkan gula dalam adunannya.
- Pisang bakar. Pisang bakar ini biasanya dihidangkan sekali dengan sedikit parutan keju.
- Cekodok atau jemput-jemput. Cekodok ini digoreng dengan menggunakan mentega tanpa garam.
Ini pula kebaikan beri anak snek sihat
Norhamimah menyatakan, contoh snek berkhasiat seperti pisang amat digalakkan untuk diberi kepada anak-anak selain daripada hidangan utama.
Antara kebaikan snek berkhasiat kepada anak ialah ia dapat mengawal rasa lapar anak sepanjang hari.
Selain itu, snek yang berkhasiat juga boleh membekalkan tenaga dan nutrien penting untuk tubuh anak kita.
Tambahan pula, snek merupakan jenis hidangan ringkas yang mudah untuk disediakan sewaktu keluar berjalan-jalan atau beriadah.
Anak-anak boleh menikmati snek sewaktu mereka sedang bermain-main atau melakukan aktiviti lain.
Ibu kena kuat mental kalau anak kerap minta makan snek
Walaupun penyediaan snek untuk anak agak mudah, namun ibu juga memerlukan mood yang baik untuk menyediakan makanan tersebut.
Kata Norhamimah,
“Ada masa saya agak penat bekerja di siang hari dan tidak sempat menyediakan snek untuk anak-anak pada waktu malam. Selain itu, anak-anak juga ada kalanya akan terus meminta snek walaupun baru sahaja habis waktu snacking. Pada waktu ini, ia memang sangat mencabar bagi mengelakkan anak daripada terus meminta snek. Sebagai ibu bapa, kawalan mental memainkan peranan penting untuk mengawal pemakanan snek ini. Janganlah ibu bapa melarang atau memarahi anak-anak sekiranya mereka berkeras mahu makan snek pada waktu yang lain”.
Sedikit tip daripada ibu ini, jika anak kerap meminta snek bukan pada waktunya, cuba tarik perhatian mereka untuk melakukan aktiviti lain agar mereka tidak meminta-minta lagi.
Kesimpulan
Tidak salah untuk memberikan snek kepada anak, malah ia amat digalakkan.
Namun, ibu bapa perlu mengawalnya dengan memberikan snek pada waktu tertentu sahaja.
Paling penting, pastikan snek yang diberikan itu berkhasiat untuk tumbesaran anak-anak.