Kepentingan pendidikan seks di sekolah memang mustahak, namun di rumah juga sama! Persoalannya, bilakah masa yang sesuai untuk mula memberikan pendedahan pembelajaran ini kepada si kecil?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, anda juga boleh klik di sini.
Kenapa pendidikan seks itu penting?
Berbicara tentang seks, mungkin ramai yang menganggap ia 1 topik yang tidak patut dibincangkan secara terbuka. Namun, seiring peredaran masa dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat, ia bukan lagi 1 perkara tabu.
Sebaliknya perkara berkaitan seks atau seksualiti adalah isu penting yang harus diberikan keutamaan.
Ini kerana kanak-kanak pada masa kini, sangat berisiko terlibat ke kancah masalah seks tidak sihat serta gejala-gejala tidak bermoral.
Walau bagaimanapun, pastinya masih ada dalam kalangan ibu bapa yang mempersoalkan kepentingan pendidikan seks ini kerana berasakan ia tidak perlu diajar kepada kanak-kanak.
[embed-health-tool-child-growth-chart]
Adakah benar ia tidak perlu?
Risiko jika tiada pendedahan awal tentang pendidikan seksual
Mungkin ada yang cuba untuk menidakkan, tetapi hakikatnya anak-anak, sama ada daripada golongan remaja mahupun kanak-kanak berisiko untuk terdedah kepada gejala yang tidak sepatutnya.
Anak-anak pada masa kini dengan mudah boleh mengakses laman sesawang pornografi, malahan lebih teruk lagi jika mereka berkongsi video atau sebarang gambar yang tidak sepatutnya kepada rakan-rakan.
Ada juga yang sanggup melakukan hubungan seks dengan rakan-rakan atau sesiapa dengan hanya dijanjikan duit belanja persekolahan, makanan, barangan yang dikehendaki atau pun tiket wayang.
Keadaan seperti di ataslah yang menjadikan betapa pentingnya pendidikan seks untuk didedahkan kepada anak-anak seawal usia mereka sudah mula dan pandai untuk bertanya lagi.
Pakar Perunding Obstetrik Dan Ginekologi (O&G) dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr Harlina Halizah Haji Siraj, pendidikan berkaitan seks adalah 1 ilmu pengetahuan seumur hidup.
5 dimensi perlu diketengahkan
Menurut Dr Harlina terdapat 5 dimensi pendidikan seksual dan ia bukan sekadar dilihat dari aspek biologi atau fizikal semata-mata. 5 dimensi tersebut adalah:
- Dimensi pertama – biologi dan fizikal.
- Dimensi kedua – kognitif, iaitu akal dan fikiran.
- Dimensi ketiga – perasaan.
- Dimensi keempat – sosial.
- Dimensi kelima – spiritual dan kerohanian.
Pakar O&G ini turut mencadangkan terdapat keperluan untuk remaja dan kanak-kanak diajar di rumah terlebih dahulu mengenai seksualiti sebelum tanggungjawab itu dilepaskan kepada guru-guru di sekolah.
Oleh sebab itu, penting untuk ibu bapa mencari maklumat berkaitan seks yang betul dan menyalurkannya kepada anak-anak.
Ini adalah untuk membantu ibu bapa menjawab persoalan daripada anak dan mengelakkan mereka mendapat maklumat salah daripada carian internet.
Sama ada anak itu lelaki atau perempuan, kedua-duanya perlu diberikan pendedahan awal tentang pendidikan seksual. Ia adalah satu tanggungjawab semua pihak dan bukanlah 1 topik tabu untuk dibincangkan.
Jadi bilakah masa yang sesuai untuk berbincang mengenai seks ini bersama anak-anak?
Waktu sesuai pendedahan pendidikan seks
Apabila anak semakin meningkat usianya, maka perkembangan dirinya juga akan menjadi semakin kompleks. Ditambah pula dengan keinginan yang semakin membuak-buak di dalam diri.
Maka di sinilah perlunya bimbingan tepat daripada ibu bapa. Malah ibu bapa juga harus sentiasa bersedia dan fleksibel untuk berkomunikasi mengenai seks secara terbuka dengan anak-anak.
Namun, pasti ada dalam kalangan ibu bapa yang keliru dan tidak tahu masa yang tepat untuk memulakan perbincangan dan pendedahan tentang seks kepada anak, bukan?
Seorang Profesor Psikologi di Harvard Medical School, John T. Chirban berkata, pendidikan seks kepada kanak-kanak boleh bermula apabila anak mula dan sering bertanya mengenai organ-organ penting dan asal-usulnya.
Umumnya, pada usia 4 hingga 5 tahun, kanak-kanak sudah mula mengenali setiap anggota badan mereka termasuklah organ pembiakan.
Ada juga kanak-kanak mula membandingkan apa yang mereka miliki dengan kanak-kanak yang berlainan jantina.
Sebagai ibu bapa, anda seharusnya memanfaatkan momen harian untuk membangunkan perbualan tentang pendidikan seksual kepada kanak-kanak.
Dalam masa yang sama ia dapat membantu mengembangkan pengetahuan anak anda.
Antara soalan yang paling kerap ditanya oleh kanak-kanak pada lingkungan usia ini adalah “Dari mana datangnya bayi?”
Jika persoalan tersebut menjadi tanda tanya buat si anak, anda boleh menyatakan tentang sperma pada ayah yang bertemu ovum di dalam rahim ibu sehingga wujudnya bayi dalam perut ibu.
Ini adalah jawapan yang boleh diberikan kepada si manja.
Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, pembelajaran seks merupakan 1 proses yang akan berlaku seumur hidup. Maka ibu bapa tidak seharusnya memberikan segala pengetahuan seks dalam 1 masa.
Lakukannya secara perlahan-lahan, satu demi satu tanpa perlu tergesa-gesa.
Ini kerana sudah menjadi 1 tabiat si kecil untuk kembali bertanyakan soalan yang sama apabila pengetahuan mereka semakin meningkat.
Peranan bersama
Mungkin masih ada ibu bapa yang berasakan pendidikan seksual adalah tanggungjawab guru-guru.
Namun percayalah, pendedahan awal dari rumah adalah perkara yang terbaik dan ia merupakan 1 peranan bersama antara guru dan ibu bapa.