backup og meta

Elak Kanak-kanak Jadi Mangsa Amang Seksual, Ajar Si Kecil 7 Perkara Ini!

Elak Kanak-kanak Jadi Mangsa Amang Seksual, Ajar Si Kecil 7 Perkara Ini!

Pernahkah anda dengar mengenai amang seksual? Sejak tahun lalu, anda mungkin perasan bahawa perkataan ini banyak ‘timbul’ di media sosial. Namun, apakah maksudnya yang sebenar?

Bagi ibu bapa yang tidak mengetahui, maksud amang seksual ialah sentuhan fizikal ke atas mana-mana anggota badan untuk tujuan seks. Amang bermaksud mengancam, menggugat atau menakut-nakutkan. Pendek kata, ia adalah satu bentuk ancaman seksual.

Sebagai ibu bapa, siapa yang tidak peduli mengenai keselamatan anak sendiri, kan?

Lebih merisaukan, gangguan seksual terhadap kanak-kanak yang selalu kita tonton di siaran berita bukanlah dilakukan oleh orang lain – dalangnya ialah ahli keluarga atau orang dewasa yang kita sendiri kenal dan percaya.

Jadi, apakah cara yang terbaik untuk cegah kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak ini?

Dalam artikel kali ini, kami akan jelaskan lebih lanjut mengenai isu ini supaya ibu bapa di luar sana lebih cakna tentang keselamatan anak-anak.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

Amang seksual – Bagaimana ibu bapa boleh mencegahnya? 

amang seksual
Jenis gangguan seksual pada kanak-kanak.

Bukan semua kanak-kanak tahu bahawa mereka telah dieksploitasi secara seksual. Selalunya, kes gangguan seksual sampai ke pengetahuan ibu bapa apabila semuanya sudah terlambat.

Benar, kes gangguan seksual merupakan satu perkara yang sangat mendukacitakan. Ibu bapa mana yang ingin anak mereka diperlakukan sedemikian rupa?

Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah bersikap lebih terbuka. Bercakap mengenai seks kepada kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, ramai yang rasa tidak selesa untuk berbincang mengenai maksud amang seksual terutamanya kepada anak-anak yang masih kecil.

Namun, disebabkan jumlah kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat, ibu bapa perlu lakukan sesuatu untuk mendidik anak mengenai sentuhan-sentuhan yang tidak patut.

Jadi, apakah pendekatan terbaik yang boleh diambil? Semuanya bergantung kepada usia anak anda.

1. Pertama sekali, ajar anak nama sebenar alat sulit mereka

Elakkan menggunakan perkataan seperti ‘bebird’, ‘nenen’, ‘totey’ dan sebagainya.

Ajarkan mereka perkataan sebenar seperti payudara, zakar atau faraj supaya mereka dapat bercakap dengan jelas sekiranya anak mempunyai sebarang persoalan atau ingin meluahkan sesuatu.

2. Bukan semua anggota badan boleh disentuh sesuka hati

Pastikan anak tahu bahagian badan yang mana yang boleh dan tidak boleh disentuh atau dilihat oleh orang lain.

Jika anak masih kecil, terangkan kepada mereka bahawa hanya ibu dan ayah sahaja boleh melihat mereka tidak berbaju. Namun, orang yang tidak dikenali hanya boleh melihat mereka dengan pakaian yang lengkap.

3. Ajar anak cakap TIDAK

gangguan seksual kanak-kanak
Cara mendidik anak tentang sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat.

Ajar anak cakap TIDAK jika ada yang ingin menyentuh kawasan intim mereka.

Malah, tegaskan kepada mereka bahawa tidak ada sesiapapun yang boleh menyentuh kawasan intim mereka atau orang lain tanpa izin.

Selalunya, individu yang menjadi mangsa kes amang seksual diminta untuk menyentuh kawasan intim pelaku atau orang lain terlebih dahulu. Jadi, pastikan anak faham bahawa mereka juga TIDAK BOLEH menyentuh kemaluan orang lain.

4. Jangan simpan rahsia jika terdedah dengan perkara ini

  • “Abang suka main dengan adik. Tapi, adik jangan beritahu mak ya?”
  • “Kalau adik beritahu sesiapa, abang akan pecahkan rahsia adik. Semua orang akan marah dan takkan percayakan adik lagi!”

Jelaskan kepada anak bahawa contoh tingkah laku amang seksual sebegini tidak OK. Jika ada sesiapa yang ingin atau telah melakukan sentuhan yang tidak wajar, ajar anak untuk terus jujur dan beritahu ibu bapa.

5. Ajar anak cara untuk menyelamatkan diri jika terdedah dengan pelakunya

jenis gangguan seksual
Cara mengatasi gangguan seksual pada kanak-kanak.

Kadangkala, kanak-kanak rasa takut untuk berkata TIDAK, lebih-lebih lagi kepada orang dewasa yang mereka hormat atau percaya.

Walau bagaimanapun, jika anak rasa tidak selamat, pastikan anda ajar mereka cara yang terbaik untuk melarikan diri.

Ajar anak untuk minta diri secara baik, contohnya buat alasan ingin ke tandas atau sebagainya bagi menjauhkan diri daripada pelaku.

Selain itu, anda juga boleh gunakan ‘kod’ atau ‘perkataan’ khas tertentu yang boleh anak gunakan jika mereka rasa tidak selamat.

Sebagai contoh, jika pelakunya merupakan orang yang dikenali, anak boleh hantar pesanan ringkas dengan gunakan emoji tertentu sebagai tanda mereka tidak selesa dan ingin diselamatkan.

6. Kadangkala, pelakunya bukan orang dewasa

Bukan semua pelakunya adalah orang dewasa. Kadangkala, anak terdedah dengan gangguan seksual oleh rakan sebaya sendiri yang mungkin berada dalam kelas yang sama.

Oleh sebab itu, pastikan anak faham bahawa bukan semua ‘orang jahat’ adalah seperti apa yang mereka tonton di kaca televisyen. Orang yang terdekat – malah ahli keluarga, guru mahupun rakan sendiri – boleh menjadi pelakunya.

7. Yakinkan anak bahawa mereka tidak akan dimarahi

Kanak-kanak selalunya takut akan dimarahi oleh ibu bapa. Ketakutan inilah yang menyebabkan mereka berdiam diri dan enggan bercerita lebih lanjut jika mengalami sebarang contoh tingkah laku amang seksual.

Sebagai ibu bapa, pastikan anda dapat menjadi tempat selamat untuk anak. Bincanglah dengan mereka tentang kes amang seksual ini sejak kecil supaya mereka lebih percaya dan tidak takut untuk berterus terang.

Ajarkan mereka maksud amang seksual supaya mereka lebih berani untuk bercerita dengan anda.

Kesimpulan

Kini, anda telah mengetahui cara yang terbaik untuk cegah masalah ini terhadap kanak-kanak. Bukan semua kanak-kanak tahu bahawa mereka telah dieksploitasi secara seksual.
Jadi, ibu bapa perlulah sentiasa peka dengan keadaan semasa anak anda dan mendidik mereka mengenai bentuk gangguan seksual yang tidak patut mereka alami.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. About Sexual Abuse. https://childmind.org/article/10-ways-to-teach-your-child-the-skills-to-prevent-sexual-abuse/. Accessed September 19, 2022.
  2. Sexual Harassment and Sexual Bullying. https://kidshealth.org/en/teens/harassment.html. Accessed September 19, 2022.
  3. Talking to Kids About Sexual Harassment … Before They Even Know About Sex. https://www.commonsensemedia.org/articles/talking-to-kids-about-sexual-harassment-before-they-even-know-about-sex. Accessed September 19, 2022.
  4. Talking to Your Kids About Sexual Assault. https://www.rainn.org/articles/talking-your-kids-about-sexual-assault. Accessed September 19, 2022.
  5. What Kids And Teens Can Do About Sexual Harassment. https://www.stompoutbullying.org/teen-sexual-harassment-what-to-do. Accessed September 19, 2022.

Versi Terbaru

20/09/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Nak Cari Pasangan Sejiwa TillJannah? Pilihlah Lelaki Dengan 11 Ciri Ini, Mesti Bahagia!

Pendidikan Seksual: Kepentingannya Terhadap Kanak kanak


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/09/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan