Bertanya dan minta tunjuk ajar
Meskipun anda telah menghadiri kelas ataupun belajar tentang ilmu penyusuan, namun ia sama sekali berbeza dengan praktikal. Anda dinasihatkan untuk mula menyusukan bayi, sebaik-baiknya dalam tempoh satu jam pertama selepas melahirkan bayi. Anda boleh bertanya kepada doktor atau orang yang berpengalaman untuk membantu anda menunjukkan cara yang betul menyusukan si manja. Dapatkan juga tips dari jururawat materniti atau konsultan laktasi hospital tentang panduan penyusuan.
Anda mesti selesa
Bukan keselesaan bayi sahaja yang perlu anda ambil kira, sebalikinya, sebelum memulakan penyusuan, pastikan anda berada dalam kedudukan yang selesa dan tenang. Gunakan bantal penyusuan jika perlu.
Posisi bayi
Kedudukan bayi semasa menyusu amat penting dalam membantunya mendapatkan susu yang cukup. Caranya:
- Pegang bayi rapat ke arah badan dan payudara ibu. Pastikan kepala dan badan bayi lurus.
- Ampu bahagian belakang dan punggung bayi dengan kemas. Anda boleh memegangnya dengan pelbagai cara asalkan anda merasa selesa.
- Rapatkan bayi ke payudara (bukan payudara ke bayi). Rapatkan seluruh badan bayi ke dada bukan hanya bahagian kepala. Pastikan seluruh bahagian areola masuk ke dalam mulut bayi.
- Penyusuan yang betul adalah apabila mulut bayi terbuka luas, dagu bayi menyentuh payudara, hidung bayi terletak pada payudara dan bayi boleh bernafas serta ibu boleh mendengar bunyi bayi menelan susu.
Kenali rentak penyusuan bayi
Ketahui tanda-tanda awal bayi lapar seperti pergerakan bibirnya untuk menghisap puting. Bayi baru lahir lazimnya menyusu antara 10 hingga 30 minit bagi setiap sesi. Lazimnya, ibu akan menyusukan bayi antara 8 hingga 12 kali sehari.
Berikan bayi menyusu di dua belah payudara
Meskipun anda lihat si manja hanya selesa dengan sebelah payudara sahaja, tapi pastikan dia dapat menyusu di kedua-dua belah payudara. Hal ini bagi memberikan bayi selesa dengan kedua-dua belah payudara di samping mengelakkan lebihan susu pada sebelah payudara sahaja.
Positif
Jika anda mengalami kesukaran untuk menyusukan bayi, bertenanglah! Jangan mudah putus asa. Dapatkan nasihat daripada pakar dan mereka yang berpengalaman.