backup og meta

Baby Dah Ready Untuk Makan? Ibu Kena Elak Bagi Anak 10 Makanan Ini, BAHAYA!

Baby Dah Ready Untuk Makan? Ibu Kena Elak Bagi Anak 10 Makanan Ini, BAHAYA!

Pasti ramai ibu yang sudah tidak sabar memberikan makanan pertama bayi, bukan? Pelbagai menu ingin dicuba tetapi adakah ia bersesuaian dengan nutrisi bayi? 

Biasanya sebaik sahaja anak mencecah usia 6 bulan, ibu boleh memperkenalkan kepada makanan dan minuman selain daripada susu ibu atau susu formula.

Makanan dan minuman yang diberikan ini boleh dianggap sebagai makanan pelengkap atau complementary food untuk bayi.

Adakah terdapat cara untuk ibu mengetahui jika anak sudah bersedia menerima makanan pejal pertamanya?

Antara tanda yang boleh dilihat adalah: 

  • Anak sudah boleh duduk dengan sedikit atau tanpa sokongan
  • Anak mempunyai kawalan kepala yang baik
  • Anak membuka mulut dan badan terdorong ke depan apabila ditawarkan makanan

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Bayi, sila dapatkannya di sini.

Nutrisi bayi

Kebanyakan bayi sudah boleh memulakan pengambilan makanan pejal apabila mencapai usia sekitar 6 bulan. 

Tidak terdapat aturan atau urutan tertentu mengenai jenis makanan yang harus diberikan.

Ini bermakna, anda boleh memberikan makanan yang dapat melengkapi keperluan nutrisi bayi merangkumi bijirin, daging atau protein lain, buah-buahan, sayur-sayuran, yogurt, keju serta banyak lagi.

nutrisi bayi

Memperkenalkan makanan pertama bayi

Sebagai permulaan dalam memberi makanan pertama bayi, anda disarankan untuk membiarkan anak mencuba satu makanan dalam satu-satu masa tertentu.

Ini dapat membantu anda untuk melihat sama ada anak mempunyai masalah dengan makanan tersebut atau tidak, seperti alahan makanan

Seeloknya, tunggu antara 3 hingga 5 hari bagi setiap pemberian makanan baharu.

Pun begitu, jika terdapat sejarah keluarga dengan alahan makanan, mungkin anda boleh berunding dengan pakar pediatrik terlebih dahulu. 

Secara umum, terdapat 6 jenis makanan yang berpotensi menyebabkan alahan seperti: 

  • Susu 
  • Telur
  • Ikan
  • Kerang
  • Kekacang termasuk kacang tanah dan kacang soya
  • Gandum

Makanan perlu dihindari

Walaupun anda disarankan untuk mempelbagaikan jenis makanan untuk memenuhi keperluan nutrisi bayi, tetapi terdapat makanan dan minuman tertentu harus dielakkan. 

Berikut adalah contoh makanan dan minuman yang tidak boleh diberikan kepada bayi kerana ia mungkin boleh mendatangkan risiko bahaya, iaitu:

  1. Madu kerana ia boleh menyebabkan keracunan makanan serius yang dikenali sebagai botulisme pada anak yang berusia di bawah 12 bulan.
  2. Gula jagung dan gula pemanis sintetik lain.
  3. Gula-gula, coklat, kek.
  4. Makanan dan minuman dengan pemanis tiruan seperti soda. Anak di bawah usia 24 bulan tidak digalak untuk diberikan gula tambahan.
  5. Semua jenis kopi dan teh.
  6. Makanan pencuci mulut.
  7. Makanan dengan rempah tambahan, perasa, garam dan lemak seperti kentang goreng
  8. Produk tenusu seperti keju, susu atau yogurt yang dihasilkan daripada susu mentah (tidak dipastur). Ia mendedahkan bayi kepada bakteria E.coli yang boleh mengakibatkan cirit-birit teruk.
  9. Daging atau makanan salai yang terdapat pada bahagian sejuk beku di pasaraya.
  10. Ayam, ikan, daging atau telur mentah mahupun separuh masak.

Baca juga:

Elak anak tercekik

Dalam seronok menyediakan makanan pertama bayi, ibu perlu berhati-hati ya.

Ini kerana terdapat makanan yang boleh menyebabkan anak tercekik dan perlu dielakkan walaupun lengkap dengan kandungan nutrisi bayi, antaranya:

nutrisi bayi

  • Bertih jagung, kerepek kentang dan pretzel
  • Ketulan ais
  • Kacang, bijian, mentega kacang
  • Biskut keras, bar granola
  • Kismis dan buah kering lain
  • Sayuran mentah seperti lobak dan saleri
  • Makanan bersaiz besar
  • Gula-gula berbentuk bulat, gula-gula getah dan marshmallow
  • Buah-buahan mentah yang keras seperti sebiji anggur dan buah yang mempunyai biji
  • Roti panas dan melekit yang boleh mengembang serta menyebabkan tercekik
  • Ikan dan ayam dengan tulang
  • Sosej – makanan diproses ini juga tidak disarankan pada bayi kerana kandungan lemak dan garam yang tinggi

Sebaiknya untuk mengelakkan si manja daripada tercekik makanan, potongan buah-buahan atau sayuran perlulah dihiris memanjang dan bukannya seperti duit syiling. 

Untuk buah-buahan seperti anggur atau sayuran seperti tomato disarankan untuk dipotong menjadi kepingan kecil dan dibuang kulitnya.

Nutrisi bayi: Penyediaan puri

Memberikan anak makan puri juga salah satu cara untuk memenuhi keperluan nutrisi bayi. 

Tetapi tidak tahu bagaimana cara penyediaannya? Mudah sahaja.

1. Sediakan daging. Pastikan ia sudah dibuang tulang, kulit dan lemak yang kelihatan.

2. Untuk buah-buahan dan sayuran pula, pastikan ia segar. Kupas kulit dan buangkan batang atau biji.

Bagi sesetengah buah segar seperti pisang dan sayuran tidak perlu dimasak untuk dijadikan puri.

Untuk makanan di dalam tin pula, pastikan ia tidak mengandungi gula, garam atau sebarang bahan pengawet tambahan.

3. Pastikan air rebusan menutupi makanan dan rebuskan ia sehingga menjadi lembut. Biarkan sejuk.

Kisar makanan yang hendak dijadikan puri di dalam pengisar makanan. Jika perlu tambahkan sedikit air masak sehingga campuran sebati dan berkrim. 

nutrisi bayi

Nutrisi bayi: Susu formula

Bagi ibu yang memilih untuk memberikan anak susu formula, fahamilah walaupun penyusuan susu ibu adalah amat disyorkan, namun susu ini juga dapat menampung keperluan nutrisi bayi.

Ingin tahu cara penyediaan susu botol untuk anak?

Berikut adalah langkah-langkahnya:

1. Penjagaan kebersihan

Ini termasuklah tangan, dapur dan peralatan yang akan digunakan. Sterilkan botol dan puting baru sebelum penggunaan kali pertama.

Sebagai pilihan, anda boleh merebus botol dan puting di dalam air untuk tempoh 5 hingga 10 minit.

Selepas penggunaan kali pertama, tiada keperluan untuk disteril, cukup sekadar membasuh dengan sabun dan air.

Namun bagi bayi berusia bawah 3 bulan, bayi pramatang atau mempunyai gangguan berkaitan sistem imun, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk meneruskan proses pensterilan. 

2. Penyediaan formula

Jika menggunakan formula serbuk, anda perlu menambah air. Ikut arahan pengeluar mengenai jumlah kuantiti air yang harus digunakan. 

Pastikan air yang dididihkan untuk tempoh tidak lebih daripada 2 minit dan biarkan ia sejuk mengikut suhu badan iaitu pada 37℃.

3. Panaskan susu formula

Jika bayi lebih gemarkan susu formula yang suam, anda boleh rendamkan botol dalam bekas berisi air suam dan biarkan ia untuk tempoh beberapa minit. 

Uji suhu susu dengan menitikkan beberapa titis di belakang tapak tangan.

Jangan gunakan ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan susu walaupun susu ibu. 

Ini kerana susu tersebut mungkin tidak dipanaskan secara rata dan berisiko melecurkan mulut bayi.

Baki susu sebaiknya tidak disimpan.

4. Penyimpanan susu formula

Susu formula yang tidak pernah dipanaskan boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk tempoh 24 jam.

Susu berbaki atau yang sudah dipanaskan, tidak boleh disimpan kembali.

Susu formula jenis serbuk perlu disimpan dalam bekas tertutup dalam ruang dingin dan harus digunakan dalam tempoh 30 hari selepas dibuka.

[embed-health-tool-baby-poop-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

All been accessed on April 2, 2021 from

http://www.floridahealth.gov/programs-and-services/wic/nutrition-materials/ 

https://www.cdc.gov/nutrition/infantandtoddlernutrition/index.html 

https://www.unicef.org/parenting/food-nutrition/feeding-your-baby-6-12-months

https://www.nutrition.org.uk/healthyliving/nutrition4baby/complementaryfeeding.html

http://nutrition.moh.gov.my/wp-content/uploads/2019/10/GP_Baby_Book.pdf

https://www.cdc.gov/nutrition/infantandtoddlernutrition/foods-and-drinks/index.html

https://www.cdc.gov/nutrition/InfantandToddlerNutrition/foods-and-drinks/foods-and-drinks-to-limit.html

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/infant-formula/art-20045791 

Versi Terbaru

29/09/2021

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Ibu Kena Ambil Tahu Cara Sendawakan Bayi, Barulah Si Manja Tak Meragam

Persiapan & Panduan Untuk Menyambut Kelahiran Bayi


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan