backup og meta

Mama, Elakkan Bayi Tidur Meniarap! Jika Tidak, Ini Bahaya Yang Bakal Terjadi!

Mama, Elakkan Bayi Tidur Meniarap! Jika Tidak, Ini Bahaya Yang Bakal Terjadi!

Bayi suka tidur meniarap bukanlah perkara asing, bahkan ia boleh dikatakan menjadi posisi kegemaran buat si kecil semasa melelapkan mata. Tetapi malangnya ada risiko yang boleh terjadi jika anda membiarkan bayi tidur meniarap. 

Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Benarkah bayi tidur meniarap tidak selamat?

Jawapan paling tepat, ya! Ia adalah tidak selamat untuk bayi tidur dalam posisi meniarap sebelum mencecah usia setahun. 

Kenapa? Ini kerana posisi tersebut meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS) – yang merupakan antara punca utama kematian bayi pada tahun pertama kehidupan mereka.

Walaupun terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada SIDS, tetapi bayi yang tidur secara meniarap boleh menjadi punca utama.

Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan persekitaran tidur si manja selamat dan mengelakkan daripada membiarkan bayi tidur meniarap.

Kurangkan risiko SIDS

Antara cadangan persekitaran tidur yang selamat dan dapat mengurangkan risiko SIDS adalah dengan meletakkan si manja dalam posisi:

bayi tidur meniarap

  • Secara menelentang
  • Dalam bilik berkongsi
  • Pada permukaan tempat tidur rata dan padat
  • Dalam bassinet atau katil bayi tanpa ‘objek lembut’ di sekelilingnya

‘Objek lembut’ adalah melibatkan item seperti bantal dan selimut kepada stuffed animal – di mana semua berisiko menyebabkan bayi sesak nafas. Ini bermakna, selain kain cadar yang dipasang, buaian atau katil bayi perlulah kosong.

Keadaan seperti ini haruslah sentiasa dipastikan tidak kira untuk tidur siang atau semasa menidurkan mereka pada waktu malam.

Di samping itu, ada penyelidik turut menyatakan apabila membiarkan bayi tidur meniarap, ia meningkatkan peluang untuk mereka menyedut nafas mereka yang telah dihembus.

Risiko untuk terjadinya situasi tersebut semakin meningkat apabila bayi tidur pada permukaan lembut, bersama stuffed animal atau terdapat bantal berhampiran muka mereka.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Apabila bayi menyedut semula nafas yang dihembus, ia akan menurunkan paras oksigen dalam badan dan meningkatkan tahap karbon dioksida.

Sekiranya anda masih mementingkan keselesaan mereka, salah satu cara terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan membedung si kecil. Tindakan ini memberikan mereka keselesaan dan kekal selamat semasa tidur.

bayi tidur meniarap

Bilakah masa sesuai untuk bayi tidur meniarap?

Setiap ibu bapa pastinya mahukan anak mereka tidur dalam keadaan selesa. Tidak dinafikan ada kalanya kita berasa ingin memberikan mereka stuffed animal atau selimut. Tetapi ingatlah saranan yang diberikan untuk memastikan keselamatan bayi ketika tidur.

Jangan risau, fasa ini tidak akan kekal selamanya dan risiko tinggi untuk mengalami SIDS juga akan berkurangan. Tetapi bila ya?

Biasanya selepas si manja berusia setahun, risiko terdedah kepada SIDS akan menurun secara mendadak pada bayi yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Ia menjadi masa sesuai untuk membiarkan si manja tidur meniarap atau mengiring.

Pasti akan ada yang bertanya kenapa penting untuk menunggu si manja mencapai tahap usia tertentu, betul tak?

Ini kerana apabila bayi semakin membesar dan dapat bergerak sendiri, mereka mempunyai kekuatan mencukupi untuk menggulingkan diri kembali ke posisi yang selamat.

Pun begitu, sememangnya terdapat bayi yang mula mengembangkan beberapa kemahiran mobiliti lebih awal. 

Sebagai contoh, sekitar usia 4 bulan – ada bayi yang mula berguling dari sisi ke sisi dan daripada meniarap ke terlentang. Dan menjelang usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah boleh berguling ke kedua-dua arah.

Baca juga:

Bayi suka tidur meniarap? Lakukan perkara ini

Memang akan ada bayi yang lebih gemar tidur dalam posisi meniarap. Bahkan keadaan tersebut juga dapat mengelakkan ketidakselesaan perut si manja berbanding dalam posisi lain.

Walau bagaimanapun, jika ini adalah situasi yang dihadapi setiap hari, adalah amat penting untuk anda mengalihkan posisi tidur mereka supaya ia tidak menjadi satu kebiasaan.

Membedung si kecil boleh memberikan mereka lebih keselesaan yang diperlukan semasa tidur dan dapat mengelakkan bayi tidur meniarap.

Sekiranya anda berdepan masalah untuk menggalakkan anak tidur menelentang dengan selesa, memulakan rutin tidur yang menenangkan mungkin dapat membantu.

Sebelum memulakan sebarang rutin tidur, pastikan anda:

  • Malapkan lampu
  • Periksa suhu bilik – disarankan bayi tidur dalam suhu bilik antara 20°C dan 23°C
  • Pastikan material pakaian si manja membolehkan pengudaraan yang baik dan tidak terlalu tebal
  • Gunakan mesin white noise untuk membantu hilangkan kebisingan luar

Apabila ingin mempertimbangkan sebarang rutin sebelum tidur, pilihlah sesuatu yang boleh anda lakukan secara konsisten setiap malam. Ini akan dapat membantu menetapkan mood dan tidur malam yang tenang.

Anda boleh memandikan si manja air suam dan menyapu minyak sebelum tidur untuk lebih keselesaan. Urutan juga boleh diberikan bagi memberikan ketenangan buat si kecil.

bayi tidur meniarap

Posisi tidur terbaik

Membiarkan bayi tidur meniarap boleh menyumbang kepada SIDS dan bahaya lain terutamanya pada tahun pertama kehidupan mereka. Cara terbaik untuk memastikan tidur yang selamat adalah dengan membiarkan si manja tidur menelentang.

Walaupun bayi suka tidur meniarap, tetapi biarlah posisi ini hanya ketika berpelukan dengan anda – ibu dan ayahnya. Pastikan mereka sentiasa diletakkan atau ditidurkan secara menelentang.

Percayalah, fasa ini tidak lama. Pejam-celik-pejam-celik, si kecil akan semakin membesar dan anda tidak perlu lagi risau mengenai keadaan ini.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Sudden Infant Death Syndrome (SIDS). https://kidshealth.org/en/parents/sids.html#, Accessed on June 12, 2022
  2. Frequently Asked Questions (FAQs) About SIDS and Safe Infant Sleep. https://safetosleep.nichd.nih.gov/safesleepbasics/faq, Accessed on June 12, 2022
  3. When Can Babies Start Sleeping on Their Stomachs? https://www.sleepfoundation.org/baby-sleep/baby-sleeping-on-stomach, Accessed on June 12, 2022
  4. Back to Sleep, Tummy to Play. https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/baby/sleep/Pages/Back-to-Sleep-Tummy-to-Play.aspx, Accessed on June 12, 2022
  5. Back to Sleep. https://www.lullabytrust.org.uk/wp-content/uploads/fact-sheet-back-to-sleep.pdf, Accessed on June 12, 2022
  6. Tummy Time. https://www.safesleepacademy.org/tummy-time/, Accessed on June 12, 2022 

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

12 Bulan Pertama Jaga Bayi, Mencabar! 9 Tip Ini Bantu Mama Papa Enjoy Fasa Parenthood!

AWAS Ibu, Jangan Benarkan Bayi Anda Tidur Dengan Bantal, Sampailah Usia Ini! Bahaya Boleh Terjadi


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan