Ada yang kata pengambilan vitamin ibu mengandung penting untuk buat badan lebih sihat dan kuat. Adakah benar atau sekadar mitos yang menjadi kepercayaan wanita hamil?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Vitamin ibu mengandung di farmasi
Jika anda sedang hamil atau mencuba untuk mengandung, kemungkinan anda mungkin sudah atau sedang mempertimbangkan untuk mengambil suplemen.
Umumnya, vitamin untuk wanita hamil atau vitamin pranatal dianggap sebagai makanan tambahan.
Vitamin ini diformulasi khas untuk membantu wanita hamil mendapat vitamin dan mineral yang diperlukan untuk menyokong tubuhnya dan bayi yang sedang membesar.
Walau bagaimanapun, terdapat salah faham mengenai vitamin ini yang telah digembar-gemburkan sehingga menjadi kepercayaan kebanyakan individu.
Sudah tiba masanya untuk kita bongkar tentang mitos yang salah ini!
Mitos vs Fakta vitamin ibu mengandung
Berikut adalah 8 mitos tentang vitamin pranatal dan fakta yang perlu anda tahu:
Mitos #1 – Hanya ambil vitamin pranatal ketika mengandung
Anda disarankan untuk mengambil vitamin setiap hari walaupun sebelum hamil, sepanjang tempoh kehamilan dan juga semasa menyusukan bayi.
Kebanyakan fasa tumbesaran utama berlaku pada minggu-minggu pertama kehamilan, malahan pada ketika anda belum menyedari yang anda berbadan dua.
Bagi ibu yang melakukan penyusuan eksklusif pula, manfaat vitamin yang dimakan disalurkan melalui susu akan dapat menyokong tumbesaran bayi .
Mitos #2 – Semua vitamin pranatal adalah sama
Walaupun variasinya sedikit, namun setiap jenama vitamin ibu hamil mungkin mengandungi vitamin dan dos yang berbeza.
Sesetengah vitamin mengandungi nutrien tambahan sementara ada yang lain dihasilkan untuk wanita yang memerlukan zat besi, asid folik, kalsium atau sebarang nutrien lain.
Pastikan anda sentiasa membaca label dan memilih vitamin mengikut keperluan pemakanan.
Mitos #3 – Multivitamin mengandungi semua keperluan
Anda mungkin memerlukan makanan tambahan sebelum, semasa dan selepas mengandung.
Bagi wanita hamil yang menjangkakan kelahiran bayi kembar atau lebih, anda mungkin memerlukan lebih banyak vitamin B12.
Wanita dengan masalah anemia, mungkin memerlukan suplemen zat besi.
Semasa menyusu badan, bayi mungkin kekurangan vitamin D, jadi berbincanglah dengan pakar pediatrik tentang pengambilan sebarang makanan tambahan.
Mitos #4 – Vitamin menjadikan anda lebih sihat dan kuat
Mengambil vitamin pranatal boleh menyebabkan anda mendapat kesan sampingan sakit jika tidak kena caranya. Keadaan seperti mual dan sembelit antara kesan sampingan yang boleh berlaku.
Untuk mengelakkan mual, pastikan anda memakan suplemen bersama makanan atau sebelum tidur, minum air dengan cukup dan bersenam.
Jika berterusan, berbincanglah dengan doktor tentang simptom dan cubalah jenama lain.
Mitos #5 – Makan vitamin tidak perlu risau akan diet pemakanan
Anda harus tahu, kebanyakan vitamin ibu mengandung tidak merangkumi 100% keperluan nutrien dan vitamin.
Terdapat sesetengah vitamin hanya dapat diserap ke dalam badan melalui makanan.
Pengambilan makanan berkhasiat membantu wanita hamil untuk mengekalkan berat badan seimbang bagi menyokong perkembangan bayi.
Mitos #6 – Wajib mengambil vitamin ibu mengandung
Kebanyakan doktor akan mengesyorkan wanita hamil untuk mengambil suplemen tambahan yang dirumus khas untuk kehamilan.
Terdapat juga multivitamin yang baik dan selamat untuk dimakan sewaktu mengandung.
Mitos #7 – Tidak perlu vitamin pranatal jika makan dengan seimbang
Setiap individu mempunyai jurang pemakanan dalam diet harian. Maka vitamin pranatal dapat mengisi jurang tersebut.
Seorang wanita mengandung memerlukan banyak khasiat tambahan seperti kalsium, kolin, zat besi, DHA/EPA, folat, vitamin C, vitamin A dan nutrien lain.
Tanpa khasiat yang mencukupi, anda dan bayi akan terdedah kepada komplikasi sebelum dan selepas kehamilan, seperti:
- Kelahiran bayi pramatang
- Kecacatan tiub saraf
- Preeklampsia
- Anemia
- Berat bayi lahir rendah
- Kencing manis semasa mengandung
Anda tidak dapat mencegah apa yang mungkin berlaku sepanjang tempoh kehamilan. Namun anda boleh mengurangkan risikonya dengan mengutamakan pengambilan nutrien penting.
Mitos #8 – Vitamin pranatal hanya untuk wanita hamil yang kurang vitamin
Kebanyakan multivitamin dihasilkan untuk memberikan ibu yang sedang mengandung mineral dan makanan tambahan.
Ia untuk membantu menjaga kesihatan ibu dan mendorong perkembangan janin agar lebih sihat.
Kebanyakan pakar akan menyarankan wanita yang merancang kehamilan untuk mengambil vitamin untuk ibu hamil sebelum dan sepanjang tempoh kehamilan.
Jika ada yang tidak kena, segera berjumpa pakar
Ada wanita hamil berasakan vitamin pranatal yang dimakan menyebabkan ketidakselesaan perut.
Masalah ini boleh diatasi jika anda mengambil vitamin ibu mengandung selepas makan atau semasa makan, lebih-lebih lagi buat mereka yang menderita mabuk pagi.
Jika tidak berkesan, mungkin anda perlu mencuba vitamin jenama lain.
Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan tentang vitamin pranatal yang anda ambil, bawa botol vitamin tersebut semasa pemeriksaan pranatal untuk menentukan sama ada ia sesuai atau tidak.
[embed-health-tool-due-date]