Pantang larang percakapan semasa mengandung, pantang larang pemakanan, pantang larang itu, pantang larang ini, tetapi perlu ke bakal ibu mengikuti semua itu?
Apakah ia sekadar kepercayaan dan mitos atau segala larangan itu adalah berlandaskan fakta? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Pantang larang percakapan semasa mengandung: Kepercayaan kepada kenan atau badi
Sebenarnya wujudnya pantang larang ini kerana rasa kebimbangan bayi dalam kandungan akan terkena kenan atau badi disebabkan oleh perbuatan si ibu.
Biasanya punca kenan yang berlaku kepada anak dikaitkan dengan perbuatan ibu ayah semasa tempoh kehamilan.
[embed-health-tool-due-date]
Salah satunya adalah pantang larang percakapan semasa mengandung seperti bakal ibu perlu mengelakkan daripada mencaci atau memarahi orang lain menggunakan perkataan yang tidak sewajarnya kerana dikhuatiri akan berbalik semula kepada anak.
Itu belum masuk bab larangan berkaitan pemakanan, pemakaian dan sebagainya yang tidak boleh diambil atau dilakukan sepanjang tempoh kehamilan.
Tetapi adakah kepercayaan berkaitan larangan ini ada rasionalnya?
Pantang larang percakapan semasa mengandung & sebagainya
Menyebut mengenai pantang larang semasa mengandung ini, ia lebih terkenal dalam masyarakat Melayu. Namun sebenarnya kaum Cina dan India juga tidak terkecuali untuk mempunyai larangan tersendiri.
Yang menjadi persoalan kini, adakah setiap larangan itu berdasarkan fakta dan mempunyai rasionalnya yang tersendiri?
Jom kita lihat beberapa larangan secara umumnya yang menjadi ikutan:
Pakaian ketat
Kecantikan amat sinonim dengan wanita, betul tak? Sebenarnya tiada salahnya untuk kekal bergaya walaupun ketika hamil, bahkan terdapat pelbagai pilihan baju mengandung yang menarik di pasaran.
Walaupun pemakaian pakaian yang ketat oleh bakal ibu mungkin tidak mengganggu perkembangan bayi, tetapi ia boleh menyebabkan pelbagai ketidakselesaan.
Antara ketidakselesaan yang boleh dialami ibu adalah:
Pedih ulu hati
Memakai pakaian ketat khususnya pada bahagian pinggang boleh menyebabkan pedih ulu hati atau asid refluks – keadaan biasa dialami ibu hamil.
Jangkitan yis
Pakaian ketat ini bukan sahaja melibatkan baju tetapi juga seluar dalam.
Semasa hamil akan berlaku peningkatan cecair faraj dan keadaan ini apabila digabungkan dengan seluar dalam ketat akan mewujudkan persekitaran sempurna untuk perkembangan yis yang berlebihan, sekali gus menjadi punca jangkitan.
Peredaran darah
Memakai pakaian yang ketat, sama ada mengandung atau tidak, boleh melambatkan peredaran dalam badan.
Pakaian ketat pada bahagian badan seperti lengan dan peha, boleh menjejaskan peredaran darah dan menimbulkan rasa kebas atau kesemutan.
Pantang larang percakapan semasa mengandung
Bukan sahaja bagi masyarakat Melayu, tetapi larangan ini turut terpakai kepada kaum Cina dan juga India.
Ini di mana ibu hamil perlu mengelakkan pertuturan seperti menghina, memburukkan individu lain, mengumpat mahupun mencaci kerana ditakuti akan terkenan kepada bayi. Namun jika difikirkan menggunakan logik akal, ia mungkin mustahil untuk berlaku.
Sebenarnya, ibu perlu menjaga percakapan bukanlah kerana takut terkenan pada si kecil yang bakal dilahirkan tetapi ia kerana wujudkan keperluan untuk menjaga emosi diri sendiri. Ada kaitan ke?
Biasanya dalam keadaan marah atau memaki hamun sudah pasti kita berada dalam tertekan mahupun emosi tidak stabil, bukan?
Tekanan boleh menyebabkan masalah darah tinggi semasa hamil, sekali gus meletakkan bakal ibu dalam keadaan berisiko untuk mengalami preeklampsia, kelahiran pramatang dan mempunyai bayi dengan berat lahir yang rendah.
Pengambilan makanan pedas antara larangan ibu hamil
Selain daripada pantang larang percakapan semasa mengandung, bakal ibu juga dilarang untuk mengambil makanan pedas kononnya kerana ia akan menyebabkan bayi menjadi botak.
Berita baiknya, makanan pedas yang diambil ketika berbadan dua adalah selamat 100% untuk bayi dalam kandungan anda. Ia tidak akan menyakiti mereka.
Walaupun makanan pedas tidak mendatangkan kesan buruk untuk bayi, tetapi ia boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak menyenangkan kepada anda.
Ia bukanlah sesuatu yang berbahaya, tetapi lebih kepada menyebabkan ketidakselesaan seperti pedih ulu hati, senak perut dan gangguan saluran gastrousus (GI).
Jadi sekiranya anda mengidamkan sebarang makanan pedas, pastikan ia tidak diambil secara berlebihan dan jangan lupa untuk minum air secukupnya – penting untuk memastikan diri kekal terhidrat.
Akhir kata
Sememangnya terdapat banyak larangan seperti pantang larang percakapan semasa mengandung, melibatkan aspek pemakanan, pemakaian dan sebagainya yang ada kalanya kedengaran seperti mengarut.
Namun bukan semua pantang larang itu adalah mitos atau kepercayaan tradisi semata-mata. Sebaliknya ada larangan yang berlandaskan rasional demi kesejahteraan bakal ibu dan bayi.
Sekiranya mempunyai keraguan atau pertanyaan berkaitan sebarang pantang pregnant elakkan daripada hanya membuat carian di internet semata-mata dan terus mempercayainya.
Sebaliknya kami di Hello Doktor amat menyarankan untuk anda merujuk atau bertanyakan terus kepada doktor atau pakar sakit puan bagi mendapatkan lebih kepastian.