Tidak dapat dinafikan, menyusu badan mempunyai cabaran tersendiri. Pun begitu, ia tidak bermakna ibu perlu mengetepikan aktiviti fizikal semasa tempoh penyusuan bayi.
Tapi bagaimana caranya?
Menyusu badan bukan penghalang untuk bersenam
Selepas melahirkan anak, ramai ibu yang menganggap mereka perlu melupakan soal menjaga kecergasan diri.
Ini kerana kebanyakan daripada mereka berasakan tiada masa untuk diluangkan bagi melakukan aktiviti fizikal.
Lebih menyukarkan lagi jika mereka memilih untuk menyusu badan kepada si manja.
Adakalanya, seseorang ibu itu mungkin sudah bersedia secara fizikal untuk bersenam bagi mendapatkan kembali tubuh yang cergas seperti sebelum mengandung.
Namun, dalam tempoh penyusuan bayi, wujud rasa berbelah bahagi kerana anda juga ingin berjaya untuk melakukan penyusuan eksklusif kepada si manja.
Jadi adakah terdapat cara atau tip untuk diamalkan oleh ibu-ibu yang menyusu badan agar tetap boleh menjaga kesihatan diri tanpa mengabaikan keperluan bayi?
Aktiviti fizikal tidak jejaskan bekalan susu ibu
Mungkin ada sesetengah ibu yang tidak mahu melakukan aktiviti fizikal kerana bimbang ia akan mengakibatkan pengeluaran susu badan berkurangan.
Apabila bersukan, keluar peluh dan badan terhidrat, kesannya susu semakin sedikit. Tetapi benarkah?
Bercanggah dengan apa yang difikirkan itu, hakikatnya senaman atau sebarang aktiviti kecergasan yang ibu menyusu badan lakukan tidak akan sama sekali mempengaruhi bekalan susu.
Ia mungkin akan mengubah rasa, seperti hasil yang ditunjukkan melalui kajian berkaitan tahap asid laktik dalam susu ibu selepas senaman kuat dilakukan.
Tetapi itu tidak bermakna anda tidak langsung boleh bersenam. Pilih untuk lakukan aktiviti intensiti sederhana.
Pun begitu, ada beberapa perkara yang perlu diingatkan, seperti:
- Tunggu sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya 6 minggu atau lebih
- Sekiranya menjalani pembedahan caesarean, biasanya anda boleh mula bersenam selepas 6 hingga 8 minggu selepas kelahiran. Walau bagaimanapun, anda harus berbincang dengan doktor sebelum memulakan sebarang jenis program senaman
- Beberapa jenis senaman, seperti berjalan kaki, dapat dilakukan bersama bayi anda
- Berjalan dengan pantas, latihan aerobik ringan dan latihan dalam air sangat sesuai pada tempoh awal mula bersenam
- Pantau bagaimana perasaan anda semasa dan selepas bersenam serta jadikan ia sebagai panduan untuk jumlah senaman yang boleh dilakukan. Sesetengah ibu mendapati mereka dapat mendapatkan kembali tahap kecergasan dan stamina dengan cepat selepas bersalin. Manakala ada juga yang memerlukan lebih banyak masa
6 tip bersenam buat ibu yang menyusu badan
Berikut beberapa petua yang bagus untuk diamalkan agar anda tetap dapat menjaga kesihatan diri dan si kecil walaupun semasa tempoh penyusuan:
- Bra sukan
Buat ibu yang melakukan penyusuan eksklusif, pemakaian bra sukan yang ketat pastinya menyebabkan ketidakselesaan.
Jadi anda disarankan untuk mendapatkan bra sukan yang bersesuaian untuk ibu menyusu.
- Banyakkan minum air
Menyusukan si manja memerlukan anda untuk memastikan penghidratan yang mencukupi sepanjang hari.
Ditambah pula dengan aktiviti kecergasan, ia membuatkan anda lebih cepat terhidrat. Maka, anda perlu minum lebih banyak lagi air bagi memastikan bekalan susu badan mencukupi.
- Mengepam susu
Anda perlu mempunyai jadual penyusuan atau mengepam susu yang sesuai.
Cara terbaik untuk mengelakkan ketidakselesaan pada payudara ketika bersenam adalah untuk melakukan menyusu badan atau mengepam susu sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit sebelum bersenam.
Dengan cara ini anda akan mempunyai cukup masa bersenam serta mandi sebelum payudara membengkak dan untuk menyusukan anak kembali.
Pastinya tip ini sangat berguna jika anda merancang untuk melakukan senaman seperti melompat, aktiviti kardio intensiti tinggi atau bertinju.
- Penjagaan pemakanan
Selain minum lebih banyak air, anda juga perlu menjaga aspek pemakanan harian yang diambil.
Sekiranya anda bersenam dan menyusukan anak, tubuh anda mungkin berada dalam mod penurunan berat badan.
Jadi, anda perlu memastikan tubuh mendapat snek ringan yang berkhasiat dan sihat untuk mengekalkan khasiat secara berterusan.
Daripada mengambil makanan berkalori tinggi dan diproses, seperti piza atau kerepek kentang, mengapa tidak menggunakan keperluan pengambilan kalori untuk makan secara sihat?
Antara pilihan yang baik adalah seperti keju kotej, telur rebus sama ada separuh atau masak sepenuhnya, mentega kacang, avokado, pisang, hummus atau yogurt.
- Urutan badan
Sekiranya anda mengenali seseorang yang boleh mengurut kaki anda seminggu sekali, ia sesuatu yang bagus.
Ini kerana urutan kaki dapat membantu melancarkan peredaran darah dan meningkatkan aliran darah bagi membuat kaki anda merasa lebih baik, khususnya daripada tekanan yang mungkin ditambah ketika berdiri dan bersenam.
Selain itu, urutan yang dilakukan bukan sekadar menghilangkan ketegangan, tetapi juga dapat menyegarkan badan untuk pemulihan dan pengembangan otot secara berterusan.
- Sedikit demi sedikit
Sama ada anda merupakan individu yang gemar melakukan aktiviti kecergasan atau baru merancang, sebaiknya mulakan bersenam dengan aktiviti berintensiti rendah.
Berjalan kaki, berenang dan yoga adalah cara terbaik untuk memacu badan kepada aktiviti riadah yang lebih susah dan berintensiti tinggi.
Kekal aktif pilihan terbaik buat ibu menyusu badan
Tetap aktif walaupun menyusu badan adalah penting untuk ibu bagi memastikan anda kekal menjaga kesihatan diri.
Bersenam dapat membantu ibu dengan penyusuan eksklusif menjalani rutin yang sihat, menurunkan berat badan, menegangkan badan, dan menolong mengawal hormon.
Paling penting, cari rutin aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan diri agar anda tidak berasa tertekan untuk bersenam.
[embed-health-tool-due-date]