Tidak dinafikan, senaman selepas keguguran sudah tentu adalah perkara terakhir yang anda ingin buat disebabkan oleh perasaan sedih dan kecewa akibat kejadian tersebut.
Pun begitu, wanita yang tidak bernasib baik ini juga perlu tahu bahawa aktiviti fizikal pasca trauma ini mungkin mampu buat tubuh badan anda sihat seperti sediakala.
Persoalannya, kenapa, bila dan bagaimana senaman selepas keguguran yang anda boleh lakukan? Jom teruskan baca artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih lanjut lagi!
Kenapa senaman selepas keguguran itu digalakkan?
Meskipun ia tidak dianggap sebagai satu perkara yang wajib, namun senaman selepas wanita mengalami keguguran kehamilan sangat digalakkan untuk memulihkan tubuh badan.
Selain membantu meningkatkan kesihatan fizikal, ia juga dapat mengembalikan kesihatan mental dengan cara menjauhkan masalah emosi seperti stres dan depresi.
Ia juga mungkin akan dapat membantu mendapatkan lebih banyak rehat dan tidur sekali gus mengelakkan daripada terjadinya kondisi bahaya seperti meroyan akibat kehilangan.
Ini adalah sangat penting kerana ramai pakar berpendapat bahawa wanita yang gugur janin perlu untuk pulih seperti sediakala semula selepas 6 minggu peristiwa itu.
Jadi, jangan terus meratap dan mulakan bersenam dalam usaha untuk anda melangkah ke hadapan.
Bila senaman selepas keguguran boleh dimulakan?
Pasca trauma itu, wanita sudah pasti akan memerlukan sedikit tempoh dan waktu bagi mendapatkan kemampuan dan keinginan untuk kembali bergerak dan beraktiviti.
Berapa lama durasi yang diperlukan itu pula adalah bergantung kepada punca, komplikasi, implikasi serta trimester kehamilan di mana anda mengalami keguguran.
Menurut American Pregnancy Association, wanita mungkin tidak perlu masa yang lama untuk kembali aktif jika anda gugur janin pada trimester awal yakni pertama.
Namun lain pula halnya jika ia terjadi pada trimester kedua dan ketiga, di mana punca, komplikasi dan implikasinya agak berat.
Disebabkan itu, sila berjumpa dan berbincang dengan doktor untuk lebih kepastian tentangnya.
Bagaimana jenis senaman yang sesuai buat anda?
Meskipun anda sudah yakin dan ingin beraktiviti, tubuh badan masih tetap akan mengalami ketidakselesaan seperti payudara bengkak, sakit pinggang dan sebagainya.
Jadi, aktiviti fizikal berat seperti sukan lasak atau sukan ekstrem mungkin bukan dalam pilihan anda. Sebaliknya, sila pilih senaman selepas keguguran yang lebih ringan.
#1. Jalan kaki
Begitu mudah bukan? Aktiviti santai seperti jalan kaki ini adalah sangat ideal buat wanita pasca keguguran kehamilan kerana ia tidak memerlukan terlalu banyak tenaga dan masa.
Tidak perlu di trek, ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja seperti di dalam rumah, di luar rumah, di pusat beli-belah dan lain-lain tempat.
Mulakan langkah anda dengan cermat dan perlahan, lama-kelamaan tingkatkan tahap intensiti agar lebih pantas dan laju untuk merelakskan kembali jiwa dan raga.
#2. Aktiviti yoga
Jika belum boleh bergerak bebas, ada satu jenis senaman selepas keguguran yang mungkin boleh dilakukan hanya di atas satu titik tanpa perlu pergerakan lebih banyak.
Senaman itu tentu sahaja yoga. Selain mampu membuat tubuh badan lebih segar, ia juga mampu membuat akal minda lebih tenang sekali gus merupakan pilihan senaman yang sesuai buat ibu yang baru keguguran.
Fakta
#3. Senaman pinggang bawah
Sangat penting untuk anda menguatkan kembali otot pinggang pasca gugur janin, dengan cara di bawah:
- Berbaring menelentang dengan kepala bersandar pada bantal, kedua kaki membengkok dan kedua tangan melurus di samping badan
- Berikan tekanan pada otot pinggang dengan cara mengangkat ia sedikit ke atas tetapi posisi punggung anda tetap menyentuh lantai
- Tahan posisi tersebut sekurang-kurangnya 3 saat sambil bernafas dengan biasa
- Perlahan kembalikan otot pinggang ke bawah dan jatuhkan ia semula ke lantai
- Ulangi pergerakan ini sebanyak 10 kali dalam masa 3 sesi sehari.
#4. Senaman perut bawah
Sangat penting untuk anda menguatkan kembali otot perut pasca gugur janin, dengan cara ini:
- Berbaring menelentang dengan atau mengiring dengan lutut membengkok, atau duduk bersila mahupun berdiri, sebagaimana yang anda rasa selesa
- Letakkan salah satu tangan atau kedua-duanya di atas perut tepat di kawasan pusat
- Berikan tekanan pada perut dengan tangan di saat menarik dan menghela nafas
- Lakukan ini secara berulang kali sehingga otot perut anda mula rasa relaks
- Perlahan tingkatkan tekanan yang diberi pada perut lebih kuat dan lebih lama, misalnya 3 detik ke 10 detik sesuai dengan pernafasan
Dengan senaman selepas keguguran, maka wanita akan lebih cepat sihat seperti sediakala semula!
[embed-health-tool-bmi]