Sesetengah wanita mungkin akan mengalami tompokan darah sebagai tanda awal kehamilan. Tetapi apakah perbezaan dan ciri ciri pendarahan implantasi atau haid?
Adakah keluar darah implantasi tapi upt negatif yang berlaku sebagai tanda wujud risiko untuk anda berdepan masalah kesihatan lain? Ikuti kupasan Hello Doktor ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Tanda awal kehamilan
Antara ciri ciri pendarahan implantasi adalah ia merupakan pendarahan ringan atau tompokan darah yang berlaku antara 7 hingga 14 hari selepas persenyawaan.
Jadi, persoalan pendarahan implantasi minggu ke berapa adalah di antara 7 hingga 14 hari selepas janin itu berjaya disenyawakan.
Selepas ovulasi dan ketika telur berjaya disenyawakan oleh sperma dalam tiub fallopio, embrio akan memulakan proses pembahagian dan membesar.
Dalam tempoh tersebut, lapisan dalaman rahim yang dikenali sebagai endometrium akan mula berubah.
Sepanjang proses kitaran haid, ia sudah pun menebal.
Tetapi lapisan ini perlu berkembang serta menjadi matang untuk melindungi dan menyuburkan embrio bagi tempoh sembilan bulan.
Sekitar 5 hingga 6 hari selepas persenyawaan, embrio akan bergerak melalui tiub fallopio dan memasuki rahim.
Embrio sudah mula memerlukan lebih banyak nutrien dan lapisan endometrium sudah cukup tebal untuk memberikan sokongan kepadanya.
Pada masa ini, embrio akan menempel pada endometrium, di mana ia akan bergantung pada tubuh ibu – buat kali pertamanya – bagi memenuhi keperluan nutrien dan oksigen.
Pendarahan implantasi berlaku ketika embrio bergerak ke dalam rahim, yang boleh menyebabkan saluran darah kecil pecah.
Kerana itulah akan muncul tompokan darah, sekali gus dianggap sebagai tanda awal kehamilan.
Ciri ciri pendarahan implantasi: Bila ia akan berlaku?
Ketika implantasi berlaku pada lapisan rahim, proses ini boleh mengganggu saluran darah kecil di tempat embrio masuk.
Umumnya, gangguan pada saluran darah yang berlaku tidak mendatangkan sebarang masalah kerana endometrium akan pulih dengan sendirinya.
Tetapi keadaan itu mungkin akan mengakibatkan sesetengah wanita mengalami warna darah implantasi yang berwarna merah jambu atau kecoklatan.
Biasanya sebagai ciri ciri pendarahan implantasi, ia akan terjadi lebih awal daripada jangkaan kedatangan haid bulanan anda.
Simptom pendarahan implantasi
- Pendarahan ringan atau tompokan darah yang dikatakan berbeza berbanding haid ekoran warnanya lebih gelap
- Kekejangan ringan, tidak seperti kekejangan disebabkan period
- Berasa lemah badan
- Payudara bengkak
- Perubahan emosi
- Sakit kepala
- Rasa loya
- Sakit bahagian belakang badan
Simptom yang dialami hampir serupa dengan gejala ketika datangnya haid. Jadi, apakah ciri ciri pendarahan implantasi yang membezakannya dengan haid?
Perbezaan & ciri ciri pendarahan implantasi atau darah haid
Kebiasaannya pendarahan haid akan berlangsung untuk tempoh selama 3 hingga 5 hari. Pengaliran darahnya bermula dengan banyak dan semakin berkurangan.
Manakala tompokan darah implantasi ini biasanya berwarna coklat gelap atau hitam, yang bermakna darah lama, walaupun ada kalanya ia boleh hadir dalam warna merah jambu atau merah.
Tompokan darah yang dianggap tanda awal kehamilan ini juga tidak banyak. Anda mungkin akan melihat tompokan ringan atau beberapa titisan darah.
Tidak dinafikan, sukar bagi wanita untuk mengetahui perbezaan antara ciri ciri pendarahan implantasi atau haid, kerana simptomnya sangat tidak jauh berbeza.
Namun, berikut dikongsikan 4 perbezaan utama yang boleh anda perhatikan.
Ciri-ciri haid
- Berlangsung selama 3 hingga 7 hari, dengan 2 hingga 3 hari darah berwarna merah terang
- Pendarahan bermula dengan banyak dan semakin berkurangan sehingga tiada lagi darah yang keluar
- Kekejangan yang dialami lebih teruk. Ia boleh terjadi sebelum haid bermula dan berterusan selama 2 hingga 3 hari
- Sesetengah wanita akan melihat gumpalan darah yang keluar ketika haid
Ciri ciri pendarahan implantasi
- Biasanya terjadi untuk tempoh tidak lebih 1 hingga 2 hari
- Darah yang hadir cenderung berwarna merah muda/terang hingga coklat gelap (seakan karat). Seorang wanita selalunya akan menyedari kehadiran darah itu apabila mengelap bahagian alat sulit atau terlihat tompokan darah pada pantyliner
- Mungkin berlaku kekejangan ringan atau tiada langsung
- Tidak akan keluar sebarang gumpalan darah
[embed-health-tool-ovulation]