backup og meta

Bukan 1, Tapi 2: Ini 12 Keistimewaan Jika Anda Dapat Anak Kembar

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 04/07/2022

    Bukan 1, Tapi 2: Ini 12 Keistimewaan Jika Anda Dapat Anak Kembar

    Kehamilan adalah pengalaman indah yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kebanyakan orang menjangkakan akan diberitahu tentang keadaan bayi mereka -yang hanya seorang- sewaktu temu janji ultrabunyi dengan doktor. Jadi bagaimana pula jika doktor memaklumkan mereka bakal memiliki bukannya satu, tetapi dua bayi -iaitu bayi kembar!

    Bagi sesetengah ibu bapa, ia mungkin bukanlah berita yang mereka harapkan – disebabkan kekangan kewangan atau sebab-sebab lain, mungkin mereka hanya mahukan seorang. Tetapi bagi kebanyakan ibu bapa, mereka mungkin akan merasa terkejut dan teruja dalam masa yang sama.

    Mempunyai dua bayi pada masa yang sama memang sukar – proses kehamilan, kelahiran, dan membesarkan anak akan anda alami secara berganda. Tetapi ini akan menjadi pengalaman yang sangat menakjubkan, bahkan mempunyai kembar lebih baik daripada membesarkan seorang bayi. Ingin tahu sebabnya?

    Inilah 12 sebab untuk anda nikmati kelahiran kembar

    1. Tawaran terhebat

    bayi kembar

    Dua baju dengan harga sehelai? Beli satu percuma satu? Semua orang akan berlumba untuk mendapatkan tawaran 2 dalam 1 sedemikian.

    Dengan kehamilan kembar, semua perkara akan jadi berganda. Kegembiraan berganda, keseronokan berganda, keterujaan berganda, rasa sayang suami yang berganda, tetapi mungkin juga kesukaran yang berganda.

    Kehamilan anda mungkin sangat melelahkan tetapi fikirkannya begini; orang lain terpaksa hamil dan melalui proses kelahiran dua kali untuk mendapatkan dua orang bayi, sedangkan anda hanya perlu melaluinya sekali. Sebaik sahaja segala-galanya selesai, anda pasti akan berasa bangga dengan diri anda, melalui kesusahan demi kesusahan sehinggalah lahirnya dua orang bayi yang cantik. Tiada tawaran 2 dalam 1 di dunia yang boleh mengalahkan pencapaian anda!

    2. Bayi kembar menghiburkan

    Mempunyai dua orang anak memang menghiburkan, lebih-lebih lagi jika mereka kembar. Sudahlah serupa, nakal berganda, si ibu pun dua kali ganda lebih terhibur.

    Apatah lagi sewaktu mereka di fasa meneroka diri sendiri dan persekitaran mereka. Mereka pasti mampu membuat anda tertawa tanpa perlu mencuba. Aduh, pasti pecah perut dengan gelagat mereka!

    3. Ikatan yang tak terlerai

    anak kembar

    Adik-beradik mempunyai ikatan hubungan yang sangat kuat, tetapi kembar mempunyai sesuatu yang istimewa – ikatan yang tidak boleh dileraikan. Mereka akan menjadi sangat akrab, kawan baik untuk satu sama lain daripada zaman kanak-kanak hingga dewasa.

    Sebagai seorang ibu, melihatkan anak anda mempunyai sokongan satu sama lain pastilah sangat melegakan hati anda. Apatah lagi kerana anda tidak akan selamanya ada untuk mereka.

    Melihatkan si kembar membesar dengan menyokong satu sama lain akan membantu anda lebih yakin untuk membiarkan mereka berdikari bila sampai masanya nanti.

    4. Anak kembar disukai ramai

    anak kembar

    Ini bukanlah bermaksud jiran tetangga, sahabat dan keluarga anda tidak akan membantu jika anda hanya mempunyai seorang bayi. Sebaliknya, jika anda mempunyai bayi kembar, anda pasti akan dicurahkan dengan perhatian ramai yang geram melihat telatah mereka.

    Rumah anda pasti tidak akan berhenti dikunjungi mereka yang terhibur dengan si kembar anda. Dalam masa yang sama, pasti ada yang menghulurkan bantuan yang anda perlukan untuk meringankan beban keibubapaan anda.

    5. Eh eh baju bayi kembar sama

    Ibu bapa yang mempunyai dua orang anak pun gemar memadankan baju anak-anak mereka, ini pula yang kembar. Inilah waktu untuk anda memuaskan nafsu memadankan baju anak anda dengan mencuba segala macam stail dan corak yang sepadan.

    6. Sesi foto anak kembar

    Ibu bapa lain gemar menggayakan anak mereka untuk fotografi? Anda mempunyai peluang yang lebih besar untuk menonjolkan kreativiti anda dengan dua model cilik yang sedia mendengar arahan untuk menghasilkan foto dan gambar bayi yang mengalahkan ibu bapa lain.

    7. Mudah lembut hati

    Cara mereka bertindak, berinteraksi dengan anda dan satu sama lain, membesar bersama, akan menjadi sangat istimewa dan terlalu comel untuk ditonton. Bahkan anda mungkin akan jadi kurang memarahi anak anda, lebih-lebih lagi bila dua pasang mata yang bulat dan besar menagih simpati atas ‘jenayah’ yang mereka lakukan bersama.

    8. Alasan Kukuh

    Membesarkan anak memang memenatkan dan anda mungkin terpaksa mengorbankan aktiviti sosial anda (yang mungkin tidak anda sukai). Memiliki kembar memberikan anda alasan yang lebih kukuh untuk mengelak sebarang acara membawang bersama jiran tetangga atau sebarang majlis yang tidak ingin anda hadiri. Semua orang akan jadi lebih memahami apabila anda mempunyai bayi kembar.

    9. Mengenali perbezaan anak kembar

    anak kembar

    Si kembar anda mungkin sedang sibuk meneroka dirinya, pasangan kembarnya dan persekitarannya. Sementara anda pasti tidak dapat menahan diri untuk cuba mengenalpasti tiap perbezaan antara si kembar. Daripada perbezaan fizikal, tabiat menyusu, personaliti dan tingkah laku mereka pasti anda sahaja trivia baru yang anda kongsikan kepada pasangan anda setiap hari.

    10. Tak perlu terburu-buru

    anak kembar

    Bagi pasangan lain yang mungkin dihujankan dengan persoalan “bila mahu menimang cahaya mata lagi?” Anda dan pasangan mempunyai alasan kukuh untuk menjarakkan kehamilan. Bahkan sesetengah ibu bapa mungkin tidak merancang untuk memiliki anak lagi setelah bayi kembar, kerana segala keseronokan telah pun mereka capai dengan anak kembar mereka.

    11. Rutin dan Parti untuk Dua

    Memiliki kembar bermakna dua orang anak anda akan membesar pada kadar yang sama, dengan rutin yang sama dan sambutan hari lahir yang sama. Waktu menenatkan apabila bayi tidak tidur malam juga akan anda hadapi sekali sahaja. Anda tidak perlu pening dengan keperluan pendidikan yang berbeza kerana mereka di usia persekolahan yang sama. Bahkan sambutan hari jadi pun menjadi lebih jimat dengan satu kek untuk si kembar anda.

    12. Terlalu Istimewa

    bayi kembar

    Anda mungkin mengeluh dengan bebanan fizikal, emosi dan kewangan yang bakal anda hadapi dengan kelahiran bayi kembar. Tetapi hakikatnya tidak semua wanita akan mengalami kehamilan, dan sedikit sahaja wanita yang mengalami kehamilan kembar. Jadi, saat anda mendakap bayi kembar anda kelak, bersyukurlah, kerana anda kini telah masuk ke alam istimewa dunia keibubapaan yang tidak semua orang berpeluang merasainya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan