Plasenta previa
Ini merupakan keadaan di mana plasenta (uri) menutupi serviks. Pendarahan tanpa kesakitan merupakan simptom lazim yang sering dialami oleh wanita. Bergantung kepada tahap plasenta previa, wanita tersebut akan mempunyai kelainan pada kaedah bersalin. Jika uri menutupi sebahagian atau keseluruhan serviks, wanita tersebut perlu melahirkan anak melalui pembedahan cesarean section (czer).
Kelahiran pramatang
Tiada tanda spesifik yang boleh digunakan untuk meramal sama ada seseorang wanita itu akan mengalami kelahiran pramatang ataupun tidak. Namun faktor-faktor seperti jangkitan semasa hamil, serviks pendek dan sejarah kelahiran pramatang membuatkan wanita tersebut berisiko untuk mengalami keadaan kesihatan tersebut. Wanita hamil yang mengalami tanda-tanda kelahiran sebelum mencecah usia kandungan 37 minggu dikatakan melalui kelahiran pramatang.
Rujuk profesional untuk dapatkan sokongan emosi
Pada Disember 2019, kajian yang dibuat di Universiti Rutgers telah mendapati bahawa wanita yang mengalami kehamilan berisiko tinggi perlu mendapatkan bantuan profesional dalam memastikan kestabilan emosi. Kajian tersebut telah diterbitkan di dalam Jurnal Psikologi Wanita bagi mengurangkan insiden kelahiran pramatang melalui pendekatan psikologi yang betul.
Menurut kajian tersebut, kira-kira 15% daripada kehamilan di seluruh dunia dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi. Keadaan ini boleh meningkatkan insiden bayi lahir kurang berat, kelahiran pramatang dan masalah keguguran jika tidak dirawat. Di Amerika Syarikat sendiri, hampir 10% daripada jumlah mereka yang hamil perlu ditahan di hospital berikutan keseriusan penyakit seperti hiperemesis gravidarum, preeklampsia dan diabetes gestasi.
Mereka yang mengalami kehamilan berisiko tinggi lazimnya menghadapi gangguan emosi dan tekanan stres yang tinggi. Tiada kelas atau pendidikan yang cuba memberikan nasihat secara khusus berkenaan dengan cara menyesuaikan diri, berfikiran positif atau bertenang dalam menghadapi kehamilan berisiko tinggi. Jika dibiarkan berlarutan, wanita tersebut berisiko untuk mendapat kemurungan atau keresahan yang boleh membebankan lagi kehamilan tersebut.
Bagaimanakah caranya untuk kita membendung masalah psikologi ini? Rujuk pakar dan profesional yang terlibat. Anda boleh berbincang dengan ahli keluarga anda namun tanpa pemahaman yang cukup berkenaan dengan kesan kehamilan berisiko tinggi terhadap fizikal dan mental, nasihat yang diberikan kebiasaannya tidak membawa apa-apa nilai melainkan untuk menenangkan sahaja.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen