Rasa seronok apabila mendapat perkhabaran bahawa cuti bersalin 98 hari telah diluluskan untuk pelaksanaannya. Tetapi pastinya akan timbul persoalan, apakah kepentingan memberikan cuti bersalin kerajaan dan swasta yang lama ini?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan cuti bersalin 98 hari untuk ibu & bayi
Terdahulu tular perkongsian doktor pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri yang mendedahkan beliau boleh mendapat cuti bersalin hingga setahun dengan memperolehi gaji penuh selama 5 bulan pertama sepanjang tempoh tersebut.
Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan rasa ‘cemburu’ dalam kalangan netizen memandangkan tempoh kebenaran cuti bersalin di Malaysia hanyalah selama dua atau tiga bulan.
Sebenarnya terdapat banyak sebab mengapa masa cuti sangat penting untuk wanita bekerja yang baru lepas bersalin.
Memasuki trimester ketiga kehamilan, badan akan berasa lebih berat kerana janin semakin membesar. Keadaan ini sering menyebabkan bakal ibu mengalami kesukaran bernafas, sukar tidur hingga keletihan. Rehat yang mencukupi adalah cara terbaik mengatasinya.
Memasuki fasa selepas bersalin, mendapat rehat mencukupi juga merupakan salah satu kunci untuk mengekalkan keadaan kesihatan diri dan bayi. Selain itu, ibu juga perlu mengadaptasi perubahan badan yang berlaku selepas bersalin.
Faktor lain seperti kurang tidur atau keletihan kerana menjaga bayi, turut menyumbang kepada tekanan emosi yang boleh menyebabkan baby blues atau kemurungan selepas bersalin.
Oleh itu, bagi wanita bekerja, cuti yang diperolehi pada waktu ini membolehkan mereka peluang untuk berehat, memulihkan tenaga dan fokus menjaga si kecil.
Dengan cuti bersalin 98 hari ini juga, kesihatan mental dan fizikal ibu dan anak dapat dikekalkan antaranya:
- Mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin
- Mengeratkan jalinan ibu-bayi
- Mengurangkan risiko kematian bayi
- Mengurangkan kemungkinan kemasukan ke hospital untuk ibu dan bayi
- Imunisasi bayi tepat pada masanya
- Meningkatkan kejayaan penyusuan eksklusif
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Apakah tempoh ideal cuti bersalin kerajaan & swasta?
Apa pentingnya cuti bersalin 98 hari ini untuk dilaksanakan di Malaysia?
Menurut sesetengah pakar berkata, tempoh rehat yang ideal untuk ibu baru melahirkan adalah lebih daripada 12 minggu selepas bersalin – tiga bulan ke atas. Ini kerana cuti tersebut memberikan manfaat jangka panjang untuk ibu dan bayi.
Berdasarkan kajian dalam Journal of Health, Politics, Policy, and Laws, ibu baharu yang mengambil cuti kerja kurang daripada enam bulan selepas melahirkan anak mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan selepas bersalin.
Pakar-pakar lain juga menyebut bahawa cuti bersalin lebih daripada enam bulan, tetapi kurang daripada setahun dianggap masa yang paling ideal.
Pun begitu, tidak kurang juga yang berpendapat bahawa tempoh rehat selama 12 minggu memadai untuk ibu memulihkan keadaan badan secara fizikal selepas bersalin.
International Labour Organization (ILO) turut menetapkan had cuti minimum yang perlu ditetapkan setiap negara, iaitu sekurang-kurangnya 12 minggu, tetapi 14 minggu adalah tempoh cuti yang disyorkan.
[embed-health-tool-due-date]
Tahniah! Cuti bersalin 98 hari bakal dilaksanakan di Malaysia
Berdasarkan Akta Kerja 1955 jumlah kelayakan cuti bersalin bagi semua pekerja wanita adalah sebanyak 60 hari atau bersamaan dua bulan.
Namun berita baik buat ibu-ibu hamil yang bakal melahirkan anak di luar sana! Kerajaan telah meluluskan tempoh lanjutan cuti bersalin berbayar yang asalnya dicadangkan 90 hari kepada 98 hari.
Cuti paterniti untuk lelaki turut dilanjutkan daripada tiga hari kepada tujuh hari yang akan dapat dinikmati sama rata oleh pekerja lelaki daripada sektor awam dan juga swasta.
Baca juga: