“Alahai, due date dah dekat tapi kenapa takda tanda baby nak keluar ni? Adoiii… tak naklah kena induce.” Haaa…makin lama menunggu makin nervous, bukan? Nak tahu petua cepat bersalin? Hello Doktor ada jawapannya untuk bantu percepatkan proses kelahiran anak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Petua cepat bersalin melalui makanan dan minuman
Pasti anda pernah mendengar petua mempercepatkan bersalin seperti memperbanyakkan berjalan dan melakukan senaman ringan.
Namun pada perkongsian kali ini, anda akan dapat mengetahui jenis makanan dan minuman yang boleh membantu proses bersalin anda.
Berikut adalah senarai makanan dan minuman tersebut:
Makanan
Makanan pedas
Dikatakan makanan pedas seperti kari atau tomyam dapat membantu membuatkan anda cepat bersalin.
Ini kerana apabila anda makan makanan ia akan merangsang prostaglandins yang akan menyebabkan kontraksi pada dinding rahim. Namun, pastikan anda makan dalam jumlah yang terkawal dan elakkan makanan yang terlalu pedas.
Betik muda
Di dalam betik dipercayai mengandungi enzim yang dipanggil papain. Enzim ini berfungsi untuk merangsang kontraksi di dalam rahim.
Nanas
Buah berwarna kuning ini mengandungi bromelain iaitu enzim aktif yang dikatakan boleh melembutkan serviks dan merangsang kontraksi untuk bersalin.
Kurma
Umumnya ia dikenali sebagai sumber makanan yang dapat membekalkan tenaga. Selain dapat memudahkan proses bersalin, ia juga dikatakan dapat mengurangkan pengaliran darah semasa bersalin serta dapat mempercepatkan proses pengecutan rahim.
Telur
Perkongsian pengalaman daripada individu yang pernah bersalin, mereka mengatakan memakan telur sebelum due date dapat membantu mempermudahkan proses bersalin.
Mungkin anda boleh mencuba petua cepat bersalin ini. Tetapi pastikan telur yang anda makan itu masak sempurna kerana telur yang kurang masak adalah tidak elok untuk bayi dalam kandungan.
Macam kelakar sahaja bunyinya, makan telur untuk bantu cepat bersalin, tetapi tiada salahnya untuk mencuba, bukan?
Minuman
Teh jintan
Minuman ini dikatakan biasa digunakan bagi merawat masalah perut kembung atau sebarang masalah berkaitan sistem pencernaan. Namun ia juga boleh membantu mempercepatkan proses bersalin.
Anda hanya perlu mengambil satu sudu jintan dan dimasukkan ke dalam air panas sebelum meminumnya.
Kelapa muda
Ada petua yang mengatakan, apabila usia kandungan mula menginjak ke tujuh bulan, anda amat disarankan untuk memperbanyakkan meminum air kelapa.
Ia dikatakan dapat memudahkan proses kelahiran. Selain itu, air kelapa muda juga boleh membantu menjaga kesihatan ibu dan juga janin jika diamalkan.
Daun teh rasberi
Terdapat kajian yang mendapati pengambilan teh ini dikatakan dapat mengurangkan risiko kelahiran terlebih due date. Ia dipercayai dapat merangsang kontraksi dan melembutkan otot rahim.
Air zam-zam
Minuman dari tanah Arab ini dikatakan boleh membantu anda untuk cepat bersalin. Mungkin ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik, tetapi tidak salah mencuba, bukan?
Cumin tea
Ada yang mengatakan minuman ini dapat membantu mempercepatkan proses bersalin. Malahan kalau ingin lebih berkesan, minuman teh ini boleh ditambah dengan kayu manis, jintan dan madu.
Minyak kelapa dara
Turut dikenali sebagai virgin coconut oil (VCO), bahan ini dikatakan dapat membantu proses bersalin.
Ia juga merupakan bahan yang boleh melawan jangkitan. Ia boleh diminum atau diambil dalam bentuk kapsul.
Terdapat juga sesetengah individu yang menggunakannya sebagai minyak sapu pada bahagian perineum bagi mengelakkan koyakan semasa bersalin.
Dapatkan kepastian
Senarai makanan dan minuman di atas bukanlah atas cadangan pakar perubatan. Jadi terdapat kemungkinan ia mungkin berkesan kepada individu lain tetapi tidak pada anda.
Walau bagaimanapun, sebelum anda mencuba sebarang petua cepat bersalin, sebaiknya anda mendapatkan nasihat dan pandangan daripada doktor bertauliah.
Kaedah semula jadi sebagai petua cepat bersalin
Jika anda takut untuk mencuba mengambil sebarang makanan atau minuman sebagai petua cepat bersalin, mungkin beberapa kaedah semula jadi berikut yang dikatakan turut dapat membantu mempercepatkan proses kelahiran anak boleh dicuba.
Ingin mengetahui tarikh jangkaan bersalin anda dengan lebih tepat? Kira EDD anda di kalkulator tarikh bersalin kami.
Berjalan kaki
Pastinya anda pernah mendengar petua daripada individu yang lebih berusia untuk memperbanyakkan berjalan. Anda boleh memilih sama ada berjalan kaki atau mungkin menaiki tangga.
Dikatakan tekanan graviti boleh membantu bayi untuk turun lebih jauh ke dalam saluran kelahiran dan mengembangkan serviks dengan tekanan mudah. Tip ini juga boleh dianggap sebagai senaman yang dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Tetapi jangan memaksa diri untuk berjalan terlalu lama atau jauh dan elakkan daripada menjadi terlalu penat, okay?
Rendaman air hangat
Menunggu saat melahirkan pastinya boleh mendatangkan tekanan, jadi anda boleh mencuba tip mandian air hangat.
Selain dapat membantu meredakan rasa tekanan, ia juga dikatakan dapat membantu mempercepatkan proses kelahiran bayi.
Melantun bola yoga
Sebelum tarikh jangkaan melahirkan bayi, anda boleh bermain dengan bola yoga dengan melantunkannya.
Dikatakan pada ketika melantunkan bola, anda mungkin akan mengalami beberapa kontraksi. Sekiranya keadaan itu berlaku, itu sudah tentu boleh menjadi petunjuk bahawa anda hampir bersalin.
Akhir kata
Sebenarnya tidak ada salahnya mencuba beberapa perkara disenaraikan di atas sebagai petua cepat bersalin.
Setiap petua akan membantu mendekatkan diri anda sama ada untuk dapat melalui proses kelahiran anak secara normal atau caesarean.
[embed-health-tool-due-date]