backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Keluar Lendir Pekat Tanda Hampir Bersalin? Tenang, Ini Perkara Yang Perlu Ibu Hamil Fahami

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/06/2023

    Keluar Lendir Pekat Tanda Hampir Bersalin? Tenang, Ini Perkara Yang Perlu Ibu Hamil Fahami

    Apabila menghampiri tarikh jangkaan bersalin, bakal ibu perlu berwaspada dengan kehadiran lendir yang dikenali sebagai mucus plug. Bagaimana contoh lendir tanda bersalin ini ya?

    Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya, pastikan anda terus membaca perkongsian artikel ini. Semoga bermanfaat!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Contoh lendir tanda bersalin: Ini yang perlu anda fahami

    Tidak dinafikan ada sesetengah wanita mungkin tidak mengenali apa itu mucus plug.

    Umumnya, sukar untuk membezakan antara keputihan dengan mucus plug atau disebut sebagai penutup pangkal rahim yang boleh menjadi tanda bahawa anda hampir bersedia untuk melahirkan anak.

    Penutup pangkal rahim ini adalah ketulan lendir serviks yang berada dalam saluran serviks anda.

    Apabila hamil, badan akan mula bersedia untuk menyokong dan menyuburkan kehidupan baharu. Ia juga berperanan sebagai pelindung daripada bakteria dan kuman.

    Sebaik sahaja telur disenyawakan, ia perlu melekat pada dinding rahim. Apabila proses implantasi telur ke dinding berjaya, saluran serviks mula mengeluarkan lendir.

    Lendir yang dirembeskan daripada saluran serviks mempunyai 2 tujuan utama:

    • Memerangkap dan mengikat bakteria yang cuba masuk ke dalam saluran
    • Memastikan bahagian itu lembap

    Sepanjang kehamilan, lendir terus berkumpul dan akhirnya menutup saluran serviks sepenuhnya. Lendir yang menutupi sepenuhnya saluran serviks dikenali sebagai mucus plug.

    contoh lendir tanda bersalin

    Contoh lendir tanda bersalin: Ini cara untuk mengenalinya

    Tetapi bagaimana untuk mengenali penutup pangkal rahim ini ya? Kebiasaannya rupa, saiz serta tekstur akan berbeza-beza.

    • Berwarna jernih, putih pudar atau sedikit berdarah – merah, coklat atau merah jambu
    • Tekstur melekit dan seakan-akan jeli
    • Kepanjangan antara 1-2 inci
    • Jumlah antara 1-2 sudu besar
    • Tidak berbau

    Lendir ini mungkin akan keluar sekali gus dalam bentuk gumpalan atau secara sedikit demi sedikit dari masa ke masa dan tanpa disedari anda.

    Jika disertai dengan sedikit darah, ia adalah perkara biasa. Tetapi sekiranya pendarahan teruk, ia mungkin merupakan tanda gangguan plasenta, plasenta previa atau komplikasi kehamilan lain.

    Jangan teragak-agak untuk melakukan pemeriksaan doktor seandainya anda mengalami pendarahan berat.

    Baca juga:

    Keputihan atau contoh lendir tanda bersalin: Perbezaannya

    Perubahan hormon yang berlaku semasa berbadan dua, menyebabkan anda akan mengalami lebih banyak keputihan daripada biasa. Akibatnya, anda akan sukar untuk membezakan antara mucus plug atau lendir biasa.

    Keputihan dikenali sebagai leukorea – adalah cecair nipis yang sedikit berlendir. Ia sama ada berwarna putih jernih hingga putih susu dan cenderung mempunyai bau lembut atau tidak berbau langsung.

    Keputihan yang dialami ini mungkin akan meninggalkan kesan warna kekuningan pada seluar dalam anda.

    Mucus plug pula kelihatan seperti lendir panjang dan tebal yang berwarna putih, dan kadangkala terdapat kesan darah di dalamnya – warna merah hingga coklat.

    Sering kali kehadiran mucus plug ini dianggap sebagai petanda kehamilan menghampiri penghujungnya dan tempoh bersalin akan berlaku tidak lama lagi.

    contoh lendir tanda bersalin

    Contoh lendir tanda bersalin: Ini puncanya

    Kebanyakan wanita hamil boleh menyedari kehadiran mucus plug ini selepas menggunakan tisu tandas. Ada juga yang mungkin melihat lendir ini pada seluar dalam mereka.

    Terdapat beberapa perkara yang boleh menjadi punca penutup pangkal rahim ini terkeluar, seperti:

    Pelembutan serviks

    Semasa fasa akhir kehamilan, serviks akan mula melembut dan mengembang sebagai persediaan untuk bersalin. Serviks biasanya perlu mengembang hingga 10 sentimeter sebelum ia boleh dilalui bayi.

    Dikenali sebagai proses pelebaran serviks – dilating, keadaan ini boleh berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum bersalin.  

    Seks 

    Hubungan seks ketika hamil turut boleh menyebabkan penutup pangkal rahim ini terkeluar. Walaupun tidak berbahaya untuk bersetubuh semasa kehamilan, namun sebaiknya pada tempoh-tempoh terakhir kehamilan – trimester ketiga – anda perlu lebih berhati-hati.

    Jika contoh lendir tanda bersalin – mucus plug terkeluar terlalu awal semasa mengandung, ini boleh menimbulkan beberapa risiko.

    Sekiranya ia berlaku selepas hubungan seks dan tempoh kehamilan anda kurang daripada 37 minggu, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera. 

    Pemeriksaan serviks

    Ada kalanya doktor perlu melakukan pemeriksaan serviks untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Pemeriksaan yang dilakukan ini mungkin boleh menyebabkan regangan pada pembukaan serviks dan mengakibatkan mucus plug terkeluar. 

    Sekiranya ia terjadi sejurus selepas pemeriksaan serviks, berundinglah dengan doktor segera, okay?

    contoh lendir tanda bersalin

    Sekiranya dalam sebarang situasi, anda mengesyaki penutup pangkal rahim terkeluar dan tempoh kehamilan adalah kurang daripada 37 minggu, berbincanglah dengan doktor. 

    Pemeriksaan segera mungkin perlu dilakukan untuk memeriksa status serviks dan keadaan bayi dalam kandungan anda.

    Kesimpulan 

    Mucus plug yang terkeluar selepas kandungan berusia 37 minggu adalah petanda baik – ia bermakna kehamilan anda berjalan lancar. 

    Walaupun contoh lendir tanda bersalin ini bukanlah penentu yang tepat bila anda akan melahirkan bayi, tetapi ia menunjukkan badan bersedia ke arah itu.

    Ada wanita yang mengalami kontraksi dan simptom bersalin lain sebelum atau sejurus selepas penutup pangkal rahim ini terkeluar. Terdapat juga yang tidak merasakan sebarang gejala sehingga 3 minggu kemudian. Kedua-dua ini adalah keadaan normal.

    Untuk sebarang keraguan atau kebimbangan mengenai kehamilan atau mucus plug, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian bagi memastikan kandungan yang selamat dan sihat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan