Ia merupakan satu kondisi yang sangat biasa dialami oleh individu namun tidak ramai tahu akan punca sakit tekak ini terjadi.
Mungkin ada yang menyangka ia adalah salah satu simptom penyakit demam biasa sahaja tanpa tahu ada sebab lain di sebaliknya.
Jadi, jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini untuk tahu kenapa kondisi ini terjadi, dengan lebih mendalam lagi!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkan di sini.
Apa maksud tekak sakit?
Untuk pengetahuan anda, ia adalah satu keadaan kesihatan di mana tekak akan berasa sakit, kering dan gatal akibat beberapa perkara.
Ia juga sebenarnya boleh terjadi pada mana-mana bahagian struktur di dalam rongga tekak iaitu; faringitis, tonsilitis dan laringitis.
Kebiasaannya, kondisi tekak tidak selesa ini turut mendatangkan pelbagai gejala lain termasuklah:
- Demam
- Selesema
- Hidung tersumbat
- Hidung berair
- Pening kepala
- Sakit telinga
- Sakit badan
- Kerap batuk
- Sering bersin
- Kelenjar pada leher bengkak
- Suara jadi serak
- Hilang selera makan
Kenapa tekak masih sakit?
Tekak tidak selesa juga merupakan salah satu penyakit biasa 3 sekawan bersama demam dan selesema yang selalunya tidaklah begitu kronik.
Namun, adalah penting untuk kalian tahu punca sakit tekak ini terlebih dahulu untuk lebih mudah bertindak jika terkena!
Apa punca sakit tekak dan kenapa tekak rasa bengkak?
Kadangkala, ada individu yang akan mengalaminya setiap hari sejurus selepas bangun daripada tidur tanpa tahu punca sakit tekak terjadi.
Buat mereka yang belum tahu, berikut adalah pencetus berlaku kondisi tekak tidak selesa:
#1. Jangkitan virus
Jangan terkejut jika kami kata bahawa 90% daripada kes sakit tekak sebenarnya adalah disebabkan oleh jangkitan virus.
Berikut merupakan jenis-jenis virus yang mampu menyebabkannya:
- Influenza – penyebab penyakit flu
- Virus Varicella Zoster – penyebab penyakit cacar air
- Virus Measles – penyebab penyakit demam campak
- Virus Mumps – penyebab penyakit beguk
Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk kalian berjumpa doktor segera jika rasa tekak tidak selesa untuk mendapatkan ubatan antiviral.
#2. Jangkitan bakteria
Terdapat sejenis sakit tekak yang berpunca daripada jangkitan bakteria iaitu Strep throat dan disebabkan oleh bakteria bernama Streptococcus pyogenes.
Ia merupakan punca sakit tekak yang paling biasa dialami oleh golongan kanak-kanak dengan peratusan sebanyak 40% kes tercatat.
Selain itu, ada juga bakteria yang boleh disebarkan melalui hubungan seks dan menyebabkan kondisi ini iaitu gonorea dan klamidia.
Punca sakit tekak #3. Penyakit refluks asid
Penyakit refluks asid atau lebih dikenali sebagai gastroesophageal reflux disease (GERD) adalah kondisi di mana asid dalam perut naik semula ke bahagian esofagus.
Asid tidak sepatutnya berada dalam saluran esofagus dan jika berlaku ia akan menyebabkan rasa terbakar, sakit, kering dan gatal pada bahagian tekak penderita.
#4. Alergi
Apabila sistem imun tubuh badan terdedah kepada alergen tertentu seperti debunga, bulu haiwan atau sebagainya, akan tercetus keradangan saluran pernafasan akibat bahan kimia.
Ini kemudiannya boleh mengakibatkan kondisi tekak tidak selesa selain beberapa lagi simptom lain seperti mata berair, hidung tersumbat, bersin dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, wujud juga sejenis alergen yang boleh jadi punca cecair mukus menitis ke bahagian belakang tekak (postnasal drip) lantas menyebabkannya.
#5. Udara
Di sekeliling kita, udara yang dihirup tidak semuanya bersih dan suci kerana kebanyakannya telah tercemar dengan beberapa faktor.
Antara faktor-faktor pencemaran udara yang boleh membawa masalah pada tekak adalah:
- Jerebu
- Asap kenderaan
- Asap kilang
- Asap rokok
- Bahan kimia
Sekiranya ia dihirup, maka akan berlakunya kerengsaan atau keradangan pada tekak akibat udara yang terlalu kering dan telah tercemar.
Sekiranya anda mengalaminya namun tidak tahu apa punca sakit tekak, segera berjumpa dengan doktor untuk diagnosis.
Setelah itu, berbincang dengan doktor sama ada perlu mengambil ubatan untuk melawan jangkitan atau sekadar minum air suam dan ambil lozeng.