Telinga adalah antara pancaindera yang paling penting buat manusia kerana tanpanya, maka tiada bunyian yang dapat kita dengar. Kadangkala, bahagian ini mungkin akan mengalami masalah sekali gus menjejaskan fungsi pendengaran manusia.
Terdapat banyak masalah yang boleh berlaku dan antaranya adalah telinga kerap berdesing dan sukar mendengar. Untuk pengetahuan anda, dua masalah ini mungkin menunjukkan kalian mengalami penyakit yang dikenali sebagai penyakit glue ear.
Apakah ia? Jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!
Apa itu penyakit glue ear?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam, adalah wajar untuk kita semua tahu definisi sebenar penyakit berkaitan telinga ini terlebih dahulu.
Penyakit glue ear atau adhesive otitis adalah kondisi di mana bahagian tengah telinga dipenuhi dengan cecair yang likat ibarat gam. Ia berlaku pada bahagian tengah telinga yang terletak pada belakang gegendang telinga dan mungkin boleh menyebabkan jangkitan.
Sekiranya ia berlaku, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti berikut:
- Telinga kerap berdesing
- Telinga sukar mendengar
- Bercakap dengan kuat
- Tidak boleh mendengar bunyian yang jauh
- Selalu meminta orang lain mengulang ujaran
- Sering menguatkan kelantangan bunyian alat elektronik
Dalam pada itu, anda juga mungkin akan mengalami kesakitan serta ketidakselesaan pada bahagian telinga sekiranya penyakit ini meneruk.
Apa punca penyakit glue ear?
Penyakit ini boleh berlaku apabila terdapat cecair yang tersumbat pada bahagian tengah telinga akibat beberapa faktor risiko tertentu.
Kebiasaannya, ia disebabkan oleh tiub Eustachian di dalam telinga terlalu sempit lantas mengakibatkan cecair terkumpul dan tersumbat.
Selain itu, ia juga mungkin berlaku disebabkan alahan yang akhirnya aakan mengakibatkan tiub Eustachian membengkak dan menyempit.
Bahagian tengah telinga sepatutnya hanya mengandungi udara tanpa sebarang cecair namun akan terjejas akibat jangkitan virus.
Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh jadi pencetus penyakit ini termasuklah:
- Usia: kanak-kanak lebih berisiko
- Meminum susu botol
- Pendedahan terhadap asap rokok
- Pendedahan terhadap udara kotor
- Pendedahan terhadap kuman dan bakteria
- Mengalami alahan secara berkala
Adakah ia sama dengan jangkitan dalam telinga?
Kebanyakan individu akan beranggapan kemampuan untuk telinga mendengar bergantung kepada jangkitan kuman, bakteria atau virus.
Ya, penyataan ini mungkin benar namun anda perlu tahu bahawa penyakit glue ear bukanlah disebabkan oleh jangkitan dalam telinga. Meskipun mempunyai simptom-simptom yang agak serupa, kedua-dua kondisi ini adalah berbeza sama sekali,
Antara perbezaan yang ketara adalah jangkitan dalam tengah telinga kebiasaannya hadir bersama kondisi demam atau selesema sedangkan penyakit glue ear tidak.
Namun apa yang agak membimbangkan adalah penyakit ini boleh berubah menjadi jangkitan dalam telinga jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Adalah sangat penting untuk mengetahui sama ada anda menderita penyakit yang mana satu untuk menentukan kaedah rawatan susulan yang sesuai.
Jadi sekiranya anda berasa sesuatu yang tidak kena pada telinga, segera berjumpa doktor ya!
Bagaimana merawat penyakit glue ear?
Buat anda yang mungkin belum tahu, penyakit ini kebiasaannya boleh datang dan hilang dengan sendiri seiring perjalanan waktu.
Sekiranya ia telah meneruk dan berubah menjadi jangkitan dalam tengah telinga, maka pengambilan antibiotik mungkin akan diperlukan.
[embed-health-tool-bmi]
Namun ada beberapa kaedah rawatan yang mungkin perlu dibuat bergantung kepada tahap keterukan penyakit ini:
#1. Autoinflation
Salah stau cara untuk menyahkan cecair dalam telinga yang tersumbat adalah melalui kaedah autoinflation. Apakah ia?
Untuk pengetahuan anda, ia adalah satu kaedah di mana penggunaan mesin akan diperlukan untuk digunakan pada lubang telinga.
Ia perlu dilakukan oleh doktor atau secara sendiri beberapa kali sehari namun tidak disarankan buat kanak-kanak berusia 3 tahun ke bawah.
#2. Alat bantu pendengaran
Seperti mana yang kita semua sudah tahu, penyakit ini mungkin akan mengakibatkan kehilangan atau kekurangan pendengaran.
Jadi adalah penting untuk alat bantu pendengaran digunakan bagi membantu penderita mendengar semasa cecair ini belum lagi dapat dikeluarkan.
Dalam pada itu, terapi pendengaran serta pertuturan juga mungkin akan diperlukan untuk membantu kanak-kanak belajar mendengar dan bercakap.
#3. Pembedahan
Sekiranya ia telah mencapai tahap kronik, maka penderita mungkin perlu menjalani prosedur pembedahan yang dikenali sebagai adenoidectomy.
Prosedur ini dilakukan dengan cara membuang kelenjar adenoid pada belakang hidung yang menjadi salah satu pencetus cecair ini berkumpul.
Semasa dan selepas prosedur, anda mungkin perlu memakai tiub kecil pada telinga bernama grommets untuk mengalirkan cecair yang tersisa.
Usah risau, tiub kecil ini hanya bersifat sementara dan boleh dikeluarkan selepas anda sembuh sepenuhnya.
Mencegah itu lebih baik dari merawat…
Sama seperti pelbagai penyakit yang lain, ia juga adalah sebuah kondisi yang lebih baik untuk dicegah berbanding dirawat. Bagaimana?
Sebagai ibu bapa, sila berhenti merokok dan jauhi anak anda dari persekitaran yang kotor agar udara yang mereka hirup lebih segar.
Dalam pada itu, pastikan mereka sentiasa kuat aspek sistem imun tubuh badan bagi mengelakkan jangkitan dalam telinga berlaku.