backup og meta

Penghidap Kanser Paru-Paru Tinggi Risiko Alami Darah Beku, Bahaya Boleh Bawa MAUT!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/03/2022

    Penghidap Kanser Paru-Paru Tinggi Risiko Alami Darah Beku, Bahaya Boleh Bawa MAUT!

    Darah beku atau trombosis vena dalam (DVT) merupakan sesuatu yang lazim dalam kalangan penghidap kanser paru-paru. Malah, hampir 25% pesakit kanser, terutamanya penghidap kanser metastasis berisiko untuk mengalami darah beku.

    Tetapi, bukan semua kes darah beku akan menyebabkan sebarang masalah. Apabila ia berlaku, darah beku ini boleh menyebabkan penghidapnya jatuh sakit dan kemudiannya dimasukkan ke hospital. Malah, ia juga boleh menyebabkan kematian.

    Untuk pengetahuan anda, darah beku boleh berlaku disebabkan kanser paru-paru atau ubat-ubatan yang pesakit ambil.

    Oleh sebab itu, pesakit perlu tahu mengenai simptom atau tanda amaran darah beku supaya mereka boleh mendapatkan rawatan secepat mungkin.

    Menurut kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Cancer, 3.7% penghidap kanser paru-paru berpotensi mengalami masalah darah beku.

    Terdapat banyak faktor risiko darah beku dalam kalangan pesakit kanser. Faktor risiko ini pula boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu berlaku disebabkan:

    • Kanser paru-paru
    • Keadaan pesakit
    • Rawatan yang diterima

    Kaitan di antara kanser paru-paru dan darah beku

    trombosis vena dalam

    Tidak dinafikan, kanser paru-paru boleh meningkatkan risiko darah beku atau trombosis vena dalam.

    Malah, penghidap kanser sendiri mempunyai 4 hingga 7 kali ganda risiko untuk mengalami masalah darah beku berbanding orang biasa.

    Selain kanser paru-paru, ada juga beberapa jenis kanser lain yang mempunyai risiko darah beku yang tinggi. Antaranya ialah:

    1. Leukemia akut.
    2. Kanser buah pinggang.
    3. Kanser pankreas.

    Malah, rawatan kanser seperti kemoterapi dan terapi hormon juga boleh menyebabkan trombosis vena dalam.

    Mereka yang melakukan pembedahan kanser, pesakit yang tidak dapat bergerak atau perlu memakai kateter vena juga mempunyai risiko darah beku yang lebih tinggi.  

    Trombosis vena dalam atau DVT merupakan sejenis darah beku yang berlaku pada kawasan kaki. Darah beku ini boleh menjadi sesuatu yang serius jika ia tidak dikesan awal.

    Malah, darah beku yang terjadi disebabkan trombosis vena dalam ini juga boleh tercabut dan bergerak melalui saluran darah ke arah paru-paru. Kondisi ini dikenali sebagai embolisme pulmonari (PE) dan ia boleh membawa maut!

    Lebih buruk lagi, masalah darah beku ini merupakan antara punca utama kematian pesakit kanser selepas penyakit kanser itu sendiri. 

    Faktor risiko darah beku

    trombosis vena dalam

    Terdapat beberapa faktor risiko pembentukan darah beku disebabkan trombosis vena dalam. Antaranya ialah:

    1. Jenis dan tahap kanser

    Beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru, kanser pankreas dan kanser buah pinggang mempunyai risiko darah beku yang lebih tinggi.

    Selain itu, penghidap kanser dengan tahap yang lebih tinggi juga berisiko besar untuk mengalami darah beku.

    2. Jenis rawatan kanser

    Pesakit kanser yang dihospitalkan atau menjalani rawatan pembedahan, kemoterapi, terapi hormon dan memakai kateter vena mempunyai risiko trombosis vena dalam yang lebih tinggi.

    3. Faktor risiko lain

    • Pernah mengalami darah beku
    • Mempunyai masalah darah beku dalam kalangan keluarga
    • Pernah dimasukkan ke hospital disebabkan pembedahan, lebih-lebih lagi pada kawasan pelvis, abdomen, paha atau lutut
    • Pernah mengalami tulang patah atau kecederaan pada kawasan otot
    • Pernah mengalami kecederaan serius seperti kemalangan kereta
    • Mempunyai penyakit jantung, paru-paru atau diabetes
    • Berat badan berlebihan
    • Merokok

    Kesan simptom darah beku sebelum terlambat!

    Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, ada beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk mengesan darah beku.

    Jika anda menghidap kanser dan mengalami simptom berikut, pastikan untuk berjumpa doktor dengan segera.

    Tanda-tanda darah beku pada kawasan kaki atau tangan (trombosis vena dalam) ialah:

    1. Bengkak.
    2. Rasa sakit yang bukan disebabkan oleh luka.
    3. Kulit yang hangat ketika disentuh.
    4. Kulit berwarna merah atau alami penyahwarnaan.

    Manakala, tanda darah beku pada kawasan paru-paru pula ialah:

    1. Kesukaran bernafas.
    2. Sakit dada yang menjadi semakin teruk ketika menarik nafas atau batuk.
    3. Batuk berdarah.
    4. Degupan jantung yang lebih pantas daripada biasa.

    Selain itu, antara tanda-tanda darah beku yang kurang lazim ialah batuk, rasa gelisah, pening kepala, pengsan dan juga berpeluh-peluh.

    Dapatkan pemeriksaan doktor serta-merta kerana trombosis vena dalam boleh bertukar menjadi embolisme pulmonari yang boleh membawa maut.

    Bolehkah trombosis vena dalam dicegah?

    trombosis vena dalam

    Untuk penghidap kanser paru-paru yang sedang menjalani rawatan, doktor akan memberikan ubat-ubatan untuk mencegah pembentukan darah beku.

    Malah, doktor juga akan membuat pertimbangan sama ada ubat tersebut berbaloi diberikan kepada pesakit walaupun ia berisiko menyebabkan pembekuan darah.

    Kepada pesakit kanser yang baru mengalami pembedahan, doktor akan memberikan ubat anti kogulasi.

    Malah, pesakit juga mungkin diminta memakai pakaian khas selepas pembedahan untuk mencegah darah beku.

    Ubat untuk mengelakkan pembekuan darah ini amat penting buat pesakit kanser. Jadi, mereka perlu mengambilnya mengikut jadual.

    Selain itu, pesakit juga perlulah melakukan pemeriksaan secara berkala untuk mengesan darah beku sementara ia masih boleh dirawat.

    Kesimpulan

    Sebagai pesakit kanser paru-paru, trombosis vena dalam mungkin merupakan satu kondisi yang tidak dapat dielakkan.

    Namun, dengan pengambilan ubat-ubatan dan juga langkah pencegahan yang betul, tidak mustahil pesakit dapat menempuhi rawatan kanser tanpa sebarang komplikasi.

    Selain itu, dapatkan bantuan segera jika anda mengalami simptom darah beku dan mempunyai pendarahan yang abnormal.

    Semakin cepat anda berjumpa doktor, semakin berkesanlah rawatan trombosis vena dalam tersebut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan