Jika anda sering alami kembung perut, apakah yang anda akan lakukan? Masalah ketidakhadaman memang sesuatu yang boleh menyebabkan wanita rasa tidak selesa. Tetapi, pernahkah anda terfikir bahawa rasa sakit yang anda alami itu sebenarnya tanda kanser ovari?
Menurut Target Ovarian Cancer, ramai wanita yang bertindak mengabaikan simptom kanser ovari seperti kembung perut dan mengaitkannya dengan masalah ketidakhadaman.
Malah, kaum Hawa juga lebih gemar merawatnya sendiri dengan cara makan yogurt atau mengambil minuman probiotik untuk melegakan masalah kembung perut yang mereka alami berbanding berjumpa doktor.
Dalam beberapa kes, tabiat ini akan membuatkan wanita tersebut terlepas pandang sebuah penyakit yang lebih serius iaitu kanser ovari!
Kembung perut, masalah ketidakhadaman antara tanda kanser ovari
Ramai wanita yang salah anggap mengenai simptom kanser ovari disebabkan tandanya yang tidak jelas. Walaupun begitu, itu bukan bermaksud anda boleh mengabaikannya.
Menurut Dr. Pamela Soliman dari laman sesawang MD Anderson Cancer Center, wanita yang mengalami simptom yang berpanjangan dan tidak sembuh-sembuh perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
Lebih-lebih lagi jika wanita tersebut mengalami simptom seperti kembung perut, tekanan pada kawasan pelvis atau hilang selera makan. Semua ini merupakan simptom awal kanser ovari yang perlu kaum Hawa tahu.
Sebagai panduan, di bawah kami senaraikan 3 simptom kanser ovari yang paling lazim:
- Kembung perut. Jumpa doktor secepat mungkin jika anda alami masalah ini dengan kerap dan sukar untuk sembuh.
- Rasa sakit di bahagian abdomen. Simptom ini menyerupai masalah ketidakhadaman atau pedih ulu hati. Kadangkala, rasa sakit ini boleh menyebabkan anda membuang air kecil dengan lebih kerap.
- Rasa kenyang atau penuh. Anda tidak makan banyak, namun baju rasa ketat disebabkan peningkatan berat badan. Selain itu, anda juga mungkin alami masalah sembelit.
Kanser ovari dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ia amat sukar untuk dikesan awal.
Malah, hanya 20% sahaja pesakit kanser ovari yang berjaya didiagnosis ketika masih berada di peringkat awal. Kebanyakan kes kanser ovari didiagnosis setelah ia merebak ke organ yang lain.
Selain simptom di atas, pesakit juga mungkin akan alami simptom lain seperti rasa loya, letih, sering sembelit, rasa sakit ketika melakukan seks dan sakit belakang.
Wanita yang sudah menopaus perlu lebih berhati-hati
Kebanyakan kes kanser ovari didiagnosis dalam kalangan wanita yang sudah menopaus.
Oleh sebab itu, jika anda sudah lama tidak datang haid, pastikan anda perhatikan simptom seperti kembung perut, sembelit dan juga peningkatan berat badan.
Menurut Dr. Soliman lagi, purata umur diagnosis kanser ovari ialah di antara 50 hingga 60 tahun. Jadi, tidak mungkin wanita akan alami simptom yang seakan-akan senggugut jika telah mencecah menopaus.
Jika anda mengalami masalah ketidakhadaman namun tidak pasti apakah punca di sebaliknya, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.
Doktor mungkin akan melakukan imbasan CT untuk mengenal pasti punca kesakitan yang anda alami.
Kadangkala, rasa sakit pada bahagian pelvis berpunca daripada masalah batu karang dan pedih ulu hati. Oleh sebab itu, doktor akan cuba untuk mengetepikan semua masalah ini sebelum mendiagnosisnya sebagai kanser.
Selalunya, wanita akan cuba pelbagai perkara untuk mengatasi masalah ketidakhadaman yang mereka alami.
Sebagai contoh, mereka akan minum yogurt, ubah gaya pemakanan, bersenam dan sebagainya dan hanya berjumpa doktor apabila rasa sakit tersebut tidak sembuh-sembuh.
Pada waktu inilah, wanita akan menjalani pemeriksaan atau ujian imbasan yang mengesahkan mereka mempunyai ketulan pada kawasan pelvis.
Ketika ini, mungkin sudah terlambat untuk pesakit kerana kanser telahpun merebak ke organ yang lain dan semakin sukar untuk dirawat.
Risau mengenai simptom kanser ovari?
Jika anda kerap mengalami simptom seakan-akan masalah ketidakhadaman, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.
Simptom yang anda alami mungkin bukan berpunca daripada kanser. Walaupun begitu, ia masih perlu diperiksa oleh pakar dengan segera.
Selain kanser ovari, sista dalam kalangan wanita yang sedang mengalami menopaus juga boleh menghasilkan simptom yang serupa.
Selain itu, pesakit juga mungkin alami sindrom usus rengsa (IBS) yang turut mempunyai tanda-tanda yang sama.
Wanita perlulah peka dengan keadaan diri lebih-lebih lagi ketika mengalami sebarang simptom yang luar biasa dalam jangka masa yang panjang.
Sayangilah diri anda dan jangan abaikan sebarang masalah dalam satu tempoh masa yang lama. Jumpalah doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan.
Selain itu, wanita yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser rahim atau mutasi genetik BRCA1 atau BRCA2, pastikan anda bercakap dengan doktor mengenai cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko kanser ovari pada masa hadapan.