backup og meta

Ini 5 Manfaat Vaksin COVID-19 Dan Risikonya Jika Tidak Divaksin!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

    Ini 5 Manfaat Vaksin COVID-19 Dan Risikonya Jika Tidak Divaksin!

    Mungkin ada sesetengah kita yang masih kurang jelas mengenai kebaikan vaksin COVID-19. Bagi anda yang belum tahu, ini beberapa manfaat vaksin dan juga risiko yang mungkin akan anda dapat jika tidak divaksin. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Perkembangan situasi vaksin di Malaysia

    Sehingga hari ini (12 Oktober 2021), lebih 90% daripada populasi dewasa di Malaysia sudah pun mendapat dua dos lengkap vaksin COVID-19.

    Kerajaan Malaysia juga telah memulakan proses vaksinasi bagi golongan remaja yang berusia daripada 12 hingga 17 tahun.

    Hasil daripada program vaksinasi besar-besaran ini telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.

    Kes positif COVID-19 harian juga sudah mula berkurangan perlahan-lahan. Ini jelas menunjukkan bahawa vaksinasi COVID-19 mampu mengekang penularan wabak daripada terus mengganas.

    Untuk memahami dengan lebih baik apakah kebaikan vaksin berbanding tidak divaksin, mari lihat apa yang kami sediakan di bawah ini. 

    Manfaat vaksin 1: Mereka yang divaksin kurang berisiko dapat jangkitan

    Walaupun individu yang telah divaksin masih berisiko dijangkiti COVID-19, namun pakar perubatan percaya bahawa golongan ini lebih dilindungi.

    Ini kerana tubuh yang divaksin menunjukkan tindak balas imun yang lebih baik terhadap virus berbanding dengan mereka yang belum menerima vaksinasi mereka.

    Oleh itu, jika anda ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dan tidak dapat memutuskan maklumat yang betul dan salah, inilah fakta sebenar yang perlu anda ketahui.

    Manfaat vaksin 2: Kesan sampingan bersifat kecil dan sementara

    kebaikan vaksin

    Berkaitan dengan keraguan terhadap vaksin, ia mungkin berasal daripada beberapa perkara.

    Antaranya ialah berita palsu, mitos, khabar angin, dan juga sifat ragu-ragu. Semua ini boleh menyumbang kepada keraguan sedia ada anda terhadap keberkesanan vaksin COVID.

    Selain itu, kesan sampingan vaksin juga boleh menyebabkan peningkatan keraguan dalam diri anda untuk menerima vaksin.

    Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah individu yang mengalami kesan sampingan teruk selepas menerima vaksin.

    Namun keadaan ini sebenarnya menunjukkan bahawa vaksin tersebut berfungsi dan memicu tindak balas imun yang membantu anda mencegah jangkitan pada masa hadapan.

    Baca juga:

    Kebaikan vaksin 3: Jangkitan masih berlaku, tetapi simptom dialami bersifat ringan

    Walaupun anda mungkin boleh dijangkiti COVID-19 setelah divaksin, namun kesan yang dialami tidak begitu serius berbanding individu yang tidak divaksinasi.

    Ramai pakar perubatan telah menyatakan bahawa, jangkitan COVID-19 amat jarang menyebabkan kesan yang begitu teruk sehingga perlu dibawa ke hospital sekiranya seseorang itu telah divaksin.

    Peratusan untuk mendapat kematian disebabkan jangkitan juga menjadi semakin rendah.

    Gejala biasa jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi ialah seperti demam, batuk berterusan, kehilangan deria bau dan rasa, keletihan serta sakit sendi.

    Walau bagaimanapun, bagi mereka yang telah divaksin lengkap, gejala COVID-19 yang dialami akan sama seperti gejala selesema.

    Antaranya ialah seperti sakit tekak, sakit kepala, dan hidung berair atau bersin.

    Kebaikan vaksin 4: Sukar jatuh sakit berbanding mereka yang tidak divaksin

    Terdapat bukti bahawa vaksinasi COVID-19 boleh menjadikan sesuatu penyakit itu kurang serius atau teruk jika individu itu telah divaksin dan mempunyai penyakit.

    Risiko jangkitan, kemasukan ke hospital, dan kematian adalah jauh lebih rendah bagi mereka yang telah divaksin berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

    Ini menunjukkan bahawa mereka yang tidak divaksinasi mungkin lebih berisiko terkena penyakit teruk berbanding mereka yang telah diberi imunisasi lengkap.

    Laporan terbaru yang disediakan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menunjukkan bahawa, individu yang tidak divaksinasi berisiko 11 kali lebih tinggi untuk mendapat kematian kerana COVID-19 berbanding mereka yang telah menerima kedua-dua suntikan.

    Kebaikan vaksin 5: Sukar menjangkiti orang lain

    kebaikan vaksin

    Kajian juga telah menunjukkan bahawa, mereka yang telah lengkap divaksin mempunyai peratusan yang sangat rendah untuk menyebarkan atau menjangkiti virus COVID-19 kepada orang lain.

    Oleh itu, vaksinasi bukan sahaja melindungi diri kita sendiri, tetapi melindungi individu terdekat kita seperti ahli keluarga yang tidak mempunyai pertahanan tubuh yang kuat.

    Orang tua, mereka yang mempunyai tahap imun rendah, pesakit kronik dan juga kanak-kanak adalah antara golongan yang perlu dilindungi daripada mendapat jangkitan COVID-19. 

    Jangan leka, terus patuh SOP!

    Kini anda sudah mengetahui sedikit sebanyak mengenai kebaikan vaksin.

    Walaupun anda sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap, tidak bermakna anda boleh mengabaikan segala SOP yang telah dikuatkuasakan.

    Anda masih perlu berhati-hati bagi mengurangkan jangkitan kepada diri sendiri dan juga orang lain.

    Di kawasan yang dipenuhi ramai orang, amat mudah untuk anda mendapat jangkitan tanpa diketahui walaupun anda tidak mengalami sebarang simptom.

    Teruskan memakai pelitup muka apabila berada di kawasan awam dan terbuka.

    Selain itu, sentiasa cuci tangan dengan menggunakan sabun atau hand sanitizer.

    Kurangkan aktiviti keluar rumah jika tidak mempunyai sebarang urusan penting.

    Ingatlah, anda mungkin tidak terkesan apabila dijangkiti virus COVID-19, tetapi ahli keluarga anda masih berisiko, lebih-lebih lagi bagi golongan yang telah disebutkan sebelum ini.

    Kongsikan info kebaikan vaksin ini untuk menggalakkan lebih ramai lagi mendapatkan vaksin secepatnya. 

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan