Tahukah anda, secara puratanya, kita akan menggaru kulit yang gatal sebanyak 97 kali sehari? Banyak bukan! Malah, masalah kulit gatal tanpa sebab juga jarang akan menyebabkan kita berfikir panjang. Dengan sekali garu, semua masalah selesai.
Namun, apa yang berlaku jika kulit kita gatal tanpa henti? Pasti kita akan rasa tidak selesa dan terganggu. Selalunya, gigitan nyamuk dan penyakit seperti cacar air akan membuatkan kita gatal satu badan.
Tetapi, tahukah anda, gatal kulit boleh berlaku sebagai salah satu simptom kanser kulit? Malah, kebanyakan pesakit kanser mulai sedar mengenai abnormaliti pada kulit mereka setelah kawasan tersebut rasa gatal-gatal.
Namun, kanser bukanlah satu-satunya punca gatal. Ada banyak lagi penyakit lain yang boleh menjadi penyebab kulit gatal tanpa sebab.
Sebagai contoh, kulit kering, ekzema, dermatitis sentuh dan gigitan serangga juga boleh menyebabkan rasa gatal pada kulit.
Oleh sebab itu, gatal kulit bukanlah satu simptom yang perlu dirisaukan. Walau bagaimanapun, jika kegatalan itu berpanjangan dan berlarutan selama berminggu-minggu, mungkin anda perlu berjumpa doktor dengan segera.
Kulit gatal tanpa sebab, adakah ia disebabkan kanser?
Kulit gatal merupakan masalah yang lazim. Selalunya ia disebabkan oleh sesuatu yang tidak berbahaya seperti peluh atau pemakaian produk yang tidak sesuai seperti losen atau sabun basuh baju.
Malah, ruam gatal juga boleh muncul pada mana-mana bahagian badan anda tanpa sebab.
Kulit gatal jarang sekali berlaku disebabkan kanser. Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil. Sebab itulah, kita perlu tahu perbezaan antara gatal yang berlaku disebabkan penyakit dan juga kanser.
Masalah kulit gatal boleh menjadi petanda kanser kulit jika ia:
- Terjadi di kawasan yang terdapat pertumbuhan atau lesi yang abnormal.
- Muncul ruam yang tidak sembuh-sembuh dan bersisik.
- Muncul ketulan yang kecil dan mudah berdarah.
- Berlakunya perubahan pada tahi lalat seperti pigmentasi yang tidak normal.
Simptom ini mungkin berlaku disebabkan kanser. Walau bagaimanapun, penyakit lain juga boleh menyebabkan simptom yang sama.
Sukar untuk membezakan simptom yang anda alami bersifat kanser ataupun tidak. Oleh sebab itu, anda perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Kanser kulit jenis apa yang boleh menyebabkan kegatalan?
Apabila pesakit kanser kulit kerap diserang gatal-gatal, selalunya kanser tersebut adalah daripada jenis bukan melanoma seperti kanser kulit sel skuamus atau kanser kulit sel basal.
Kanser kulit lebih sinonim dengan simptom seperti rasa sakit dan lembut pada kawasan kanser. Namun, kanser juga boleh menyebabkan berlakunya iritasi pada kawasan saraf dan menyebabkan kegatalan.
Menurut sebuah kajian yang dilakukan ke atas 17,000 orang, individu yang mengalami simptom seperti kulit gatal tanpa sebab lebih berisiko untuk mendapat kanser sebanyak 5.36 kali ganda berbanding mereka yang jarang alami kegatalan.
Selain kanser kulit, simptom ini turut menandakan kanser lain seperti kanser hati, kanser darah seperti limfoma dan leukemia serta kanser pundi hempedu.
Perlukah saya berjumpa doktor?
Jika kulit gatal tanpa sebab dan tidak sembuh-sembuh, mungkin sudah sampai masanya untuk anda berjumpa pakar untuk pemeriksaan lanjut.
Tanpa pemeriksaan oleh doktor, sukar untuk menentukan sama ada anda menghidap kanser atau tidak.
Kebanyakan pesakit kanser kulit mengalami perubahan abnormal pada kulit mereka. Perubahan ini juga sukar untuk dikesan kecuali anda merupakan seorang yang peka.
Malah, setiap abnormaliti yang berlaku disebabkan kanser kulit berbeza mengikut individu. Oleh sebab itu, sebarang masalah kulit yang setiap individu alami mungkin tidak sama.
Selain gatal-gatal, ada juga beberapa simptom lain yang menandakan kanser kulit:
- Luka yang terbuka dan mengalirkan darah selama berminggu-minggu.
- Ruam pada kawasan kulit yang bersisik atau gatal, namun tidak menyakitkan.
- Muncul ketulan yang berwarna merah jambu, putih atau lutsinar.
- Muncul ketulan berwarna merah jambu yang mempunyai keliling yang timbul.
- Parut yang berwarna putih, kuning dan tidak mempunyai sebarang keliling.
Kebanyakan kanser kulit boleh dirawat dengan cara membuang kanser tersebut melalui pembedahan.
Namun, untuk kes yang lebih kompleks, doktor mungkin perlu berbincang dengan pesakit mengenai langkah terbaik yang boleh dilakukan.
Kesimpulan
Ada banyak punca anda mengalami kulit gatal tanpa sebab. Selalunya ia disebabkan oleh penyakit lain yang tidak serius.
Namun, ia juga boleh menjadi simptom awal kanser kulit. Bukan itu sahaja, rawatan kanser kulit juga kadangkala boleh menyebabkan kegatalan.
Jika anda mengalami kegatalan yang luar biasa, berjumpalah doktor dengan segera. Doktor boleh menentukan punca kegatalan tersebut dan memberikan cadangan mengenai langkah untuk merawat kegatalan itu.
Malah, jika kegatalan ini berlaku disebabkan kanser, doktor mungkin dapat mengesannya. Jika bukan, pastikan anda mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Kegatalan yang berpanjangan bukan sahaja boleh menganggu kehidupan harian anda, ia juga boleh menyebabkan anda stres dan mengalami masalah untuk tidur pada waktu malam.
Oleh sebab itu, jangan anggap kegatalan yang anda alami merupakan sesuatu yang remeh! Berjumpalah doktor sebelum terlambat ya!