Bukan mudah untuk menjaga pesakit kanser. Oleh sebab itu, penjagaan kanser merupakan sesuatu yang sangat penting. Ahli keluarga bukan sahaja perlu tahu cara menangani penyakit kanser, bahkan mereka juga haruslah cakna dalam langkah-langkah penjagaan yang sesuai.
Baru-baru ini, Hello Doktor berpeluang untuk menemu ramah Angela, seorang Penjaga Profesional yang berkhidmat di Homage Malaysia sejak September 2020.
Angela tidak lokek berkongsikan pengalamannya sebagai penjaga pesakit kanser mengenai cara menangani penyakit kanser serta apa yang boleh dilakukan untuk memastikan pesakit sentiasa selesa dan terjaga walaupun menghidap barah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.
Persepsi sebagai penjaga pesakit kanser berubah selepas kes pertama
Hello Doktor: Boleh kongsikan dengan kami bagaimana anda menceburkan diri dalam pekerjaan ini?
Angela: Saya terjumpa iklan Homage di Facebook ketika negara kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walau bagaimanapun, selepas temuduga, saya masih lagi belum aktif berkhidmat sepenuhnya sebagai seorang Penjaga Profesional. Salah satu sebabnya ialah saya tidak suka bergerak dari rumah ke rumah untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
Namun, setelah dipujuk oleh rakan baik saya, bermulalah perjalanan saya sebagai Penjaga Profesional di Homage. Semasa menguruskan kes pertama, saya ada rasa seperti ingin mengalah. Namun, pelanggan sangat menghargai bantuan saya dan meminta saya agar datang dengan lebih kerap.
Pada waktu itu, saya rasa amat dihargai. Secara tidak langsung, pengalaman ini telah mengubah persepsi saya terhadap pekerjaan ini.
Motivasi yang saya terima membantu saya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang Penjaga Profesional sehingga hari ini. Saya rasa gembira kerana dapat memberi impak positif dalam hidup pesakit, walaupun kecil.
Hello Doktor: Bolehkah anda kongsikan reaksi pesakit kanser ketika menerima diagnosis dan bagaimana anda membantu mereka menerimanya dengan hati yang terbuka?
Angela: Saya percaya, tidak ada seorangpun di dunia ini yang akan rasa gembira apabila menerima berita buruk sebegini.
Selepas doktor mengesahkan diagnosis, kebanyakan pesakit akan melalui 5 tahap kesedihan iaitu penafian, rasa marah, mula menawar, depresi dan akhir sekali, penerimaan.
Tidak dinafikan, pesakit akan ambil masa untuk menerima diagnosis yang diberikan doktor.
Bukan mudah untuk mereka mencari jalan keluar dan menerima realiti. Oleh sebab itu, ramai yang menghidap depresi sejurus menerima diagnosis mereka.
Selalunya, saya akan bertanya tentang kondisi pesakit setiap kali mengunjungi mereka. Selepas lawatan kedua, pesakit selalunya sudah boleh menerima hakikat. Saya juga dapat lihat perubahan yang ketara berbanding semasa lawatan pertama.
Aspek penting dalam cara menangani penyakit kanser
Hello Doktor: Apakah aspek yang paling penting dalam penjagaan pesakit kanser?
Angela: Ada banyak perkara yang merangkumi penjagaan pesakit kanser, contohnya diet, senaman, masa tidur dan juga kesihatan secara fizikal dan mental.
Cara menangani penyakit kanser yang terbaik adalah melalui pemakanan. Pesakit perlu mengambil makanan yang bernutrisi kerana ia sangat penting untuk memastikan pesakit mampu melawan kanser yang dialami.
Sekiranya pesakit tidak mendapat nutrisi yang mencukupi, mereka mungkin tidak dapat meneruskan rawatan. Tempoh pemulihan juga akan memakan masa yang lebih panjang.
Hello Doktor: Apakah sokongan yang paling bermakna untuk pesakit kanser?
Angela: Dari segi sokongan, semuanya bergantung kepada individu.
Oleh sebab itu, kita perlu ubah cara kita mendekati setiap pesakit berdasarkan sokongan dan keperluan yang paling mereka kehendaki.
Lagipun, perjalanan setiap pesakit tidak sama antara satu sama lain.
Hello Doktor: Bolehkah anda kongsikan pengalaman paling berharga ketika bekerja dalam bidang ini?
Angela: Sepanjang karier saya, saya telah berhadapan dengan banyak momen yang berharga. Ada yang membuatkan saya sedih, gembira, marah dan juga terharu.
Salah satu daripadanya adalah berkenaan seorang pesakit yang sedang menunggu lawatan terakhir daripada saya. Pada waktu itu, saya sedang bercuti. Pesakit tersebut berkeras untuk menunggu saya datang sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Pengalaman ini telah membuatkan saya rasa sangat terharu walaupun hubungan kami pada waktu itu tidaklah begitu rapat.
Baca juga:
- Nak Jaga Pesakit Kanser Bukan Sesuatu Yang Mudah, Penjagaan Hospis Ini Perlu Anda Tahu
- Kadar Survival dan Jangka Hayat Pesakit Kanser
Nasihat kepada pesakit dan penjaga
Hello Doktor: Apakah nasihat anda kepada pesakit kanser?
Angela: Pada pendapat saya, walaupun rasa sedih, pesakit perlulah reda dengan diagnosis yang diterima.
Mereka perlu cari cara untuk lihat semuanya dari sudut positif. Salah satunya adalah dengan mempunyai perancangan khusus selepas sembuh daripada kanser.
Pesakit perlulah kuat dalam melawan kanser. Selain itu, mereka juga perlulah ingat bahawa pertolongan sentiasa ada sebagai cara menangani penyakit kanser.
Hello Doktor: Apakah nasihat anda kepada penjaga pesakit kanser?
Angela: Bersabar dan rasa empatilah kepada mereka, terutamanya kepada pesakit yang berada pada fasa terakhir kanser. Pada waktu ini, pesakit sedang berhadapan dengan kesakitan yang amat sangat.
Cuba layani mereka sama seperti keluarga sendiri. Bantu pesakit untuk tunaikan hajat terakhir mereka jika boleh.
Hello Doktor: Apakah pesanan anda terhadap orang awam tentang persepsi atau salah faham mengenai cara menangani penyakit kanser, penyakit itu sendiri dan juga sokongan kepada pesakit?
Angela: Pada zaman sekarang, kanser bukan lagi seperti dulu.
Setiap hari, 1 daripada 10 orang disahkan menghidap kanser. Namun, ada pelbagai cara menangani penyakit kanser, antaranya melalui rawatan dan ubat yang boleh pesakit ambil.
Bukan itu sahaja, disebabkan teknologi yang semakin berkembang, keberkesanannya kian meningkat hari demi hari.
Selain itu, ada banyak kumpulan sokongan yang dapat membantu pesakit dan keluarga menempuh hari yang mendatang.
Ingatlah, pencegahan, pengesanan awal dan rawatan adalah cara menangani penyakit kanser yang terbaik. Pastikan anda terus kuat untuk melawan penyakit ini.
Pupuk kesedaran tentang kanser
Mengakhiri temu bual, Angela berharap akan ada semakin banyak kesedaran awam mengenai cara menangani penyakit kanser dan pengesanan awal. Ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser dan keluarga mereka.
“Semoga penjagaan kanser akan terus berkembang dan menjadi semakin efektif pada masa hadapan, sesuai dengan kehendak dan keperluan peribadi pesakit serta boleh diakses oleh semua orang,” ujarnya.
[embed-health-tool-bmi]