Brendan Gan enggan berfikiran negatif

Menurut Brendan Gan dalam laman Instagramnya, beliau enggan melihat pengalamannya menghidap kanser dari sudut negatif. Tambahnya, apa yang berlaku telah membuatkan beliau lebih bersyukur dan menghargai segala momen indah dan positif dalam hidupnya.
“Pengalaman pahit ini telah menjadi sebahagian daripada karakter saya. Ia membuatkan saya terus kuat dan tabah mengharungi apa-apa cabaran.”
“Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi oleh ahli keluarga yang tidak pernah berhenti menyokong. Merekalah yang membantu saya mengharungi semua ini. Saya juga berterima kasih kepada kawan-kawan dan peminat yang sentiasa berada di sisi saya selama ini. Nasihat saya, ambil peluang yang ada untuk lakukan pemeriksaan berkala. Anda tidak tahu bila pemeriksaan ini boleh mengubah hidup anda.”
Baca juga:
Cara melakukan pemeriksaan testis kendiri

Sebagai lelaki, anda perlu tahu cara untuk melakukan pemeriksaan testis sendiri di rumah. Semakin awal kanser dikesan, semakin tinggilah kebarangkalian untuk sembuh.
Masa yang terbaik untuk melakukan pemeriksaan ini adalah selepas mandi. Pada waktu ini, skrotum atau kerandut zakar berada dalam keadaan relaks.
Pemeriksaan kanser testis hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Untuk bermula:
- Periksa setiap kantung zakar. Secara perlahan-lahan, picit testikel antara ibu jari dan jari telunjuk. Rasa seluruh kawasan tersebut dengan jari. Jika testis anda besar sebelah, jangan risau, ini adalah sesuatu yang normal.
- Kenali epididimis dan vas deferens anda. Kedua-dua struktur ini berada di belakang testikel. Ia lembut dan berbentuk tiub. Kadangkala, ada yang tersalah anggap dan ingat kedua-dua struktur ini adalah ketulan. Sebenarnya, ia adalah tiub yang bertanggungjawab menyimpan dan membawa sperma.
- Cari bengkak atau ketulan yang nampak abnormal. Ketulan adalah sesuatu yang tak normal, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan rasa sakit.
- Lakukan pemeriksaan ini sekali sebulan. Jika anda periksa secara berkala, anda akan jadi lebih arif mengenai anatomi badan sendiri dan lebih berkemungkinan mengesan sesuatu yang abnormal.
Bagi Brendan Gan, kami ucapkan tahniah dan tidak sabar untuk menyaksikan permainan berkualiti pada masa akan datang. Moga kisah pemain bola ini dapat menjadi inspirasi dan membakar semangat kaum Adam di luar sana!
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen