Bukanlah sesuatu yang aneh jika pisau dapur tanpa sengaja terkena pada jari atau tangan tukang masak. Namun anda kena tahu dan cepat merawat luka terbuka itu, ya!
Persoalannya, apakah tindakan yang anda kena buat setiap kali berlakunya situasi seperti itu?
Usah khuatir, jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut tentangnya!
Kenapa penting untuk merawat luka terbuka?
Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira di jalan raya, luar rumah, juga dalam rumah termasuklah di dapur!
Mungkin benar bahawa kemalangan di dapur itu tidaklah begitu serius selagi ia tidak melibatkan letupan, letusan atau lecuran.
Namun sekadar kecederaan yang kecil pada jari atau tangan tukang masak juga tidak boleh hanya dipandang ringan sahaja.
Ini kerana kecederaan yang kecil seperti terhiris pisau dapur juga akan mengakibatkan luka yang terbuka pada kulit anda.
Kesan jika tidak buat cara merawat luka terbuka dengan kadar segera akan menyebabkan pendarahan berterusan yang berbahaya.
Apa perkara pertama yang perlu dilakukan?
Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk anda menghentikan pendarahan akibat kecederaan tersebut terlebih dahulu.
Sebenarnya, anda mungkin boleh merawat luka kecil yang terjadi di dapur itu secara sendiri jika luka yang dialami tidak begitu dalam.
Jika luka yang dialami itu terlalu dalam pula, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
Persoalannya, bagaimanakah cara merawat luka terbuka yang tepat untuk menghentikan pendarahan secara sendiri?
- Iodin – ia adalah satu cara paling efektif kerana ia mampu mengelakkan jangkitan yang tidak diingini
- Air batu – ia mampu mengecutkan salur darah dan membekukan darah dengan lebih pantas
- Uncang teh – asid tanin yang terkandung di dalam uncang teh boleh membantu darah membeku dengan cepat
- Cecair kumur mulut – alkohol yang terkandung boleh bertindak mengecutkan tisu
- Jeli petroleum – ia boleh membantu mengelak luka daripada membentuk parut yang dalam serta gatal
- Antiperspirant – aluminium klorida yang terkandung boleh membantu mengecutkan salur darah dan menghentikan pendarahan
Pun begitu, tidak semua bahan di atas ini mempunyai sebarang bukti saintifik untuk membuktikan keberkesanannya dalam menghentikan pendarahan.
Ini senarai tindakan yang anda kena buat!
Baiklah, sekarang kita semua sudah tahu bahawa terdapat beberapa bahan yang boleh digunakan untuk menghentikan pendarahan.
Kini, mari beralih pula kepada turutan tindakan yang anda kena buat sekiranya jari atau tangan terkena hirisan pisau dapur.
Berikut merupakan cara merawat luka terbuka akibat kemalangan di dapur:
- Sebelum sentuh luka itu, tolong pastikan anda basuh tangan dan jari terlebih dahulu untuk elakkan jangkitan.
- Cuba hentikan pendarahan secepat mungkin kerana luka kecil biasanya tidak memakan masa lama untuk darah daripada berhenti mengalir dengan 6 bahan di atas tadi.
- Selepas pendarahan pada luka telah terhenti, bilaskan kawasan tersebut dengan air.
- Jika ada kotoran yang melekat, buangkan ia dengan perlahan dan berwaspada.
- Pastikan anda berjumpa dengan doktor jika dapati luka anda masih sakit, merah, bengkak ataupun bernanah.
Sekiranya luka akibat terhiris pisau dapur itu begitu teruk dan anda tidak berani untuk menguruskannya, segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Tolong pentingkan keselamatan diri di dapur!
Sudah tentu bahawa mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat, maka adalah sangat penting untuk kita berwaspada sebelum ia terjadi.
Jadi, kita perlu memastikan bahawa dapur kita selamat agar situasi seperti jari atau tangan terhiris pisau dapur tidak berlaku dan berulang.
Simpan barang dapur di tempat selamat
Paling penting, sila simpan segala barang dapur berbahaya di tempat yang selamat seperti di dalam kabinet dan ia termasuklah:
- Pisau
- Gunting
- Pinggan dan mangkuk kaca
- Gelas dan cawan kaca
- Cerek, periuk dan kuali
- Mesin pengisar, pembakar dan ketuhar
Proses memasak di dapur yang selamat
Semasa memasak, sila pastikan proses itu adalah selamat dengan cara tidak melakukannya serentak dengan perbuatan lain.
Jangan letakkan pisau, gunting atau peralatan memotong lain di tempat yang mudah terjatuh dan sila pegang ia dengan baik.
Selepas memasak pula, simpankan semua peralatan memasak tadi ke tempat asal agar tidak berlaku kemalangan tidak diingini.
Pastikan anda simpan peti kit kecemasan
Meskipun ia adalah sesuatu yang sangat penting, ramai isi rumah yang mungkin tidak mempunyai simpanan peti kit keselamatan ini.
Oleh itu, sila pastikan anda membeli, menyimpan dan sentiasa memeriksa kandungan di dalamnya agar ia sentiasa bersedia untuk digunakan.
Jika masih terjadi luka terbuka akibat kemalangan di dapur yang tidak diingini pada anda atau orang lain, jangan terlambat untuk bertindak!
[embed-health-tool-bmi]