Musim hujan adalah musim yang sangat tidak disukai oleh orang ramai kerana ia akan mengehadkan setiap aktiviti seharian kita. Dalam pada itu, ada beberapa perkara yang kita perlu elak semasa ribut petir melanda. Nak tahu apa perkara tersebut? Jom baca artikel ini!
Perkara perlu elak semasa hujan lebat & ribut petir
Selain mendapat penyakit seperti demam dan selesema, kita perlu elakkan diri dari hujan lebat dan ribut petir agar tidak terkena renjatan elektrik!
Untuk pengetahuan anda, renjatan elektrik terhadap manusia adalah berbahaya kerana ia boleh mendatangkan maut.
Menurut panduan bahaya elektrik yang diterbitkan oleh Occupational Safety and Health Administration (OSHA), arus elektrik yang berukuran 1 milliamps (MA) boleh mengakibatkan sensasi sesemut dan sekiranya arus tersebut mencecah sehingga 75 MA, ia boleh menyebabkan serangan jantung, lantas membawa maut.
Buat anda yang belum tahu, renjatan elektrik ini akan menjadi lebih bahaya sekiranya ada kehadiran air. Disebabkan itu, ramai pakar tidak menggalakkan anda untuk menyentuh segala peralatan elektrik semasa tangan sedang basah, begitu juga sewaktu banjir.
Bagaimana pula ketika hujan lebat dan banjir kilat?
Hakikatnya, ada beberapa perkara yang anda perlu elak sekiranya cuaca sebegini menimpa tempat tinggal anda. Menurut The Center for Disease Control and Prevention (CDC), berikut adalah perkara yang diperkatakan:
#1. Berlegar di luar rumah
Perkara paling penting yang anda perlu lakukan ketika ribut petir adalah berlindung di dalam rumah. Jangan sesekali berada di kawasan terbuka seperti jalan raya, padang, taman atau pangkin.
Sebaik sahaja terdengar atau terlihat kilat sabung-menyabung, segera masuk ke dalam rumah untuk berlindung.
#2. Jangan mandi menggunakan shower
Jika rumah disambar kilat ketika anda sedang mandi menggunakan shower, maka anda dalam bahaya! Ini kerana voltan yang terhasil daripada ribut petir ini boleh mengalir melalui saluran paip air.
Rancangan Myhtbuster pernah melakukan eksperimen mengenai perkara ini dan akibatnya, shower yang digunakan meletup dan terbakar.
#3. Menyentuh struktur konkrit
Setiap struktur konkrit seperti bangunan, dinding atau lantai mempunyai wayar besi di dalamnya. Sama seperti paip air, voltan juga boleh mengalir melalui besi-besi ini.
Jadi, jangan sentuh apa sahaja struktur konkrit yang berada berdekatan ketika ribut petir sedang melanda untuk mengelakkan anda terkena renjatan.
#4. Menggunakan telefon berwayar
Telefon berwayar tidak lagi relevan kini. Jika anda masih memilikinya, elakkan daripada menggunakannya ketika ribut petir kerana voltan boleh mengalir melalui sistem elektrik dan menyambar apa-apa peranti yang bersambung dengannya.
Jika anda menggunakan smartphone pula, pastikan ia tidak bersambung dengan wayar pengecas, ya?
#5. Berbaring
Mungkin ramai dalam kalangan kita tahu bahawa kilat akan menyambar sesuatu yang tinggi terlebih dahulu.
Pun begitu, berbaring adalah pilihan yang kurang tepat kerana kilat yang telah menyambar permukaan bumi masih berbahaya kepada anda.
Posisi yang lebih tepat adalah anda perlu duduk bertinggung dengan kepala ditundukkan dan tapak tangan menekap telinga.
#6. Berlindung di bawah pokok
Jangan berlindung di bawah pokok semasa ribut petir kerana berisiko tinggi untuk anda disambar petir.
Dalam pada itu, kilat tersebut boleh melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Disebabkan manusia adalah konduktor elektrik yang baik, maka kilat tadi mungkin akan melompat kepada anda. Menakutkan, bukan?
#7. Segala perkakas elektrik
Paling penting, anda perlu jauhkan diri daripada segala perkakas elektrik seperti televisyen, radio, pemain dvd, permainan video dan sebagainya.
Ini kerana kilat sudah pasti boleh melalui kabel elektrik seperti ini.
Malah, anda mesti pernah lihat kotak suis rumah menendang dan rumah menjadi blackout seketika, bukan? Ia bertujuan untuk melindungi isi rumah dari renjatan kilat.
Sekiranya terkena renjatan kilat, apa perlu dilakukan?
Sudah tentu, orang yang terkena renjatan pasti tidak mampu berbuat apa-apa. Jadi, individu yang berada dekat dengan mereka perlu memainkan peranan.
Berikut merupakan langkah utama yang boleh dilakukan untuk membantu mangsa:
#1. Jangan sentuh mangsa
Jika anda terlihat ada individu yang cedera akibat renjatan kilat atau elektrik, jangan segera menghampirinya kerana mangsa mungkin masih mempunyai arus elektrik di dalam badan, atau anda juga akan menerima padahnya.
#2. Jauhi sumber elektrik
Selain menjauhi kilat semasa ribut petir dengan berlindung di dalam rumah, anda juga perlu menjauhkan diri dari segala sumber elektrik yang lain seperti wayar, besi dan sebagainya. Pastikan anda menjauhinya kira-kira jarak 6 meter (20 kaki).
#3. Hubungi talian kecemasan
Jangan panik, dan terus hubungi talian kecemasan 999. Tunggu sehingga bantuan tiba okay?
#4. Pastikan mangsa dalam kedudukan yang betul
Ini adalah langkah yang berisiko, jadi pastikan anda benar-benar tahu apa yang boleh dilakukan.
Sementara menunggu bantuan tiba, anda perlu alihkan sumber tenaga elektrik dari mangsa secepat mungkin. Anda boleh mematikan kuasa utama di kotak fius.
Sekiranya tidak berhasil, cuba pintas sumber tenaga elektrik ini menggunakan bahan penebat seperti kayu atau getah.
#5. Jangan tinggalkan mangsa
Sementara menunggu bantuan tiba, jangan tinggalkan mangsa. Ini kerana anda masih perlu memantau keadaan mereka kerana renjatan yang dialami mungkin menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai electroporation, di mana sel dalam badan pecah lalu mematikan tisu. Lebih menakutkan, ia juga mungkin menyebabkan luka terbakar, otot rosak serta tulang patah.
#6. Guna RCD
Apa itu RCD? Ia adalah alatan yang dapat melindungi anda dari kejutan elektrik akibat kilat semasa hujan ribut petir.
Jadi, Hello Doktor sangat mencadangkan agar setiap rumah memasang alatan ini bagi melindungi diri anda sekeluarga.
[embed-health-tool-bmi]