Alangkah beremosinya hati apabila melihat rumah bersepah dengan ruang tamu yang macam kapal karam, singki dapur berlonggok pinggan dan mangkuk, mesin basuh bertimbun baju dan seluar serta tempat tidur tidak berkemas bukan? Bagaimana untuk atasinya? Anda kenalah rajin kemas rumah!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
Terlalu banyak tangguh, malas atau sibuk
Sebenarnya, semua orang sudah pasti mahu kediaman mereka kekal bersih dan kemas sentiasa. Cuma, mungkin situasi itu sendiri tidak membenarkan mereka melakukan apa yang patut dibuat.
Selain terlalu banyak bertangguh, perasaan malas dan sibuk juga memainkan peranan yang kuat. Manakan tidak, sehari cuma ada 24 jam dan kadangkala ia mungkin tidak mencukupi.
Bayangkan jika anda dan pasangan adalah suami isteri yang keluar pagi dan pulang malam untuk bekerja. Masa di rumah yang terhad itu mungkin diperlukan untuk makan, tidur serta berehat!
Pun begitu, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan rumah kalian tunggang-langgang. Percayalah, dengan kerjasama masing-masing, aktiviti mengemas itu akan jadi lebih mudah.
“Sebenarnya, anda tidak perlu jadi individu yang rajin tetapi lebih bijak ketika sedang mengemas kediaman. Usaha yang minimum sahaja boleh membuatkan kediaman kalian lebih kemas, bersih dan selesa!” jelas Petugas Kebersihan Profesional, Sara San Angela.
Tips kemas rumah mudah namun efektif!
Ingat, anda tidak perlu rajin tetapi bijak. Berikut adalah antara tips kemas rumah yang anda boleh cuba:
#1. Kemas katil setelah bangun daripada tidur
Selepas bangkit daripada lena, jangan terus mengambil dan menghadap telefon pintar ya? Sebaliknya, sila terus kemas bantal, selimut dan cadar anda sebelum menuju ke tandas untuk mandi.
Ini adalah amalan yang sangat bagus kerana ia akan buat anda lebih cepat segar daripada ‘mamai’. Dalam pada itu, ia bagus kerana anda sudah selesaikan satu rutin dalam sekali jalan sahaja.
Cara kemas rumah #2. Kemas dapur selepas masak
Aktiviti memasak itu akan membuat dapur anda sedikit huru-hara terutama apabila ia melibatkan juadah yang sukar dimasak dan memerlukan banyak bahan serta alat untuk disediakan.
Jadi, sila cuba usahakan untuk mencuci dan membasuh semua bahan, alat serta dapur yang anda gunakan itu setelah selesai. Jika tidak, maka akan melekat segala sisa dan minyak di ruangan tersebut.
Cara kemas rumah #3. Cuci pinggan selepas makan
Sudah habis makan? Buang kebiasaan untuk melonggokkan segala pinggan, cawan, sudu, garpu dan lain-lain di singki dapur. Ini hanya akan mendidik individu itu untuk menjadi pemalas.
Longgokan yang sakit mata memandang ini juga akan membuatkan anda sakit hidung menghidu jika telah lama dibiarkan. Maka, didik anak anda daripada kecil untuk cuci pinggan setiap kali selepas makan.
#4. Bersihkan tandas selepas anda guna
Seperti mana yang kita semua tahu, tandas itu adalah tempat yang paling kotor di dalam rumah. Ia juga bakal meninggalkan aroma kurang senang jika masih ada sisa ‘hajat’ yang tertinggal.
Perkara paling penting, jangan lupa jirus mangkuk tandas setiap kali selepas guna! Dalam pada itu, ringankan tangan untuk menyiram bekas tapak kaki, sisa sabun serta letak kembali paip atau bidet ke tempat asal agar orang selepas anda lebih senang menggunakannya.
#5. Buangkan sampah sebelum ia penuh
Mungkin sudah jadi tabiat di mana sampah akan dilonggok dan dikumpul di satu tempat sehingga penuh sebelum ia dibuang. Benar, ia menjimatkan masa dan tenaga namun ia tidak wajar.
Ini kerana sampah-sampah itu bukan sahaja akan mendatangkan bau busuk malah meningkatkan risiko untuk jadi habitat haiwan perosak seperti tikus, lipas atau sebagainya. Akibatnya, kebersihan dan kesihatan diri anda sekeluarga juga yang terjejas.
Baca lagi artikel berkaitan:
Petua kemas rumah #6. Gunakan khidmat dobi
Sudah tahu anda sekeluarga sibuk dengan kerja, sekolah dan lain-lain, kenapa perlu pening fikir soal mencuci pakaian jika ada khidmat dobi? Benar, teknologi masa kini sangat membantu.
Jika tidak mampu atau mungkin tiada masa untuk ke dobi, uruskan baju kotor seminggu sekali atau lebih baik lagi 2,3 kali seminggu. Ia juga boleh jadi satu aktiviti keluarga yang akan mengeratkan lagi semangat kekeluargaan.
#7. Buat jadual keluarga untuk mengemas
Akhir sekali, anda juga boleh buat ‘gotong-royong’ peringkat keluarga. Lantik seorang setiausaha untuk membuat jadual mengemas (mungkin ibu paling layak) dan mulakan hari ini juga.
Contohnya, si ayah boleh mengemas halaman luar rumah manakala si ibu pula mengemas kawasan dalam rumah serta dibantu dengan anak anda dengan tugas-tugas khas yang ringan.
Jika tips dan cara kemas rumah ini berjaya, maka kediaman anda sudah pasti akan lebih kemas, bersih dan selesa untuk kehidupan anda sekeluarga!
[embed-health-tool-bmi]