backup og meta

Mama, Boleh Curi Masa Nak Bersihkan Rumah Waktu WFH, Tapi Baca 6 Panduan Ini Dulu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/05/2021

    Mama, Boleh Curi Masa Nak Bersihkan Rumah Waktu WFH, Tapi Baca 6 Panduan Ini Dulu

    Pada musim pandemik ini, semestinya ramai daripada kita yang lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah berbanding di luar. Apa kata jika masa yang terluang itu digunakan untuk membersihkan rumah.

    Tahukah anda tip membersihkan rumah yang paling tepat dan selamat? Kami kongsikan di sini beberapa petua bersihkan rumah yang boleh anda ikuti. 

    Tip membersihkan rumah 1: Jangan tergesa-gesa membersihkan rumah

    Walaupun hanya sekadar membersihkan rumah, ia boleh menjadi satu pekerjaan yang memenatkan.

    Ini kerana anda bukan hanya mengemop lantai dan menyapu sampah, tetapi anda juga mungkin akan memanjat tangga dan mengalihkan perabot. Ini pastinya akan meletihkan anda.

    Oleh itu, jika anda rasa letih, jangan sesekali memaksa diri untuk terus membuat kerja. Duduk rehat sebentar dan minum air secukupnya.

    Anda mempunyai banyak masa lagi untuk membersihkan rumah, jadi jangan terlalu memaksa diri. 

    Petua bersihkan rumah 2: Gunakan postur badan yang betul sewaktu mengangkat barang

    tip membersihkan rumah

    Apabila anda perlu mengangkat barang seperti kotak yang berat, pastikan anda gunakan teknik mengangkat yang betul. 

    • Anda duduk dalam posisi mencangkung. Pegang kotak dan angkat kotak dengan menaikkan tangan serta punggung. Pastikan pinggang anda tegak seperti posisi semasa anda sedang mencangkung tadi dan tidak membongkok
    • Jangan sesekali terus membongkokkan diri anda dan mengangkat barang terus daripada lantai tanpa mencangkung terlebih dahulu. Ini akan menambahkan beban pada pinggang anda dan tidak elok untuk postur badan

    Postur badan yang betul ketika mengangkat barang boleh mengelakkan pinggang anda daripada menjadi sakit.

    Tip membersihkan rumah 3: Gunakan tangga dengan berhati-hati

    Anda mungkin akan menggunakan tangga dalam beberapa keadaan seperti mencuci tingkap, menyapu sawang dan mengelap kipas.

    Apabila menggunakan tangga, jangan sesekali menjauhkan tubuh anda daripada sisi tangga tersebut. Ini akan membuatkan tangga menjadi lebih berat di sebelah sisi dan boleh menyebabkan tangga terbalik dan jatuh.

    Cara yang terbaik untuk memastikan penggunaan tangga yang betul adalah dengan memastikan bahagian tengah badan anda tidak melebihi sisi tangga.

    Untuk tangga yang lebih stabil, minta tolong daripada individu lain untuk memegang tangga daripada bawah.

    Petua bersihkan rumah 4: Hati-hati dengan lantai yang licin

    petua bersihkan rumah

    Lantai yang basah dengan air tanpa sebarang sabun pencuci lantai sudah agak licin. Inikan pula jika lantai tersebut diselimuti dengan bahan pencuci lantai.

    Apabila anda tergelincir atas lantai yang licin, ia sangat membahayakan. Ia boleh menyebabkan anggota tubuh terseliuh, malah kepala anda boleh terhantuk dan menyebabkan kecederaan.

    Ketika mencuci lantai, jauhkan kanak-kanak dan warga emas daripada kawasan tersebut. Minta mereka berada di luar kawasan rumah jika perlu.

    Untuk anda pula, gunakan kasut but yang bergetah ketika mencuci lantai bagi mengurangkan potensi anda terjatuh.

    Tip membersihkan rumah 5: Ikut arahan pada label produk

    Apabila anda mencuci dan membersihkan rumah, pastinya anda guna banyak produk pencuci seperti pencuci lantai dan peluntur.

    Perlu anda ketahui bahawa produk-produk ini mengandungi beberapa bahan yang tidak boleh dihidu atau terkena tubuh badan secara langsung.

    Oleh itu, pastikan anda membaca arahan cara penggunaan yang tertera pada label produk sebelum menggunakannya.

    Jangan sesekali mencampurkan beberapa produk dalam satu bancuhan kerana ia boleh menghasilkan wap toksik yang berbahaya.

    Gunakan sarung tangan ketika mengendalikan bahan kimia seperti ini ketika membersihkan rumah anda. 

    Petua bersihkan rumah 6: Pakai pelitup hidung 

    tip membersihkan rumah

    Udara yang kotor memberikan kesan negatif kepada saluran pernafasan kita. Begitu juga ketika anda membersihkan rumah yang berdebu dan berhabuk.

    Debu, habuk serta wap daripada bahan pencuci yang dihidu terus ke dalam hidung adalah sangat berbahaya.

    Oleh itu, pakailah pelitup hidung dan mulut ketika melakukan kerja-kerja membersihkan rumah. Selain itu, buka tingkap dan pintu agar debu dan habuk tidak terkumpul di dalam rumah. 

    Kesimpulan

    Mungkin ramai yang sering mengendahkan petua bersihkan rumah seperti yang kami kongsikan ini. Namun ia tidak menghalang kami untuk terus berkongsi dengan anda tip membersihkan rumah yang pastinya bermanfaat.

    Adakalanya anda terlupa, oleh itu bacalah panduan ini dengan kerap setiap kali anda ingin mencuci rumah anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 10/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan