Anda letak sabun basuh baju dengan banyak untuk wangikan pakaian ketika mencuci? Sabun cuci pakaian bukanlah faktor utama yang menyebabkan baju anda kekal wangi dan tidak berbau. Sebaliknya, ada beberapa perkara penting yang ramai terlepas pandang sewaktu mencuci pakaian.
Ini sembilan (9) teknik untuk pastikan baju kekal wangi selepas dibasuh.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
Bukan hanya sabun basuh baju, tapi 9 teknik ini juga sangat membantu
Ya, sabun basuh baju membantu anda memberikan wangian yang harum ketika mencuci pakaian.
Namun, ia bukanlah satu-satunya cara untuk mewangikan pakaian anda.
Ada beberapa perkara lain yang anda perlu berikan perhatian jika mahu pakaian kekal berbau wangi dan tidak hapak.
#1. Bersihkan mesin basuh
Walaupun mesin basuh berfungsi membersihkan pakaian anda, namun itu tidak bermakna ia tidak perlu dicuci atau diselenggara.
Anda perlu membersihkan segala kulat yang terdapat dalam mesin basuh bagi mengelakkan bau hapak pada baju.
Anda boleh menggunakan campuran cuka dan air dengan nisbah 1:1 untuk mencuci mesin basuh anda.
Selain itu, anda juga boleh meletakkan cecair peluntur ke dalam mesin basuh dan menggunakan mode tub cleaning pada mesin untuk mula mencuci secara automatik.
#2. Basuh pakaian dengan air panas
Apabila kita memakai pakaian, minyak badan atau sebum akan melekat pada pakaian.
Cara yang paling sesuai untuk menanggalkan sebum daripada pakaian adalah dengan menggunakan sabun basuh baju bersama-sama air panas.
Namun, tidak semua pakaian boleh dicuci dengan air panas.
Oleh itu, lihat pada label pakaian terlebih dahulu sebelum mula mencuci menggunakan air panas.
#3. Gunakan sabun cuci pakaian yang betul
Pastikan anda memilih sabun cuci pakaian yang betul dengan jenis fabrik pakaian anda.
Ini kerana, ada sabun basuh baju yang sesuai digunakan bersama air sejuk dan ada juga yang tidak sesuai.
Selain itu, gunakan kuantiti sabun yang tepat sewaktu mencuci baju.
Jumlah sabun yang terlalu banyak juga tidak semestinya menyebabkan baju anda bersih dan wangi.
Oleh itu, ikut saranan penggunaan yang tertera pada botol sabun.
#4. Jangan lengahkan basuh baju
Jangan sesekali melambat-lambatkan cuci pakaian terutamanya bagi pakaian yang terlalu kotor atau dibasahi peluh.
Ini kerana, bakteria akan membiak dengan lebih banyak pada pakaian yang lama tidak dibasuh.
Apabila bakteria menjadi terlalu banyak, baju anda juga akan mudah menjadi busuk dan berbau hapak walaupun setelah dicuci.
#5. Rendam pakaian sebelum basuh
Jika anda mahukan pewangi pakaian betul-betul meresap pada pakaian anda, cuba rendam pakaian terlebih dahulu sebelum dicuci. Disarankan untuk anda rendam pakaian semalaman sebelum dicuci pada keesokan pagi.
#6. Jangan overload mesin basuh anda
Ramai daripada kita yang gemar menyumbat pakaian sehingga penuh ke dalam mesin basuh dengan hanya sekali cucian.
Ini kerana, kita tidak mahu menunggu lama bagi tujuan mencuci baju.
Tahukah anda, pakaian yang memenuhi mesin basuh sehingga melebihi kapasiti sebenar tidak akan dicuci dengan baik?
Cara terbaik adalah memastikan pakaian diisi tidak lebih daripada ¾ kapasiti mesin basuh. Barulah pakaian anda mempunyai ruang dalam mesin tersebut untuk dicuci secara optimum.
#7. Cuba cucian tangan
Bagi jenis pakaian yang berbau busuk atau hapak, mungkin cucian tangan bersama sabun basuh baju merupakan cara terbaik.
Apatah lagi jika pakaian tersebut diperbuat daripada jenis fabrik yang mudah rosak.
Ambil masa untuk mencuci pakaian dengan menggunakan tangan dan rendam sebentar di dalam air sabun sekurang-kurangnya satu jam.
Kemudian bilas sehingga bersih sebelum dijemur.
#8. Keringkan pakaian dengan segera
Apabila ia sudah dicuci, pakaian perlulah dijemur atau dikeringkan dengan segera.
Ini kerana, pakaian yang dibiarkan basah hanya akan mengundang pembiakan bakteria yang menyebabkan pakaian berbau hapak.
Jika anda menggunakan mesin pengering, pastikan anda tidak menyumbat kesemua pakaian sehingga penuh.
Sekiranya anda ingin menjemur pakaian, pastikan ia berada di luar rumah atau di bawah cahaya matahari.
Cahaya matahari boleh membantu membunuh sebarang spora kulat mahupun bakteria yang terdapat pada pakaian.
#9. Pastikan pakaian benar-benar kering
Sebelum anda mula melipat atau menyimpan pakaian ke dalam almari, pastikan ia telah kering sepenuhnya.
Pastikan bahagian-bahagian pakaian yang terlipat atau pada bahagian celah pakaian benar-benar kering.
Jika anda menyimpan pakaian yang masih lembap di dalam almari, ia pasti akan berbau hapak apabila telah kering nanti.
Kuman dan kulat punca baju berbau
Kebanyakan isu baju berbau hapak walaupun setelah dicuci berpunca daripada kulat dan juga kuman.
Oleh itu, dapatkan jenis sabun basuh baju yang bukan hanya berfungsi untuk mencuci, tetapi juga boleh membunuh kuman pada pakaian.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan bahan pewangi ketika mencuci pakaian untuk menaikkan aroma wangian pada baju anda.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]