backup og meta

Tak Suka Iron Baju? Ini 8 Kelebihan Gosok Pakaian Yang Anda Tak Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/12/2022

    Tak Suka Iron Baju? Ini 8 Kelebihan Gosok Pakaian Yang Anda Tak Tahu

    Tidak suka iron baju? Tahukah anda, sebenarnya amalan menyeterika atau menggosok baju ini mempunyai kebaikan untuk kesihatan dan kesejahteraan diri secara umum. Tidak percaya? Baca ini! 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Habit Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Manfaat iron baju yang patut diketahui

    Dalam artikel ini, Hello Doktor akan berkongsikan 8 faedah menyeterika pakaian anda.

    1. Membunuh kuman

    Membasuh pakaian dengan suhu tinggi seharusnya dapat membunuh kebanyakan kuman. 

    Namun begitu, masih ada bakteria yang dapat bertahan dan terus hidup pada pakaian, contohnya seperti bakteria termofilik dan kulat. Tambahan pula, bukan semua pakaian boleh dicuci pada suhu 90ºC.

    Menjemur pakaian untuk kering secara semula jadi di bawah sinaran matahari pula boleh mengakibatkan pelbagai jenis bakteria dan pepijat tersangkut padanya.

    Jadi cara terbaik untuk menyingkirkan semua ‘penjahat kecil’ ini adalah dengan menggosok pakaian anda. Ini kerana haba daripada seterika dapat menamatkan riwayat semua kuman.

    Lebih baik lagi jika anda menggunakan steam iron. Seterika jenis ini perlu memanas sehingga 212º untuk menghasilkan wap, sekali gus berupaya membunuh bakteria, kuman, spora dan juga hama habuk pada pakaian.

    iron baju

    2. Iron baju menghalang pakaian daripada menjadi mengecil

    Satu masalah dengan mencuci pakaian ialah potensi untuk ia mengecut (shrink). 

    Sudah tentu anda amat disarankan untuk membaca label arahan membasuh dan menyeterika terlebih dahulu.

    Pengecutan bermaksud perubahan keseluruhan dalam sifat pakaian. Secara amnya, fabrik semula jadi lebih mengecut berbanding dengan bahan buatan tangan.

    Sesetengah detergen dobi mendakwa dapat mengelakkan pengecutan. Tetapi satu-satunya cara untuk menghapuskan pengecutan dan kedutan sepenuhnya adalah dengan menyeterika pakaian.

    Kebanyakan seterika didatangkan dengan termostat canggih yang mengawal suhu dengan berkesan pada julat yang luas. Bagi iron yang perlu dikawal suhu secara manual, perhatikan tanda atau nama kain.

    3. Berikan penampilan lebih segar

    Percaya atau tidak, cucian sahaja tidak cukup untuk menjadikan pakaian anda kelihatan segar, kemas dan bergaya.

    Dengan iron baju, akan dapat membantu menghilangkan semua kedutan dan memberikan baju, seluar dan apa jua pakaian anda tampak lebih segak. 

    Baca juga:

    4. Melindungi pakaian

    Satu lagi faedah ialah anda boleh menyimpan pakaian untuk tempoh lebih lama. Proses menggosok dapat melindungi lapisan dan seal fabrik. Ini menjadikannya lebih tahan terhadap keadaan cuaca dan kerosakan umum.

    Anda mungkin terfikir bahawa menyeterika boleh mengecutkan pakaian. Namun ia adalah salah. Ini kerana proses tersebut adalah salah satu cara paling selamat untuk menjaga pakaian.

    Jadi jangan malas untuk menggosok pakaian anda, okay!

    5. Menyingkirkan bau busuk dengan iron baju

    Perasan tak bahawa pakaian yang diseterika mempunyai bau unik dan rasa segar? Ini kerana suhu tinggi juga dapat menghilangkan bau busuk. Bahkan anda pasti akan suka bau pada pakaian yang terhasil selepas diseterika.

    6. Tanggapan positif

    Bagi profesional atau mereka yang bekerja di persekitaran korporat, penampilan kemas adalah penting.

    Jika anda berada dalam mesyuarat perniagaan, anda mesti yakin. Individu yang mempunyai keyakinan diri boleh melakukan perkara hebat dalam hidupnya. Jadi, jangan biarkan pakaian yang berkedut merosakkan keyakinan diri anda.

    Bayangkan jika anda hadir ke mesyuarat penting di pejabat dengan memakai sut berkedut. Sudah tentu ia bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan, bukan?

    iron baju

    7. Menjimatkan duit dengan iron baju sendiri

    Pada masa kini, perkhidmatan cucian kering (dry cleaning) profesional agak mahal. Jadi pilihan terbaik adalah untuk menggosok pakaian sendiri!

    Ada kalanya hasil yang diberikan oleh perkhidmatan berbayar juga tidak memuaskan hati. Bahkan mereka menggunakan kanji berbahaya pada pakaian anda.

    8. Aktiviti menggosok baju menenangkan 

    Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Tetapi sebenarnya aktiviti menggosok pakaian ini boleh dijadikan sebagai terapi menghilangkan stres. Bahkan anda juga boleh melakukannya sambil mendengar muzik atau menonton rancangan kegemaran.

    Kedengaran agak kelakar, tapi penulis sendiri tidak dapat menafikan fakta ini. Lebih-lebih lagi apabila sekarang penulis perlu menggosok baju uniform sekolah anak.

    Sambil menyeterika pakaian, anda boleh mendengar lagu dan menyanyi. Suara tak sedap pun tidak mengapa, yang penting nanti hati senang apabila baju selesai digosok.

    iron baju

    Adakah anda menyeterika baju?

    Jika jawapan anda tidak, mungkin sudah tiba masa untuk memulakannya.

    Memang betul kita tidak boleh menilai seseorang melalui luaran iaitu pakaian yang dipakai. Tetapi dengan iron baju, ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa anda adalah seorang yang mengambil berat dan menjaga penampilan diri.

    Jika menghadiri majlis sosial, tampil dengan pakaian yang kemas dan terurus adalah cara terbaik menunjukkan rasa hormat anda terhadap suasana majlis.

    Malas untuk memulakannya? Tidak dinafikan, lebih-lebih apabila ada selonggok pakaian yang perlu digosok. Jadi lakukan sedikit demi sedikit. Pastinya akan hadir rasa kepuasan apabila anda dapat menghilangkan kedutan dan menjadikan baju tampak lebih kemas.

    Jadi, apa pendapat anda tentang menggosok baju? Jangan lupa tinggalkan pendapat di ruangan komen.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan