Bayangkan situasi di mana kalian tertumpah minuman di ruang tamu, apa perkara pertama yang akan terlintas di fikiran? Tentu sahaja kain buruk atau kain lap bukan? Jadi, kita semua mungkin kena ada ‘benda’ yang sangat penting ini di rumah masing-masing!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Habit Sihat, anda juga boleh klik di sini.
Kenapa rumah kita semua kena ada kain buruk?
Berasal daripada pakaian seperti baju, seluar atau tuala lama yang tidak lagi digunakan, ia biasa dijadikan sebagai kain untuk mengelap, mencuci dan membersihkan kotoran di tempat tertentu.
Kebiasaannya, kain-kain ini akan diletakkan di lokasi tertentu di rumah termasuk tandas, dapur dan mungkin ruang tamu. Ia seakan satu keperluan yang mustahak untuk setiap kediaman.
Mungkin ada orang yang lebih gemar menggunakan tisu berbanding kain kerana ia lebih moden.
Namun, penggunaan kain lap itu sudah pasti jauh lebih praktikal selain menjimatkan duit poket.
Apa yang penting, kita semua perlu tahu cara yang betul untuk menggunakan kain ini agar ia tidak menjejaskan tahap kebersihan dan kesihatan. Persoalannya, apa yang perlu dipertimbangkan?
Ini peraturan penggunaan kain lap yang penting!
Aspek penggunaan dan penjagaan kain buruk itu perlu dititikberatkan bagi mengelakkan sebarang kesan negatif daripada berlaku seperti jangkitan kuman yang boleh memudaratkan tubuh badan.
Menurut Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S Malar Santhi, wujud 5 tatacara penting ketika menggunakan dan memakai kain ini dalam usaha menjamin keselamatan anda seisi rumah.
#1. Kategorikan kain mengikut kawasan
Pertama, anda perlu mengkategorikan kain itu mengikut kawasan ia akan digunakan. Misalnya, ia mungkin boleh diletakkan di tandas, dapur, beranda, stor, loteng dan lain-lain yang masing-masing khas untuk ada di satu tempat itu sahaja.
Pendek kata, satu kain pengelap untuk dapur, satu lagi kain khas diletakkan di stor dan seterusnya.
#2. Kategorikan kain buruk mengikut tujuan
Selain aspek kawasan, tujuan kain ini digunakan juga amat penting. Mungkin individu hanya boleh guna satu kain untuk satu sebab sahaja contohnya bagi membersihkan kotoran akibat tumpahan minuman, makanan, minyak dan lain-lain.
#3. Asingkan kain mengikut warna dan jenis
Dalam pada itu, anda juga perlu tahu bahawa tidak semua kain itu sesuai untuk dijadikan kain lap.
Ini kerana fabrik itu sendiri wujud dalam pelbagai jenis warna dan jenis. Bayangkan pula jika kain itu berwarna putih dan bertekstur nipis, adakah ia sesuai untuk diletakkan di dapur atau tandas?
#4. Tetapkan had tempoh penggunaan
Namanya sahaja kain buruk, tetapi jangan pula menggunakannya terlalu lama sehingga ia nampak lusuh, pudar dan koyak. Sebaiknya, tetapkan had tempoh penggunaannya seperti seminggu atau sebulan sahaja sebelum ia dibuang dan diganti dengan yang baharu.
Baca lagi artikel berkaitan:
#5. Bersihkan jika sudah terlalu kotor
Apabila ia telah nampak kotor namun masih boleh dipakai, anda ada dua pilihan iaitu untuk buang atau basuh. Di antara dua pilihan itu, membersihkan mungkin lebih baik kerana ia lebih jimat.
Pun begitu, anda tidak boleh sewenang-wenangnya mencampurkan ia sahaja di dalam mesin basuh bersama pakaian yang lain. Jika tidak, ia mungkin akan mencemarkan pakaian anda yang lain terutama yang masih baharu.
Bagaimana pula cara cuci kain lap dengan betul?
Setiap hari, individu mungkin akan menggunakan sekurang-kurangnya 1 atau 2 helai kain buruk untuk membersihkan kotoran di rumah. Jadi, bagaimana pula jika untuk seminggu atau sebulan?
Anda mungkin boleh menjimatkan penggunaan kain ini dengan cara mencucinya pada kadar yang ideal. Mengejutkan, ramai pakar menyarankan anda membersihkan kain ini sehari sekali.
Sebenarnya, ia bukan sahaja bertujuan untuk menjimatkan malah mengurangkan risiko individu daripada terkena jangkitan kuman atau alahan kulit akibat terdedah pada kain yang kotor.
Kedengaran agak mudah, namun anda perlu tahu cara cuci yang betul agar tidak memudaratkan:
- Rendam kain di dalam baldi berisi air dan sabun pencuci.
- Gosok kain dengan tangan atau berus hingga tanggal kotoran.
- Bilas kain dan jemur di ampaian atau dalam mesin pengering.
- Lipat kain dan boleh guna semula apabila perlu.
Ada beberapa tip atau trik tambahan yang anda boleh cuba untuk buat kain buruk anda itu lebih bersih dan wangi. Selain menggunakan rendaman air panas, anda juga boleh mencampurkannya dengan ekstrak buah sitrus untuk aroma lebih menenangkan.
Konklusinya, kain lap di rumah anda itu tidak boleh diguna, dibuang atau dicuci sewenangnya ya?
[embed-health-tool-bmi]