Bontot kuali akan mula berkerak dan menjadi hitam apabila sudah lama tidak disental. Walaupun kerap dicuci dengan sabun berkali-kali, jelaga hitam tersebut masih melekat pada dasar periuk atau kuali jika tidak dibuat dengan teknik yang betul. Kami kongsikan di sini beberapa kaedah atau cara bersihkan bontot kuali yang pasti menjadi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
Adakah jelaga pada bontot kuali berbahaya?
Apabila memasak, jelaga yang dihasilkan daripada api biasanya akan melekat hanya pada bahagian luar periuk dan juga kuali. Ia tidak memasuki masakan yang sedang anda masak.
Walau bagaimanapun, jelaga ini masih perlu dibersihkan dengan kerap agar ia tidak mula berkerak pada dasar kuali.
Jelaga terhasil daripada partikel karbon kecil yang boleh bersifat toksik sekiranya terhidu.
Oleh itu, sekiranya terdapat jelaga pada bahagian dalam kuali atau periuk, elakkan daripada menggunakan peralatan tersebut kerana ia sangat berbahaya kepada kesihatan anda.
Apakah cara bersihkan bontot kuali?
Kami percaya, ramai yang mungkin tidak begitu biasa dengan petua untuk membersihkan punggung kuali.
Malah ada yang telah mencuba pelbagai tip yang dikongsikan, namun masih tidak berjaya.
Jangan bimbang, ini lima cara bersihkan punggung kuali yang boleh anda cuba di rumah:
#1. Guna span melamin
Anda mungkin tidak pernah mendengar nama span ini, namun anda pasti tahu apabila disebut magic span.
Ia adalah benda yang sama sahaja.
Span melamin ini berwarna putih dan lebih lembut daripada span-span cuci pinggan yang biasa.
Cara bersihkan bontot kuali dengan menggunakan span ini adalah seperti berikut:
- Rendam span dalam air, biarkan ia menyerap air seketika. Kemudian, perah span untuk mengeluarkan lebihan air
- Gosok span pada punggung kuali secara perlahan-lahan untuk menyingkirkan jelaga daripada punggung kuali
- Untuk hasil yang lebih memuaskan, rendam span dalam air suam
#2. Baking soda dan juga cuka
Untuk pengetahuan anda, baking soda atau serbuk penaik merupakan bahan pembersih semula jadi yang juga berkesan menghilangkan jelaga.
Disebabkan serbuk penaik ini tidak bersifat mengakis, ia amat sesuai untuk digunakan secara berulang kali.
Untuk mendapatkan kesan terbaik, ia boleh digunakan bersama-sama cuka.
Caranya adalah seperti berikut:
- Bersihkan jelaga terlebih dahulu dengan menggunakan span atau kain basah yang telah diletakkan dengan serbuk penaik
- Biarkan ia seketika
- Lap kembali dengan menggunakan kain atau span sehingga bersih
- Jika mahu menggunakan cuka bersama, taburkan serbuk penaik pada punggung kuali dan curahkan cuka. Ia akan menyebabkan reaksi kimia yang boleh memudahkan anda menyingkirkan jelaga tersebut
#3. Bahan pencuci pelelas (abrasive)
Bahan pencuci pelelas boleh membantu menghilangkan kotoran degil pada periuk dan kuali.
Ini kerana, produk ini pada kebiasaannya telah ditambah dengan bahan tambahan seperti peluntur.
Namun, anda mestilah melihat jenis dan aturan penggunaannya agar ia sesuai dengan peralatan memasak anda.
Langkah untuk menggunakan pencuci pelelas ini ialah:
- Basuh atau bilas bontot periuk dan kuali dengan menggunakan air panas
- Sapukan bahan pencuci pelelas pada punggung kuali dan biarkan selama satu jam
- Selepas itu, sapukan lagi pencuci tersebut pada punggung kuali dan gunakan kain basah atau span untuk mula menggosok
- Bilas kuali dengan air suam dan sabun sehingga kesemua jelaga tertanggal
#4. Bahan pencuci pakaian
Untuk jelaga kuali yang sangat tebal atau telah lama berkerak, anda boleh cuba mencucinya dengan menggunakan bahan pencuci pakaian.
Langkahnya ialah:
- Isikan sinki atau besen dengan air panas. Tambahkan 1 ½ sudu makan bahan pencuci pakaian ke dalam air
- Masukkan kuali dan periuk anda ke dalam air tersebut dan biarkan selama 10 minit
- Setelah 10 minit, keluarkan kuali dan periuk tersebut, kemudian biarkan ia kering
- Ambil span dan bersihkan bahagian dalam kuali atau periuk sahaja. Jangan bersihkan bahagian luar kuali
- Kemudian, masak sesuatu di dalam kuali dengan api yang kuat
- Selepas itu, alihkan kuali daripada dapur dan biarkan ia sejuk seketika
- Ambil kain lembap dan gosok bontot kuali anda sehingga bersih
#5. Jus lemon dan juga garam
Jus lemon dan juga garam boleh digunakan untuk membersihkan kotoran dan mengembalikan warna terang pada bahan yang dicuci.
Ia boleh dianggap sebagai bahan pencuci yang mesra alam dan murah.
Cara menggunakan jus lemon dan garam untuk membersihkan punggung kuali adalah seperti berikut:
- Basahkan kuali dengan air dan taburkan garam pada punggung kuali
- Perah jus lemon pada punggung kuali tersebut
- Kemudian, ambil span dan gosok bontot kuali
- Bilas dengan air suam dan biarkan ia kering
- Setelah kering, perahkan jus lemon sekali lagi pada punggung kuali
- Jemur kuali di bawah cahaya matahari selama mana yang anda boleh. Lebih lama, lebih bagus hasilnya
- Basuh kuali dan ia sudah boleh digunakan
Kesimpulan
Mungkin ada beberapa petua berikut yang telah anda tahu.
Jika masih tidak berkesan, anda boleh cuba petua lain dalam senarai di atas. Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]