
Jom sama-sama kita selamatkan bumi – ini adalah ayat yang biasa kita semua dengar namun tiada sebarang perubahan pun yang dapat dilihat dari hari ke hari.
Hakikatnya, bumi ini ialah hak milik semua orang yang dikongsi bersama.
Bukan sahaja manusia, tetapi semua hidupan lain termasuk tumbuhan dan haiwan juga turut mempunyai hak ke atasnya.
Arus urbanisasi yang berlaku di seluruh dunia telah banyak membuka pelbagai ruang dan peluang ke arah kehidupan yang lebih baik serta selesa.
Pada awalnya, manusia tidak sedar bahawa proses tersebut dalam diam akan menjejaskan keharmonian sistem alam semula jadi kita sedikit demi sedikit.
Namun lama kelamaan, kesedaran untuk kita semua selamatkan bumi telah mula timbul dan sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera.
Persoalannya, apakah yang kita semua boleh lakukan? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini!
Kesedaran selamatkan bumi mula timbul
Pada tahun 1972, sebuah persidangan peringkat global pertama berkenaan alam sekitar diadakan di Stockholm, Sweden dan kesedaran mula menimbul dan memuncak.
Persidangan tersebut menjadi titik tolak ke arah mengawal impak aktiviti manusia ke atas alam sekitar.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi telah mengatasi kawalan ke atas ekosistem bumi sehingga berlaku pemanasan global, pencemaran udara, pengurangan air laut, ketandusan hutan, dan lambakan sisa plastik.
Malah, dunia juga menyaksikan sebahagian spesies haiwan telah pupus termasuk badak sumbu sumatera di Malaysia.
Harapan semakin cerah apabila gerakan dan idea yang membawa agenda menyelamatkan alam sekitar mula mendapat tempat dalam beberapa tahun belakangan ini.
Dengan polisi daripada kerajaan dan kerjasama badan bukan kerajaan serta syarikat-syarikat korporat, cita-cita untuk melihat bumi ini kekal hijau dan bersih mungkin bukan suatu perkara yang mustahil.
Apa yang manusia boleh lakukan untuk selamatkan bumi?
Di peringkat individu, banyak yang anda boleh lakukan.
#1. Kurangkan penggunaan plastik
Selari dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk menghapuskan produk plastik sekali guna menjalang tahun 2030, semua manusia harus memulakan langkah hari ini.
Sedar atau tidak, Malaysia merupakan negara ke-8 terbesar dalam pencemaran plastik!
Anda boleh cuba:
- Gunakan beg kertas atau kain ketika membeli di pasaraya
- Elakkan mengambil beg plastik jika membeli barang dalam kuantiti yang sedikit
- Tidak menggunakan straw
- Guna semula beg plastik
#2. Kurangkan pembakaran bahan api
Sekali-sekala, simpan kenderaan anda dan gunakan kemudahan awam yang memang dicipta untuk memudahkan mobiliti manusia.
Bagi perjalanan jarak dekat, lakukan sedikit senaman dengan berjalan kaki.
#3. Uruskan sampah di rumah anda
Jangan buang sampah merata-rata ya wahai manusia!
Sebaliknya, letak di tempat yang sepatutnya untuk diproses oleh pihak terbabit. Membuang sampah merata-rata akan mencemarkan sungai, tanah, dan udara.
Akhir kata, anggaplah bumi ini seperti rumah anda. Sayangi dan peliharalah ia sebelum terlambat. Jom sama-sama kita semua selamatkan bumi!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.