backup og meta

Bagaimana Menjaga Pasangan Dengan Masalah Nyanyuk?

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/07/2020

    Bagaimana Menjaga Pasangan Dengan Masalah Nyanyuk?

    Apakah persamaan antara demensia dan Alzheimer? Kedua-duanya menyebabkan individu menjadi nyanyuk atau kemerosotan ingatan. Jadi apakah cara terbaik untuk menjaga mereka yang menghidapinya?

    Masalah nyanyuk

    Sebelum kita terus bercerita mengenai cara penjagaan terhadap pasangan dengan demensia atau Alzheimer, apa kata kita ketahui dan fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan demensia dan Alzheimer, boleh?

    Demensia

    Demensia bukanlah satu penyakit. Masalah nyanyuk ini berlaku kerana kemerosotan dalam fungsi kognitif yang menjejaskan ingatan, cara berfikir, berbahasa, tingkah laku dan membuat keputusan. 

    Sesetengah masalah demensia boleh dirawat dan terdapat juga demensia yang ditafsirkan sebagai kemerosotan mental yang tidak dapat dipulihkan. Di samping itu, ada juga masalah demensia yang progresif. Ini bermakna keadaan nyanyuk ini cenderung menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa. 

    Masalah nyanyuk yang berpunca daripada demensia bukanlah satu proses penuaan yang normal. Antara punca yang boleh mendasari keadaan ini adalah seperti menghidapi penyakit tertentu atau mengalami kecederaan.

    Demensia berlaku apabila terdapat kerosakan pada sel-sel otak. Kerosakan ini mengganggu keupayaan sel-sel otak untuk berkomunikasi di antara satu sama lain. Apabila sel-sel otak tidak dapat berkomunikasi secara normal, berfikir, tingkah laku dan perasaan juga boleh terjejas.

    Simptom demensia

    Perubahan kognitif

    • Hilang ingatan, yang biasanya diperhatikan oleh pasangan atau orang lain
    • Kesukaran berkomunikasi atau mencari perkataan
    • Kesukaran membuat pertimbangan atau menyelesaikan masalah
    • Kesukaran mengendalikan tugas kompleks
    • Kesukaran membuat perancangan dan penganjuran
    • Kesukaran dengan koordinasi dan fungsi motor
    • Kekeliruan dan kecelaruan
    • Perubahan psikologi

    Perubahan personaliti

  • Kemurungan
  • Kegelisahan
  • Tingkah laku yang tidak sesuai
  • Paranoia
  • Agitasi
  • Halusinasi
  • Alzheimer

    Alzheimer adalah satu penyakit progresif yang memadam ingatan dan fungsi mental penting lain. Pada mulanya, individu dengan Alzheimer akan mengalami sedikit kekeliruan dan sukar untuk mengingati sesuatu perkara. Selepas beberapa tempoh masa, mereka akan melupakan individu yang penting dalam hidup mereka dan melalui perubahan personaliti yang mendadak.

    Keadaan ini juga selalunya dikaitkan sebagai punca demensia. Dalam Alzheimer, sel-sel otak tidak berkembang dan mati, menyebabkan kemerosotan ingatan dan fungsi mental. Keadaan ini secara perlahan-lahan akan memusnahkan ingatan, kemahiran berfikir atau membuat keputusan serta keupayaan untuk menjalankan tugasan yang mudah. 

    Tahap Alzheimer bermula daripada tahap ringan, di mana ketika ia baru bermula untuk mempengaruhi fungsi pemikiran seseorang. Keadaan ini akan berkembang kepada tahap yang lebih parah, apabila seseorang individu itu akan bergantung sepenuhnya kepada individu lain dalam soal penjagaan harian yang asas. Buat masa ini, Alzheimer masih tidak mempunyai sebarang kaedah penyembuhan.

    Simptom awal

    • Pelupa/kealpaan
    • Kehilangan tumpuan
    • Masalah bahasa
    • Kekeliruan tentang masa dan tempat
    • Gangguan penghakiman
    • Kehilangan wawasan
    • Koordinasi dan pergerakan yang terjejas
    • Perubahan mood dan tingkah laku
    • Kemurungan

    Tip penjagaan pasangan dengan demensia atau Alzheimer

    Menjaga pasangan yang mengalami masalah nyanyuk boleh menjadi satu proses yang panjang, memberikan tekanan dan mewujudkan ketegangan emosi. Memandangkan masih tiada lagi rawatan untuk menyembuhkan kedua-dua keadaan ini, maka penjagaan anda pastinya memberikan perbezaan terhadap kualiti kehidupan insan yang anda sayangi

    Tidak dinafikan, menjaga individu yang mengalami masalah nyanyuk pastinya memenatkan. Apabila fungsi kognitif, fizikal dan keupayaan pasangan anda semakin merosot, sudah tentu ia akan menyebabkan anda berasa terharu dan mengabaikan kesihatan serta kesejahteraan diri sendiri.

    Walau bagaimanapun, pastinya terdapat strategi dan tip penjagaan yang dapat membantu anda untuk menjaga insan yang anda cintai dan menjadikan proses tersebut sebagai satu cabaran terbaik.

    Berikut adalah beberapa cara persediaan yang boleh anda lakukan:

    1. Bersedia untuk cabaran mendatang

    Apabila anda semakin memahami tentang masalah yang dialami oleh insan tersayang, ia sekali gus akan menjadikan anda lebih bersedia untuk menghadapi cabaran, mengurangkan kekecewaan dan mewujudkan pengharapan yang logik.

    Walaupun untuk mempraktikkannya tidaklah semudah melafazkan, tetapi apabila anda mempunyai perancangan, ini membolehkan pasangan anda untuk turut terlibat dalam proses membuat keputusan. 

    Beberapa soalan yang boleh dipertimbangkan dalam persediaan menjaga pasangan dengan demensia atau Alzheimer:

    1. Siapa yang akan membuat keputusan kesihatan atau/dan kewangan apabila pasangan anda tidak mampu melakukannya?

    Mungkin ada yang merasakan soalan ini tidak patut dibangkitkan, tetapi sekiranya pasangan anda masih waras untuk berfikir dan membuat keputusan, maka berikan peluang kepadanya untuk menentukan apa yang diingini dan catatkannya di atas kertas sebagai bukti.

    1. Bagaimana mendapatkan keperluan penjagaan?

    Biasanya ahli keluarga akan menganggap bahawa pasangan atau keluarga terdekat boleh mengambil peranan sebagai penjaga. Hakikatnya, ia bukan selalunya begitu. Menjaga individu yang nyanyuk memerlukan komitmen yang besar dan individu atau keluarga yang diharapkan mengambil peranan sebagai penjaga mungkin mempunyai masalah kesihatan, tugasan kerja atau tanggungjawab lain. 

    Di sini, perkara paling utama adalah komunikasi untuk memastikan keperluan individu dengan demensia atau Alzheimer dipenuhi dan bagi memberikan sokongan kepada mereka yang mengambil peranan sebagai penjaga.

    2. Pelan sokongan 

    Memberi tumpuan sepenuhnya dalam menjaga keperluan pasangan, menyebabkan anda berisiko untuk mengabaikan kebajikan anda sendiri. Tanpa sokongan fizikal dan emosi yang betul, anda tidak akan dapat memberikan penjagaan pada tahap yang terbaik kepada pasangan anda. 

    Jadi, pastikan anda:

    • Meminta bantuan jika memerlukannya
    • Meningkatkan kemahiran penjagaan dari masa ke masa melalui bengkel kemahiran, pembacaan dan sebagainya
    • Menyertai kumpulan sokongan. Ini membolehkan anda untuk belajar daripada pengalaman individu lain yang turut berdepan cabaran yang sama
    • Gunakan sumber yang ada. Pastinya terdapat kumpulan komuniti dan persatuan atas talian (online) yang boleh membantu anda untuk memberikan sokongan praktikal, bantuan, nasihat dan latihan
    • Penjagaan diri. Pastikan anda melakukan pemeriksaan doktor secara berkala dan  berikan perhatian terhadap sebarang tanda dan simptom tekanan berlebihan
    • Bersenam. Melakukan aktiviti fizikal bukan sahaja membantu mengekalkan kecergasan diri tetapi ia turut membantu melepaskan endorfin yang dapat meningkatkan mood anda
    • Ambillah masa untuk bercakap atau meluahkan apa yang anda rasai kepada individu atau ahli keluarga yang dipercayai. Ia pastinya merupakan satu perkara yang baik dalam membantu melegakan tekanan

    3. Berdepan dengan perubahan komunikasi

    Apabila insan yang anda sayangi berdepan keadaan nyanyuk disebabkan demensia atau Alzheimer, akan berlaku perubahan dalam cara mereka berkomunikasi. Mereka akan berdepan kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai, lebih banyak pergerakan tangan dan mudah keliru. Malahan mereka juga mungkin akan mudah naik angin secara tiba-tiba.

    Jadi pastikan anda menjadikan komunikasi anda ringkas dan jelas, hindari daripada berasa kecewa apabila berdepan dengan situasi yang menduga perasaan anda, dan bercakap dengan perlahan.

    4. Ciptakan rutin harian

    Mencipta rutin harian bagi individu dengan demensia atau Alzheimer pastinya dapat menjadikan perjalanan harian anda berjalan lancar. Walaupun hakikatnya rutin tersebut mungkin tidak berjalan lancar seperti diharapkan, tetapi ia sekurang-kurangnya mewujudkan keadaan yang konsisten.

    5. Berdepan isu tingkah laku

    Antara cabaran utama yang akan dihadapi adalah untuk mengendalikan perubahan tingkah laku atau personaliti. Keadaan ini melibatkan sikap agresif, halusinasi, kesukaran untuk makan atau tidur dan sebagainya. 

    Keadaan tersebut sekali gus menimbulkan kesukaran dan tekanan kepada anda sebagai penjaga. Lakukan beberapa perubahan yang mudah untuk membantu meringankan tekanan anda. 

    Kesimpulan

    Mengambil peranan sebagai penjaga kepada individu yang berdepan keadaan nyanyuk, sudah tentu boleh menimbulkan pelbagai masalah dan tekanan kepada diri. Namun, perkara paling penting adalah untuk memastikan anda mempunyai sokongan daripada keluarga dan sahabat. Pastikan anda tetap menjaga kebajikan diri anda sendiri, okay?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan