Muka Tiba-Tiba Jadi Herot Sebelah, Adakah Penyakit Lumpuh Muka Ini Berbahaya? Ini Penjelasannya

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 27/10/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Dipetik daripada nama seorang pakar bedah Scotland, lumpuh muka atau Bell’s palsy, tampak seperti satu keadaan kesihatan yang serius. Namun, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ia merupakan kelumpuhan muka yang lazim dialami pada golongan berusia pertengahan berbanding dengan strok. 

Pada penghujung Disember 2019, negara telah dikejutkan dengan berita berkenaan dengan Chan Peng Soon, jaguh beregu badminton negara yang mengalami masalah kelumpuhan muka. Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Perihal Bell’s palsy

Trivia: Angelina Jolie, Pierce Brosnan, George Clooney dan Terrence Howard. Apakah persamaan di antara keempat-empat bintang handalan yang tersenarai? Jawapan akan menyusul sebentar lagi.

Sistem saraf mempunyai peranan yang penting dalam mengawal pergerakan otot termasuklah otot yang berada di muka. Apabila berlaku keradangan, kebengkakan atau terjadinya keadaan di mana urat saraf terhimpit di antara dua struktur, ia boleh mengakibatkan laluan signal elektrik terganggu.

Perkara ini akan menyebabkan otot yang terlibat tidak menerima sebarang signal dari otak maka ia akan menjadi lemah atau lumpuh. Apabila perkara ini berlaku kepada urat saraf yang bertanggungjawab mengawal keadaan otot di muka, ia dikenali sebagai Bell’s palsy atau kelumpuhan muka. 

Simptom yang kebiasaannya dialami oleh individu adalah seperti berikut:

  • Muka kelihatan herot
  • Sentakan (twitches) pada otot di muka
  • Mata dan mulut pada bahagian yang lemah kelihatan kering
  • Sukar untuk makan dan minum
  • Air liur meleleh keluar
  • Mata pada bahagian muka yang lemah kelihatan merah

Walaupun kelumpuhan muka merupakan keadaan kesihatan yang lazim dialami, ia tidak dianggap sebagai satu diagnosis utama. Ini berikutan terdapat diagnosis lain yang menyerupai presentasi kelumpuhan muka yang boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak dirawat pada peringkat awal.

Antaranya adalah:

  • Tumor pada sistem saraf
  • Jangkitan pada salur telinga tengah (otitis media)
  • Sarkoidosis
  • Penyakit autoimun
  • Penyakit metabolik seperti kencing manis
  • Sindrom Guillain-Barré 

Oleh sebab itulah pesakit tidak digalakkan untuk membuat andaian bahawa penyakit yang dialaminya akan mempunyai diagnosis yang sama dengan jiran sebelah. Mereka mungkin mengalami kelumpuhan muka, namun, tanpa pemeriksaan klinikal yang teliti, keadaan kesihatan lain yang lebih berbahaya berisiko untuk tidak didiagnosis.

Rawatan kelumpuhan muka

Setakat ini, tiada penawar atau cara khusus yang dapat diberikan bagi menghindari penyakit ini. Rawatan yang kebiasaannya diberikan bertujuan untuk mengurangkan keradangan dan merawat punca-punca lain yang boleh menyebabkan masalah ini. Antaranya adalah:

  1. Jangkitan virus herpes
  2. Hipertensi
  3. Kencing manis
  4. Jangkitan salur pernafasan atas
  5. Preeklampsia (bagi wanita hamil)

Jika kelumpuhan muka tersebut disebabkan oleh virus Herpes, terapi antiviral dan ubat steroid boleh diberikan dalam tempoh 72 jam selepas berlakunya simptom tersebut. Ini bagi mengurangkan keradangan pada saraf yang terlibat sekali gus membasmi virus Herpes yang mungkin menjadi punca berlakunya keadaan tersebut.

Selain itu, cara penjagaan mata juga amat penting sepanjang tempoh penyakit tersebut didiagnosis. Ini berikutan ketidakupayaan individu terbabit untuk mengawal otot yang menggerakkan kelopak mata. Mata akan mudah menjadi kering dan sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan ulser mata, jangkitan kuman dan kebutaan.

Antara langkah yang boleh diambil adalah:

  • Gunakan kaca mata hitam
  • Gunakan ubat titis mata
  • Tutup mata menggunakan penampal mata lembut
  • Gunakan penutup polietilena 

Walaupun tampak menakutkan, jika anda mendapatkan rawatan awal, peluang untuk sembuh sangat tinggi. Tanpa pemberian ubat-ubatan seperti steroid, kadangkala, pesakit akan mempunyai kelemahan kekal pada muka atau mulut. 

Oleh itu penting untuk anda faham, sekiranya anda mengalami simptom yang tersenarai di atas, dapatkan rawatan kesihatan secepat mungkin. 

Trivia

kelumpuhan muka

Angelina Jolie, Pierce Brosnan, George Clooney dan Terrence Howard, keempat-empat superstar ini pernah didiagnosis dengan penyakit Bell’s palsy. Kelumpuhan muka mempunyai kadar insiden yang lebih kurang sama untuk semua populasi iaitu 20 hingga 30 kes dalam populasi yang terdiri daripada 100,000 individu.

Angelina Jolie

Bintang handalan antarabangsa Angelina Jolie, sangat terbuka berkenaan dengan masalah kesihatannya. Beliau pernah mengumumkan berkenaan dengan perancangannya untuk membuang payudara, ovari dan membuat pembedahan pembentukan semula payudara bagi menghindari kanser yang berkait dengan gen BRCA

Namun, pada tahun 2016, beliau didiagnosis dengan masalah kelumpuhan muka. Tiada sebarang sebab yang diusulkan sebagai punca namun itulah hakikat yang berkait dengan permasalahan ini. Menurut Angelina, selain daripada rawatan yang dipreskripsikan oleh doktor, akupunktur juga boleh membantu dalam proses pemulihannya.

Pierce Brosnan

Siapa tidak kenal pelakon James Bond sebelum era Daniel Craig? Pada tahun 1980-an, Brosnan telah didiagnosis dengan penyakit Bell’s palsy ketika beliau sedang menyunting babak tidak berbaju di dalam sungai.

Beliau telah diberikan ubat steroid dan terus berlakon dengan rakaman aksinya dirakam pada sebelah kiri untuk menutup simptom masalah kesihatan tersebut. Begitulah komitmen yang diberikan oleh Brosnan bagi mengecapi impiannya untuk menjadi bintang handalan Hollywood.

George Clooney 

Berhati-hati jika anda ingin mengejek rakan anda yang mengalami simptom kelumpuhan muka. Mereka mungkin akan menjadi bintang handalan yang terkenal suatu hari nanti! George Clooney didiagnosis dengan masalah Bell’s palsy ketika beliau berusia 14 tahun.

Clooney diejek dan dicemuh berikutan rupanya yang kelihatan cacat namun itu tidak melunturkan semangat beliau. Kadangkala, Clooney sendiri akan berjenaka dengan rakan-rakannya berkenaan dengan rupanya sendiri. Buat apa nak malu kan? Karakter itulah yang menjadi tunjang kepada kejayaannya di dunia Hollywood.

Terrence Howard

Penulis tidak tahu jika gaya rawatan yang diambil oleh bekas pelakon Rhodey dalam filem Iron Man 1, Terrence Howard benar-benar berlaku. Jika ia betul, maka ini merupakan cara yang paling bahaya pernah dicuba oleh mana-mana selebriti dalam menangani masalah kelumpuhan muka.

Seperti George Clooney, Howard juga didiagnosis dengan penyakit tersebut ketika remaja. Namun, apabila beliau sedar akan risiko untuk mukanya menjadi lumpuh akibat penyakit tersebut, beliau memotong wayar pencukur elektrik milik ayahnya untuk memberi kejutan kepada otot mukanya selama 5 bulan.

Mungkin terdapat unsur-unsur pembesaran dalam kisah tersebut, namun mari kita ambil isi pentingnya. Terrence Howard pernah didiagnosis dengan penyakit ini dan sembuh!

Konklusi

Penyakit kelumpuhan muka mempunyai potensi yang tinggi untuk sembuh jika anda mendapatkan rawatan awal. Jangan ragu-ragu untuk berjumpa dengan doktor dan jangan sesekali cuba untuk menyembuhkan penyakit ini mengikut teknik Terrence Howard. Dapatkan pemeriksaan fizikal dan rawatan susulan untuk tahu berkenaan dengan punca dan cara merawatnya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan