Tip Riang Ria Raya di Kampung

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 02/12/2019 . 5 minit bacaan
Share now

Dalam masa sejam, hampir 60 orang bayi dilahirkan di Malaysia. Iaitu seorang dalam satu minit. Daripada semua komuniti masyarakat di Malaysia pula, kadar kesuburan masyarakat Melayu adalah 40% lebih tinggi daripada kaum India Malaysia dan 56% lebih tinggi daripada kaum Cina Malaysia. Dengan peratusan masyarakat Melayu Muslim yang meraikan hari raya di Malaysia ini sememangnya lebih ramai berbanding kaum lain, ditambah pula dengan tahap kesuburan yang lebih tinggi, tidak hairanlah hari raya lebih meriah berbanding perayaan lain, atau barangkali dalam pandangan sesetengah yang lain, lebih sempit!

Bayangkan jika seorang ibu mempunyai 6 orang anak, yang setiap satunya sudah berkahwin dan mempunyai purata 2 orang anak, hasilnya 26 orang individu (2 ibu bapa + 12 anak dan pasangan + 12 cucu) akan berkumpul serumah di hari raya. Pastilah akan berlaku keriuhan dan kesesakan yang tidak dapat dielakkan, maka terjadilah fenomena Rumah Epik Fantastik yang berlaku saban tahun.

Video ihsan daripada TNB

Oleh itu, untuk mengelakkan kekusutan dan keserabutan sewaktu raya, amalkan tip beraya di kampung ini untuk keselesaan anda sekeluarga:

1. Bawa seterika sendiri

Selepas sebulan dihabiskan berpuasa -dan mencari baju raya-, persiapan pagi raya anda pastilah melibatkan persiapan berpakaian. Anda sememangnya tidak dapat mengubah rutin beratur di pintu tandas kerana bilangan tandas di kampung halaman anda tidak boleh ditambah dengan sekelip mata. Tetapi anda semestinya mampu mengubah rutin beratur atau ‘menempah’ giliran untuk menyeterika baju.

Jadi, bawalah seterika anda sendiri supaya tidak berebutkan seterika tua yang telah lama berjasa di kampung halaman. Jika anda mempunyai kereta yang berkapasiti besar, mengapa tidak membawa iron board sekali ke dalam bonet?

2. Kepanasan? Bawa kipas sendiri

Rumah di kampung mungkin tidak mempunyai penyaman udara seperti di rumah anda, atau nisbah kipas kepada bilangan manusia yang menggunakannya di hari raya sangat tidak sepadan. Terutamanya bagi yang bertudung, pulang ke kampung mungkin mencabar dengan cuaca panas, kipas usang, dan tidur di ruang tamu yang menyebabkan rambut berbau.

Jadi, jika kereta anda masih mempunyai ruang, bawa balik kipas sendiri. Anda tidak semestinya perlu membawa kipas yang besar gadang, bimbang patah dalam perjalanan ke kampung. Kipas menggunakan bateri yang kecil untuk dipegang di tangan juga praktikal terutamanya jika anda mempunyai anak kecil yang kerap menangis tidak selesa kerana panas.

3. Kabel penyambung untuk semua

Dalam zaman sedia maju ini hampir semua orang mempunyai alat eletronik yang perlu dicas atau disambungkan dengan sumber elektrik. Malah si kecil yang masih menghisap botol juga mungkin perlukan pemanas botol atau si ibu memerlukan pengepam susu. Jadi, membawa kabel penyambung bukan sahaja memudahkan anda, bahkan saudara-mara lain yang memerlukan.

Daripada anda mendominasi satu sumber elektrik untuk kegunaan anda seorang, pasangkan kabel penyambung agar orang lain turut sama dapat menggunakannya untuk mengecas telefon, tablet, dan menggunakan peralatan eletrik lain.

4. Tilam/toto agar tidur nyenyak

Jika ibu bapa anda tidak mempunyai tilam/toto yang mencukupi untuk seisi keluarga, bawalah tilam/toto anda sendiri. Malah, lebih baik lagi jika anda membeli toto untuk disimpan terus di kampung halaman. Dengan ini, ibu bapa anda tidak perlu pening lagi untuk menyediakan tempat tidur tiap kali anda datang.

Sebelum pulang, pastikan anda membasuh toto untuk disimpan. Hantar seketika di kedai dobi berdekatan, dan simpan dengan elok. Jangan risau kerana sentiasa ada dobi layan diri yang dibuka untuk kegunaan walaupun sewaktu cuti.

5. Homestay pilihan alternatif

Jika bilangan ahli keluarga yang akan menginap di kampung halaman sudah melimpah-ruah sehingga tidak dapat disumbat dalam setiap ruang dan bucu rumah, anda patut mempertimbangkan penginapan di homestay.

Pastikan anda memilih homestay yang berdekatan dengan kampung halaman. Ingat, homestay ini bukanlah sebagai kediaman utama anda. Jika anda menghilangkan diri kerana menghabiskan masa menonton televisyen di homestay, anda telah gagal memahami konsep homestay sebagai alternatif.

Sebaliknya, banyakkan masa di rumah ibu bapa dan hanya kembali ke homestay setelah larut malam. Jadikan homestay sebagai hentian untuk anda dan keluarga mandi, solat dan tidur. Sementara waktu bersosial patut dihabiskan di di rumah ibu bapa anda.

6. Jangan sampai terlepas solat di pagi raya

Sama ada anda tidur menggunakan toto atau tilam, dalam kepanasan atau keselesaan, di rumah atau homestay; tip-tip yang kami cadangkan adalah untuk kenyamanan anda. Agar anda tidak bangun dengan lingkaran bawah mata yang lebih gelap atau terlajak daripada waktu menunaikan solat raya. Ingat, ibadah ini hanya datang sekali setahun (dalam kalendar Hijrah), jadi manfaatkan pagi raya anda dengan ibadah mulia ini sambil bertegur sapa dengan ahli kariah.

7. Bantu-membantu mengemas dan memasak

Ajak isteri dan anak anda untuk menolong membasuh pinggan dan kemas meja lepas makan. Anda tidak semestinya perlu mengambil alih tugas memasak, hanya perlu membantu memotong dan menyiang bahan masakan. Kerahkan anak lelaki untuk membantu atuk mengemas rumah, bakar lemang, membeli barang dan sebagainya.

Cari tugas mudah yang boleh anda lakukan sepanjang hari. Misalnya membancuh air dan mengisi semula bekas kuih. Anda akan dilihat konsisten membantu sepanjang hari raya walaupun tugas mudah.

Jangan selalu terperap dalam bilik. Ringan-ringankan tulang membantu. Ini juga merupakan masa untuk berkenalan dengan saudara-mara. Sambil berkongsi tenaga untuk mengemas atau memasak, mulut anda tentunya boleh berceloteh berkongsi cerita-cerita yang menarik.

8. Bebaskan diri daripada gadget

Daripada membiasakan diri menatap skrin telefon, tablet dan sebagainya di hari raya, lebih baik waktu ini digunakan untuk bersembang dan mengeratkan silaturrahim.

Jangan pula sekadar membebel kepada anak-anak untuk tidak menghabiskan masa dengan gadget sedangkan anda sendiri sibuk bermain gadget. Ibarat ketam mengajar anak berjalan, anak anda akan meniru tabiat buruk anda.

Jika anda merasa tidak dihormati apabila anak anda sibuk menatap gadget ketika anda bercakap dengannya, jangan melakukan perkara yang sama ketika orang lain bercakap dengan anda. Hanya bila tiada kerja untuk anda lakukan, barulah masanya untuk mengambil gambar dan berkongsi di media sosial.

9. Hormati orang lain

Dalam percampuran dengan saudara-mara tanpa mengira jantina dan usia, hormati keselesaan orang lain. Orang lelaki, contohnya patut mengelakkan diri membuka baju dan merokok ketika ramai-ramai di ruang tamu, atau di meja makan.

Semasa berbual pula, carilah topik perbualan yang sama-sama anda senangi. Anda mengundi PH, saudara anda mengundi PAS dan ayah anda mengundi BN? Ini bukanlah masa yang baik untuk membangkitkan isu ini dan berapi tentang politik. Ingat, ini waktu hari raya, bukan pilihan raya. Hampir sebulan Ramadan telah terkorban dengan sengketa politik, kini masa untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturrahim.

Santuni juga adik-beradik yang sedikit kurang berada daripada anda. Jangan berbual tentang kereta, telefon baru, beli rumah, melancong ke London dll. Jawab dengan ringkas jika ditanya dan fokus lebih kepada silaturrahim.

10. Berkongsi rezeki sesama kita

Duit raya mesti diberi kepada ibu dan ayah mengikut kemampuan. Tapi ingatlah bukan duit anda yang diharapkan, sebaliknya keberadaan anda bersama mereka yang lebih mereka hargai.

Jika anda mempunyai bajet lebih, belikan barang-barang dapur mahupun kuih raya beberapa balang. Kordial minuman juga sesuai untuk anda belikan. Anda juga boleh membelikan buah tangan seperti kain, baju, atau tudung terutamanya untuk ibu anda.

12. Terima seadanya

Jangan mudah terasa dengan tutur kata adik-beradik dan ipar duai. Belajar berlapang dada. Jangan cemari kemaafan syawal dengan kemarahan kita. Nikmati waktu di hari raya dan terima keluarga anda atau keluarga mertua seadanya.

Waktu beraya di kampung bukanlah sekadar memenuhi tuntutan budaya. Niatkan waktu ini sebagai memenuhi tanggungjawab ziarah-menziarahi dan mengeratkan silaturrahim yang sangat dipuji dalam agama. Hargailah keluarga anda kerana mereka tidak akan selamanya ada. Oleh itu, hargai dan syukuri memori yang tercipta di setiap hari raya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Asal Hari Raya Saja, Perut Meragam? Anda Perlu BERHENTI Makan 6 Makanan Ini!

    Gangguan penghadaman sering dialami oleh kebanyakan orang pada hari raya pertama. Kebiasaannya gangguan ini menyebabkan cirit-birit, muntah-muntah.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 23/05/2018 . 2 minit bacaan

    Tip Hias Ruang Tamu untuk Aidilfitri

    Di samping menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, anda pasti turut ingin mempersiapkan diri untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Perayaan 23/05/2018 . 3 minit bacaan

    5 Tip Buang Lemak Badan pada Hari Raya Aidilfitri

    Hidangan makanan berlemak pada hari raya seperti lemang, ketupat, rendang, lontong dan bermacam lagi sudah pasti menyelerakan dan tidak mampu ditolak. Jika di ambil mengikut nafsu makan boleh menyebabkan pertambahan ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 23/05/2018 . 2 minit bacaan

    8 Tips Penjagaan Gigi Semasa Hari Raya Aidilfitri

    Setelah sebulan berpuasa Ramadan, hari raya Aidilfitri semua orang seolah-oleh merdeka dan bebas menikmati pelbagai makanan menarik pada hari raya.. Jadi, bagaimana untuk memastikan kebersihan mulut terjaga dan ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 23/05/2018 . 2 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    sambutan hari raya

    Risau Kes COVID-19 Meningkat? Ini 6 Tip Berkesan Lindungi Keluarga Sepanjang Sambutan Hari Raya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 28/05/2020 . 3 minit bacaan
    sambutan hari raya aidilfitri

    Raya Tetap Raya, TAPI Ini 11 Perkara Boleh & Tidak Untuk BERAYA Masa PKPB, Sila Patuhi!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 20/05/2020 . 3 minit bacaan
    sembahyang raya

    Pakai Baju Raya Cantik Nak Solat Raya & Buat Rumah Terbuka, Boleh Ke Di Musim COVID-19 Ini?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 20/05/2020 . 3 minit bacaan
    bawang raya

    Tip Elak Membawang di Hari Raya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Diterbitkan pada 07/06/2018 . 3 minit bacaan