backup og meta

Kerap Melancap Boleh Jadi Punca Banyak Jerawat Di Muka, Betul Ke?

Kerap Melancap Boleh Jadi Punca Banyak Jerawat Di Muka, Betul Ke?

Melancap merupakan sebahagian daripada kehidupan seks manusia, baik lelaki dan wanita. Namun, adakah ia mampu memberi kesan kepada kita? Adakah ia menjadi penyebab jerawat?

Satu kajian menyatakan bahawa 95% lelaki dan 89% wanita mengakui bahawa mereka melancap bagi memenuhi kepuasan seksual.

Tetapi terdapat kenyataan yang mengatakan melancap terlampau banyak penyebab jerawat muncul di wajah. Adakah ini benar?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini. 

Adakah melancap penyebab jerawat?

Terdapat banyak mitos dan salah faham mengenai melancap atau dikenali sebagai onani, ini termasuklah bagaimana ia mampu mempengaruhi kesihatan kulit anda.

Sebilangan individu percaya bahawa beronani boleh menyebabkan jerawat, tetapi itu jauh daripada benar!

Justeru, melancap tidak menyebabkan jerawat sama sekali! Namun, perubahan terhadap hormon mungkin memberikan kesan kepada pertumbuhan jerawat.

Perubahan hormon berlaku semasa akil baligh dan ia menyebabkan tubuh akan menghasilkan lebih banyak minyak, yang mampu menyumbang kepada perkembangan jerawat.

Dari mana datangnya mitos ini?

Umur akil baligh biasanya merupakan permulaan kepada pertumbuhan jerawat dan pengalaman pertama melancap.

Semasa para remaja dalam fasa akil baligh, badan akan menghasilkan lebih banyak testosteron dan androgen.

Peningkatan hormon juga bermaksud badan akan menghasilkan sebum (bahan berminyak yang dikeluarkan oleh kulit) yang lebih banyak.

Sebum berfungsi untuk melindungi kulit anda, tetapi jika ia terlalu banyak, pori-pori boleh menjadi tersumbat dan jerawat boleh tumbuh.

Walau bagaimanapun, melancap sebaliknya, tidak mempengaruhi jumlah sebum yang dihasilkan oleh badan anda.

Bertahun-tahun yang lalu, generasi yang lebih tua menggunakan idea ini untuk mengawal orang muda agar tidak melakukan sebarang aktiviti seksual.

Itu adalah taktik untuk menakut-nakutkan. Namun, sehingga hari ini, tidak ada kajian yang menunjukkan hubungan antara aktiviti seksual dan juga jerawat.

Jadi apa sebenarnya penyebab jerawat?

penyebab jerawat

Secara umumnya, jerawat diakibatkan oleh liang pori yang tersumbat. Kadangkala, badan anda gagal menyingkirkan sel-sel kulit mati, sehingga mereka terperangkap di dalam pori-pori.

Justeru, perkara inilah yang boleh menyebabkan whiteheads, blackheads, jerawat, dan seangkatan dengannya.

Jerawat juga boleh berlaku kerana bakteria yang hidup di kulit kita. Sekiranya bakteria masuk ke dalam liang pori, jerawat boleh tumbuh menjadi merah dan membengkak.

Selain itu, wajah anda bukanlah satu-satunya tempat jerawat tumbuh! Ia boleh muncul di leher, punggung, dada, bahu, lengan, dan juga belakang anda.

Antara faktor lain yang menjadi penyebab jerawat ialah:

  • Penyebab jerawat dari ubat-ubatan tertentu: Mengambil ubat-ubatan tertentu yang mengandungi iodida, bromida, dan kortikosteroid akan memburukkan lagi masalah jerawat
  • Penyebab jerawat dari diet pemakanan: Penyelidikan menunjukkan bahawa makanan tertentu boleh menjadikan jerawat pada wajah bertambah teruk. Antara contohnya adalah coklat, roti putih, kerepek, dan susu skim
  • Faktor tekanan: Tekanan telah diakui sebagai salah satu penyebab yang memburukkan lagi masalah jerawat. Ini kerana, apabila tertekan, tubuh akan menghasilkan hormon kortisol, yang dianggap dapat meningkatkan pengeluaran minyak yang menyumbang kepada pertumbuhan jerawat

Rawatan bagi masalah jerawat

Sekarang setelah anda mengetahui apa yang mampu menyebabkan jerawat, mari kita fokus kepada cara merawatnya.

Terdapat banyak pilihan rawatan yang tersedia untuk anda, antaranya ialah:

penyebab jerawat

  • Produk over-the-counter (OTC)

Bagi sebilangan individu, produk over-the-counter berkesan untuk mengatasi masalah kulit mereka.

Sekiranya masalah jerawat anda ringan, anda mungkin boleh mendapat manfaat dengan produk yang dibeli di OTC.

Pastikan juga anda mendapatkan produk berasaskan asid salisilik atau benzoil peroksida. Ini adalah bahan terbaik dalam merawat masalah jerawat.

  • Bertemu dengan pakar dermatologi

Sekiranya produk di kaunter tidak berfungsi dengan baik untuk anda, atau jika jerawat menjadi lebih teruk, doktor boleh memberi anda ubat dengan preskripsi yang lebih kuat.

Oleh itu, semakin cepat anda bertemu dengan doktor, semakin cepat anda lihat hasil penyembuhan yang lebih jelas.

  • Lakukan beberapa perubahan gaya hidup

Selain daripada mengamalkan produk cegah jerawat, anda juga boleh membuat beberapa perubahan dalam rutin harian untuk mengurangkan atau menghilangkan jerawat.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dilakukan, antaranya:

  • Cuci sarung bantal seminggu sekali dengan pencuci yang lembut pada kulit.
  • Hidrat, hidrat, hidrat! Pastikan pengambilan air anda mencukupi untuk membantu dalam membuang toksin badan.
  • Pilihlah alat solek bukan komedogenik dan tidak bersifat merengsakan.
  • Gunakan produk rambut yang tidak berasaskan minyak.
  • Pakai pelindung matahari SPF 30 tanpa minyak.
  • Pastikan anda berehat dengan baik dengan mendapatkan tidur yang mencukupi.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Acne products. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acne/in-depth/acne-products/art-20045814. Accessed 14 June 2022.
  2. Tips and symptoms acne.https://www.aad.org/public/diseases/acne/skin-care/tips#symptoms. Accessed 14 June 2022.
  3. Does masturbation cause pimples.https://youngmenshealthsite.org/askus/does-masturbation-cause-pimples/Accessed 14 June 2022.
  4. Does masturbation cause acne. https://ghc.health/blogs/all-about-men/does-masturbation-cause-acne. Accessed 14 June 2022.
  5. cause acne. https://www.plannedparenthood.org/learn/ask-experts/does-masturbating-cause-acne. Accessed 14 June 2022.

Versi Terbaru

03/11/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Lagi Kerap Onani, Lagi Rendah Tahap Testosteron Lelaki - Hipotesis Yang Benar?

Kenapa Jerawat Muncul Pada Satu Badan? Untuk Cegah, Kena Tahu Punca Dulu!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan