backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

4

Tanya Doktor
Simpan

AWAS Kalau Anda Ada Gejala Ini Pada Badan, Ia Mungkin Petanda Penyakit Sifilis!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/12/2023

    AWAS Kalau Anda Ada Gejala Ini Pada Badan, Ia Mungkin Petanda Penyakit Sifilis!

    Benarkah sifilis boleh berjangkit? Sebenarnya, ia adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin yang disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Ada beberapa tanda sifilis yang kita perlu perhatikan.

    Menurut Sir William Osler, antara tokoh perubatan yang tersohor pada abad ke-19, beliau menggelar penyakit ini sebagai ‘the great imitator’ atau si peniru yang hebat.

    Gelaran ini diberikan kerana sifat penyakit ini yang boleh menghasillkan pelbagai gejala dan tanda sifilis yang mirip penyakit lain.

    Persamaan-persamaan ini sedikit sebanyak menyukarkan proses diagnosis. Namun yang demikian, terdapat tanda sifilis tertentu yang dapat membantu doktor bagi membentuk diagnosisnya.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual di sini.

    Jenis dan gejala sifilis

    Jenis Primer

    Apabila berbicara tentang gejala sifilis, lazimnya orang akan merujuk kepada tanda sifilis jenis ini. Dalam jenis ini, simptom yang berlaku kebanyakannya membabitkan alat kelamin dan juga akibat hubungan seks.

    Antara tanda sifilis adalah:

  • Kewujudan ulser sekitar kemaluan. Untuk lelaki, ulser atau chancre ini boleh berada di sekeliling zakar. Dalam kalangan MSM pula, ulser ini juga boleh terbentuk pada dinding dalaman dubur (akibat seks anal).
  • Untuk wanita pula, pembentukan ulser ini lazimnya (44%) berlaku di bahagian pangkal rahim (serviks). Walau bagaimanapun, ia boleh juga terbentuk di bahagian vulva dan juga dalam vagina.
  • Dalam wanita, ia lebih sukar dikesan kerana ia terbentuk di bahagian yang dalam dan tersorok. Ulser ini juga boleh terbentuk pada bahagian dalaman mulut (akibat seks oral). Ulser ini mempunyai kadar keberjangkitan yang sangat tinggi kerana ia mengandungi bakteria Treponema pallidum. 
  • tanda sifilis

    4. Pembengkakan noda limfa. Pembengkakan ini lazimnya (80%) berlaku di bahagian celah kangkang. Ia terbentuk kira-kira 7 hingga 10 hari setelah berlakunya pembentukan chancre.

    Ulser ini tidak mengakibatkan rasa sakit, menyebabkan penghidap itu tidak perasan kewujudannya.

    Ini juga menyebabkan mereka cenderung untuk memandang enteng akan kewujudan ulser tersebut dan bertindak untuk membiarkannya sembuh dengan sendiri.

    Biarpun anda tidak mendapatkan rawatan pada tempoh kewujudan ulser ini, ulser tersebut tetap akan hilang bila-bila masa sahaja bermula daripada minggu ke-2 hingga minggu ke-6 daripada tempoh mula ianya berlaku.

    Tindakan ini adalah sangat berbahaya kerana kehilangan ulser tersebut bukan bermaksud ia telah sembuh, sebaliknya, ia telah merebak ke bahagian dalaman badan dan boleh menjadi lebih teruk – sifilis sekunder. 

    Tanda sifilis sekunder

    Apabila tahap primer tidak dirawat dan chancre telah hilang, penyakit ini akan bergerak ke tahap sekunder. Tahap sekunder berlaku sekitar 4 hingga 10 minggu selepas jangkitan primer.

    Dalam tahap ini, ia mampu untuk menzahirkan pelbagai simptom dan tanda sifilis yang lazimnya membabitkan bahagian kulit, membran mukosa dan juga limfa noda.

    Antara simptom dan tandanya adalah:

    1. Ruam simetri (sama rata taburannya pada bahagian kiri dan kanan badan) berwarna merah jambu yang tidak gatal, pada bahagian badan dan tangan termasuk tapak tangan dan kaki. 
    2. Demam.
    3. Sakit tekak.
    4. Letih dan lesu.
    5. Susut berat badan.
    6. Rambut gugur.
    7. Pening kepala.

    Ruam-ruam yang berlaku dalam tahap ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk; rata, luas, keputihan, mirip ketuat, dan bercecair.

    Walaupun tidak seperti ulser dalam tahap primer, kesemua ruam-ruam ini tetap mengandungi bakteria Treponema pallidum dan sangat mudah untuk berjangkit kepada orang lain.

    Selain gejala di atas, manifestasi lain yang jarang berlaku untuk sifilis sekunder boleh melibatkan:

    1. Keradangan hati.
    2. Penyakit buah pinggang.
    3. Keradangan sendi.
    4. Keradangan saraf optik. 
    5. Keradangan uvea. 

    tanda sifilis

    Jenis Pendam

    Sifilis pendam disebut sebagai keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai simptom tetapi melalui ujian serologi, terdapat bukti masih ada lagi jangkitan dalam badan mereka.

    Ianya boleh dikira sebagai awal (kurang setahun daripada tempoh sifilis sekunder) atau lewat (lebih setahun daripada sifilis sekunder). Tahap ini dikatakan sebagai tahap di mana seseorang itu tidak mudah berjangkit.

    Tanda sifilis tertier

    Tahap ini adalah tahap terakhir dalam jangkitan sifilis jika ianya dibiarkan tidak dirawat. Tanpa menerima sebarang rawatan, dianggarkan satu per tiga akan menghidap tanda sifilis tahap ini.

    Ia boleh berlaku sekitar 3 hingga 15 tahun selepas seseorang itu mula dijangkiti buat kali pertama. Tahap tertier tidak berjangkit dan ia boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu:

    Sifilis gummatous (15%) – Boleh berlaku bila-bila masa sahaja bermula daripada 1 hingga 46 tahun selepas pendedahan berlaku. Ia dicirikan oleh pembentukan gumma yang kronik (sejenis ketumbuhan keradangan yang lembut dan tumbuh dalam pelbagai saiz). Ia lazimnya terbentuk di bahagian kulit, tulang dan hati namun boleh berlaku di mana-mana sahaja.

    Neurosifilis (6.5%) – Merujuk kepada keadaan di mana jangkitan ini telah membabitkan sistem saraf pusat. Antara keadaan berkaitan adalah meningitis, kelemahan keseluruhan badan ataupun tabes dorsalis. Terdapat juga satu tanda pada mata yang disebut sebagai Argyll-Robertson pupils, iaitu keadaan di mana pupil kedua-dua belah mata penghidap tidak mengecil apabila terdedah kepada cahaya.

    Kardiovaskular (10%) – Lazimnya akan mengakibatkan komplikasi seperti keradangan aorta (syphyllic aortitis) yang seterusnya berupaya untuk menjadi aortic aneurysm.

    Jenis Kongenital

    Jenis kongenital ini merujuk kepada keadaan di mana ibu yang telah dijangkiti (dan tidak mendapat rawatan awal atau mencukupi) menjangkiti kandungannya.

    tanda sifilis

    Ia boleh berlaku sama ada ketika mengandung atau ketika proses kelahiran.

    Ketika mengandung, ia boleh menyebabkan keguguran. Sungguhpun begitu, dua per tiga daripada keseluruhan bayi yang dijangkiti tidak menzahirkan sebarang simptom.

    Bagi yang mempunyai simptom, ia lazimnya berlaku dalam tahun-tahun pertama kehidupan. Simptom tersebut adalah seperti berikut:

    1. Hati dan limpa menjadi besar (70%). 
    2. Ruam (70%).
    3. Demam (40%).
    4. Keradangan paru-paru (20%).

    Mujurlah untuk rakyat Malaysia, hasil daripada perangkaan sistem kesihatan yang cermat dan pelaksanaan dasar kesihatan awam yang berjaya, pada tanggal 8 Oktober 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara pertama dalam kawasan Pasifik Barat WHO yang telah berjaya menghapuskan bukan sahaja transmisi sifilis daripada ibu kepada bayi, bahkan transmisi HIV daripada ibu kepada bayi.

    Dengan pengiktirafan ini, Malaysia tergolong dalam kumpulan elit 12 negara di dunia diiktiraf WHO yang telah berjaya menghapuskan transmisi ibu kepada bayi bagi kedua-dua jangkitan tersebut.

    Jika anda kerap melakukan seks tanpa perlindungan khususnya dengan pasangan yang ramai, pastikan anda mendapatkan ujian saringan berkala dan mendapatkan nasihat doktor.

    Perlindungan yang mencukupi dan rawatan yang tepat akan dapat mengatasi masalah penyakit jangkitan kelamin. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan