backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Anda Tahu Apa Yang Sebenarnya Berlaku Pada Badan Ketika Bersenggama? Ini 4 Daripadanya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 24/05/2021

    Anda Tahu Apa Yang Sebenarnya Berlaku Pada Badan Ketika Bersenggama? Ini 4 Daripadanya!

    Seks yang berkualiti mampu memberikan kesan positif kepada badan secara fizikal dan mental. Ini ekoran daripada pengeluaran hormon “seronok” dalam badan kita ketika melakukannya. Pun begitu, pernahkah anda terfikir apa sebenarnya yang berlaku pada badan kita semasa melakukan hubungan badan bersama pasangan suami atau isteri?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini. 

    Apa berlaku pada badan kita semasa hubungan badan?

    Menurut pakar terapi seks, Masters dan Johnson, akan wujud satu urutan berkenaan apa yang berlaku pada badan kita semasa melakukan hubungan seks. Urutan ini dikenali sebagai “kitaran tindak balas seksual” dan mempunyai 4 fasa iaitu seronok, mendatar, klimaks dan resolusi.

    Untuk pengetahuan anda, tiada penanda pemula atau penamat yang jelas di antara fasa-fasa ini. Ini kerana setiap individu itu sendiri adalah berbeza dan cara kita melakukan hubungan intim bersama pasangan juga sudah pasti tidak sama.

    Apa yang pasti, setiap individu semestinya akan mengalami atau merasai setiap fasa ini pada setiap kali melakukan seks bersama pasangan mereka masing-masing. Berikut merupakan huraian 4 fasa yang dinyatakan sebentar tadi berserta perbezaannya mengikut jantina:

    Fasa hubungan badan #1: Seronok

    hubungan badan

    Fasa ini kebiasaannya bermula 10 hingga 30 saat selepas stimulasi erotik dan boleh berterusan sehingga beberapa minit atau beberapa jam kemudian. Ketika fasa ini, individu akan perasan bahawa pernafasan, degupan jantung dan tekanan darah menjadi semakin laju. 

    Apa yang berbeza adalah:

    Lelaki: Zakar akan mula mengalami ereksi. Bagi sesetengah lelaki pula, puting juga boleh mengalaminya.

    Wanita: Faraj akan mula mengembang dan memanjang serta mengeluarkan cecair. Kadangkala, bahagian bibir dalam dan luar faraj, payudara serta klitoris boleh membengkak.

    Fasa hubungan badan#2: Mendatar

    Fasa ini merupakan kesinambungan daripada fasa pertama tadi dan tidak mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Ketika fasa ini, individu akan perasan pernafasan dan denyutan nadi anda akan menjadi semakin laju. Kulit bahagian muka, leher, bahu, dada dan perut anda pula akan kelihatan seakan kemerah-merahan (sex flush). Selain itu, otot bahagian paha, pinggang, punggung, tangan dan kaki mula mengalami ketegangan dan kekejangan mungkin akan berlaku.

    Apa yang berbeza adalah:

    Lelaki: Zakar akan mengalami ereksi yang paling penuh. Dalam masa yang sama, testis akan tertarik ke dalam skrotum.

    Wanita: Bibir faraj akan kelihatan sedikit besar. Ini ekoran daripada tisu dinding faraj yang membengkak sekali gus mengecilkan lubang faraj. Ketika ini juga, klitoris akan tertarik ke dalam.

    Bahagian dalam bibir faraj (labia) pula akan mengalami perubahan warna, meskipun ia agak sukar untuk diperhatikan. Bagi wanita yang belum mempunyai anak, warnanya akan berubah dari merah jambu ke merah terang.

    Bagi wanita yang sudah mempunyai anak pula, warnanya akan berubah dari merah terang ke ungu gelap.

    Fasa #3: Klimaks

    Fasa ini adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu semasa hubungan seks iaitu fasa orgasma. Pun begitu, ia adalah fasa yang paling singkat kerana ia hanya berlangsung selama beberapa saat sahaja.

    Ketika fasa ini, pernafasan, denyutan nadi, degupan jantung dan tekanan darah akan semakin meningkat berbanding sebelumnya. Tekanan pada otot dan salur darah juga akan berada pada puncaknya. Kadangkala, fasa ini juga akan menyebabkan refleks pada otot tangan dan kaki.

    Apa yang berbeza adalah:

    Lelaki: Cecair air mani akan terkumpul di dalam saluran air kencing dan menyebabkan kontraksi pada zakar berlaku. Ini merupakan saat di mana seorang lelaki itu sedang mencapai orgasma. Sejurus sahaja selepas itu, air mani akan terpancut keluar daripada lubang zakar.

    Wanita: Dinding faraj akan berkontraksi secara beritma setiap lapan hingga sepuluh saat sekali. Anda perlu tahu bahawa kontraksi ini adalah sangat bergantung kepada orgasma individu. Secara tidak sedar juga, otot pada rahim turut akan berkontraksi.

    Fasa #4: Resolusi

    Fasa ini adalah fasa yang terakhir dan ia merupakan tempoh waktu untuk mengembalikan badan kita kepada keadaan yang normal. Ia selalunya bertahan selama beberapa minit ke setengah jam atau mungkin lebih dan biasanya lebih lama untuk wanita berbanding lelaki.

    Ketika fasa ini, pembengkakan yang berlaku pada alat sulit akan surut dan segala sex flush juga akan hilang. Selain itu, otot yang dahulunya tegang akan menjadi sedikit relaks.

    Apa yang berbeza adalah:

    Lelaki: Zakar akan kembali ke keadaan yang normal. Namun begitu, tidak mustahil untuk ia kembali mencapai orgasma sehingga beberapa kali bergantung kepada usia, gaya hidup, kecergasan dan lain-lain.

    Wanita: Rahim dan klitoris akan kembali ke posisi asal mereka. Sesetengah wanita juga boleh bertindak balas kepada stimulasi dan mencapai orgasma sekali lagi.

    Jadi, inilah yang berlaku semasa anda dan pasangan melakukan hubungan seks. Menarik, bukan?

    Berapa lama seks perlu berlangsung?

    hubungan badan

    Selain mengetahui apa yang berlaku semasa hubungan intim, kebanyakan pasangan suami isteri juga kerap berteka-teki mengenai berapa lama sebenarnya seks perlu berlangsung. Jawapannya, terlalu banyak pendapat berbeza mengikut pakar masing-masing.

    Menurut soal selidik yang dilakukan oleh syarikat kondom SKYN terhadap 2,000 individu dewasa, secara puratanya mereka mengatakan bahawa waktu yang paling ideal adalah 28 minit. Namun, menurut soal selidik yang dijalankan oleh syarikat alatan seks Lovehoney terhadap 4,440 individu dewasa pula menyatakan bahawa 19 minit sudah memadai. Jadi, yang manakah lebih tepat?

    Menurut Holly Richmond, seorang pakar terapi seks mengatakan bahawa secara purata, 9 hingga 12 minit sebenarnya adalah waktu yang paling ideal untuk melakukan hubungan penetrasi, tidak termasuk adegan ringan-ringan atau foreplay.

    Jadi, sebenarnya ia sangat bergantung kepada anda dan pasangan. Ketahui dan pelajari cita rasa pasangan anda dan berbincang secara terbuka dengannya. Ini adalah sangat penting dalam usaha memastikan kehidupan seks anda berdua kekal sihat dan sejahtera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 24/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan