backup og meta

Jom Ajak Datuk & Nenek Anda Berkebun, Boleh Kuatkan Otot Dan Kurangkan Risiko Nyanyuk!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 26/05/2021

    Jom Ajak Datuk & Nenek Anda Berkebun, Boleh Kuatkan Otot Dan Kurangkan Risiko Nyanyuk!

    Jika anda tinggal berdekatan atau tinggal serumah bersama datuk dan nenek, bawalah mereka pergi berkebun sekiranya ada masa lapang. Ada banyak faedah berkebun yang boleh memberikan kesan positif kepada warga emas.

    Apakah kelebihan berkebun tersebut?

    Faedah berkebun kepada warga emas yang mungkin anda tidak tahu sebelum ini!

    Berkebun bukan hanya memberikan hasil tuaian untuk dinikmati oleh anda sekeluarga, tetapi ia memberikan manfaat yang lebih besar daripada itu.

    Apatah lagi, kelebihan berkebun ini sepatutnya lebih banyak dinikmati oleh kelompok warga emas.

    Antara kelebihan berkebun yang baik untuk datuk dan nenek anda adalah:

    #1. Membakar kalori

    Memandangkan warga emas bukanlah golongan yang boleh melibatkan diri dengan kerja-kerja berat, berkebun adalah aktiviti yang paling ideal untuk mereka.

    Berkebun bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai satu senaman, malah ia turut membantu membakar kalori bagi warga emas tanpa melakukan aktiviti fizikal yang berat atau sukar.

    Berkebun akan membantu warga emas membakar antara 300 hingga 400 kalori dalam tempoh 1 jam.

    Ini kerana, berkebun memerlukan seseorang individu tersebut untuk membongkok, mencangkung dan berdiri. 

    #2. Faedah berkebun menguatkan otot mereka

    kelebihan berkebun

    Berkebun juga boleh membantu menguatkan otot datuk dan nenek anda.

    Ia diibaratkan sebagai satu aktiviti workout versi warga emas yang boleh dilakukan di rumah sahaja.

    Penguatan otot terutamanya pada bahagian tangan berlaku sewaktu mereka mencangkul tanah, menanam pokok atau menarik rumpai. 

    #3. Mendapatkan sumber vitamin D

    Tanpa mengambil sebarang suplemen yang mahal, datuk dan nenek anda boleh mendapatkan sumber vitamin D secara percuma melalui aktiviti berkebun.

    Dengan berkebun sekurang-kurangnya 1 jam di luar rumah, mereka akan mendapat vitamin D daripada sumber cahaya matahari.

    Vitamin D yang mencukupi akan meningkatkan tahap kalsium yang seterusnya menguatkan tulang dan juga sistem imun warga emas.

    #4. Mengurangkan stres

    Faedah berkebun juga adalah dapat mengurangkan tahap stres yang dialami oleh warga emas.

    Ia akan menurunkan tahap hormon kortisol yang menyebabkan stres dan meningkatkan hormon serotonin. Ini yang akan membuatkan datuk dan nenek anda berasa tenang.

    Berkebun juga akan meningkatan koordinasi antara mata dan tangan, yang seterusnya membantu otak dan tubuh badan untuk bergerak secara bersama. 

    #5. Mengurangkan risiko alami demensia

    Sewaktu datuk dan nenek anda berkebun, ia akan memerlukan mereka untuk banyak melakukan pergerakan fizikal.

    Selain itu, berkebun juga akan memerlukan mereka untuk berfikir secara kritikal seperti memikirkan apa yang hendak ditanam atau bagaimana untuk menjaga tumbuhan yang telah ditanam.

    Kedua-dua perkara ini boleh membantu mereka untuk mengurangkan risiko mendapat demensia yang kerap berlaku dalam kalangan warga emas. 

    #6. Tingkatkan kesihatan jantung

    Satu kajian dari Stockholm, Sweden menyatakan, berkebun dengan kerap boleh mengurangkan risiko warga emas untuk mendapat serangan jantung dan juga strok sebanyak 30%.

    Selain itu, pendedahan kepada sumber cahaya matahari yang membekalkan vitamin D juga boleh mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung. 

    Langkah berjaga-jaga ketika berkebun bersama warga emas

    faedah berkebun

    Memandangkan warga emas adalah golongan yang berisiko terhadap sebarang penyakit atau bahaya, terdapat beberapa perkara yang perlu dipantau ketika berkebun:

    • Kulit: Kulit warga emas yang agak nipis memungkinkan mereka untuk mendapat lebam, ruam atau sunburn
    • Penglihatan: Perhatikan jika datuk dan nenek anda mempunyai sebarang gangguan penglihatan yang boleh mengganggu aktiviti berkebun mereka
    • Kemampuan mental: Kesihatan mental, tahap berfikir dan juga memori mungkin akan terjejas disebabkan oleh demensia yang dialami golongan warga emas
    • Suhu badan: Datuk dan nenek anda juga mungkin akan mudah mengalami dehidrasi disebabkan cahaya matahari
    • Sistem rangka tubuh: Warga emas juga mungkin akan mudah terjatuh disebabkan tidak mampu menyeimbangkan badan mereka. Selain itu, penyakit tulang rapuh dan arthritis juga menyukarkan mereka untuk bergerak ke sana sini

    Sentiasa perhatikan datuk dan nenek anda, tanpa abaikan faedah berkebun

    Walaupun anda mungkin mahukan golongan tua ini mendapat faedah berkebun, namun anda tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan mereka berkebun berseorangan.

    Ini kerana warga emas amat berisiko atau mudah terdedah kepada bahaya dan keadaan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

    Anda perlulah menemani mereka dan mengawasi mereka sepanjang masa agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini ketika berkebun di luar rumah. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 26/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan