Jika dibandingkan dengan kanak-kanak, remaja mahupun dewasa, warga emas sering kali membimbangkan. Risiko untuk jatuh semakin tinggi dan seiring dengan peningkatan usia. Menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC), setiap tahun hampir 1 daripada 3 orang dewasa berusia 64 tahun terjatuh.
Walaupun sebahagian besar luka atau kecederaan akibat terjatuh tidak kelihatan serius, namun ia tetap penyebab utama patah tulang pinggul dan cedera di kepala. Dalam keadaan ini, kecederaan itu menyebabkan seseorang mengalami kesulitan melakukan aktiviti harian. Malah, hampir separuh daripada mereka yang terjatuh tidak melakukan pemeriksaan klinikal atau memberitahu ahli keluarga.
Pencegahan Risiko Terjatuh
Terjatuh menjadi ancaman berbahaya kepada warga emas. Namun, keadaan ini adalah salah satu kesan daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan. Bagaimana pun, terdapat beberapa pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko terjatuh dalam kalangan warga emas.
1. Kekal aktif
Memastikan tubuh sentiasa aktif merupakan cara yang paling sederhana bagi mengurangkan risiko terjatuh. Senaman fizikal yang teratur dapat membantu mempertahankan kekuatan otot tubuh dan kaki sepanjang berlakunya proses penuaan. Penting bagi warga emas untuk sentiasa aktif bergerak dan mengelakkan gaya hidup yang pasif. Senaman yang biasa dilakukan adalah berjalan atau yoga. Elakkan senaman yang terlalu berat.
2. Perhatikan simptom yang muncul
Sebelum terjatuh, biasanya warga emas akan menunjukkan simptom ketidakseimbangan. Antaranya:
- Cara berjalan tidak seimbang
Ketidakseimbangan semasa berjalan di permukaan yang tidak rata boleh meningkatkan risiko jatuh. Doktor mungkin akan menyarankan rawatan fisioterapi atau penggunaan alat bantuan berjalan seperti tongkat.
Tahap penglihatan yang menurun juga menyebabkan warga emas sukar melihat apa-apa yang menghalangi ruangan mereka berjalan. Malah, gangguan penglihatan juga mempengaruhi keseimbangan mereka. Oleh itu, pemeriksaan mata sekali dalam setahun adalah penting untuk mengetahui masalah penglihatan yang ada dan cara untuk menanganinya.
Ubat-ubatan yang diambil memberi kesan sampingan yang mempengaruhi keseimbangan seperti ubat hipertensi, diuretik dan antihistamin. Ubat berkenaan boleh menyebabkan pening dan hilang keseimbangan.
3. Wujudkan persekitaran rumah yang selamat
Kebanyakan warga emas sayang untuk membuang atau mengalihkan barang-barang yang ada di rumahnya untuk menyediakan ruangan berjalan yang lebih luas. Keadaan ini menambahkan lagi risiko mereka terjatuh. Berikut tempat yang biasa warga emas terjatuh di dalam rumah:
Bilik mandi adalah tempat yang berisiko. Semasa mandi, anda mungkin perlu melakukan pergerakan yang menganggu keseimbangan. Untuk lebih selamat, letakkan kerusi supaya anda boleh mandi dalam keadaan duduk dan lebih seimbang.
Lantai dan karpet yang tidak rata cenderung menimbulkan masalah ketidakseimbangan. Oleh itu, sebaiknya alihkan karpet atau memperbaiki lantai yang tidak rata untuk mengurangkan risiko terjatuh.
Bekerja di dapur sudah pasti memerlukan anda banyak bergerak. Sebaiknya, menyusun semula dapur supaya tidak mengganggu pergerakan anda adalah sangat membantu anda untuk lebih mudah bergerak.
Tambahkan pegangan pada tangga supaya anda berasa lebih selamat dan yakin terhadap diri anda.
4. Maklumkan jika terjatuh
Kebanyakan warga emas berfikir bahawa dengan melaporkan mereka terjatuh, itu akan menyekat kebebasan mereka. Walaubagaimana pun, perlu diingatkan sekiranya anda tidak melaporkan anda terjatuh dan tidak dirawat segera, kemungkinan risiko anda untuk jatuh adalah meningkat.